Ahad, 23 Disember 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Russia tidak mahu lindungi Bashar lagi

Posted: 23 Dec 2012 02:13 PM PST

Moscow: Russia menyambut baik langkah mana-mana negara untuk menyediakan laluan selamat kepada Presiden Bashar al-Assad tetapi ia sendiri tidak berhasrat memberi perlindungan kepada pemimpin Syria itu jika beliau meletak jawatan.

Di Syria, laporan terbaru menyatakan sekurang-kurangnya 200 askar Syria yang ditugaskan melindungi lapangan terbang antarabangsa Damsyik belot ketika pertempuran berlaku dekat istana presiden, kata pemberontak kepada stesen Al Arabiya.

Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov memberitahu wartawan lewat Jumaat lalu bahawa ada negara serantau yang secara terbuka meminta Moscow menyampaikan tawaran mereka untuk melindungi Bashar.

Beliau berkata, Russia menyuruh mereka supaya menyatakan secara langsung tawaran itu kepada Bashar.

"Kami jawab – Apa kena mengena kami dengannya? Jika anda ada pelan itu, pergi jumpa dia terus. Jika ada negara yang sedia memberikan jaminan kepadanya, anda dialu-alukan!"

Lavrov memberitahu wartawan perkara itu dalam penerbangan pulang dari Brussels selepas menghadiri persidangan Russia-Kesatuan Eropah.

"Kami akan menjadi yang pertama berkata: Syukurlah pembunuhan beramai-ramai sudah berakhir! Jika ia benar-benar mengakhiri pertumpahan darah, itupun belum tentu lagi."
Ditanya sama ada Russia akan tawar perlindungan kepada Bashar, Lavrov berkata, Moscow tiada hasrat itu.

"Russia secara terbuka berkata ia tidak menjemput Presiden Bashar al-Assad ke sini," katanya.

Russia berulang kali menggunakan kuasa veto bersama-sama China dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk melindungi sekutu lamanya itu daripada sekatan antarabangsa.

Bagaimanapun, ada tanda-tanda ia semakin berusaha menjauhkan diri daripada Bashar.
AP

Rakyat Mesir sokong Perlembagaan baru

Posted: 23 Dec 2012 02:08 PM PST

Kaherah: Sebanyak 63.8 peratus penduduk Mesir menyokong Perlembagaan baru selepas pengundian diadakan dua kali, menurut laporan di sini semalam.

Pergerakan Ikhawanul Muslimin memberi angka itu manakala penentang dokumen berkenaan juga bersetuju.

Jawatankuasa Pungutan Suara hanya akan mengesahkan keputusan itu hari ini selepas mendengar mana-mana pihak mencabar keputusan.

Jika disahkan, pilihan raya Parlimen akan menyusul dalam tempoh dua bulan selepas itu.

Dalam tempoh menjelang undian, bantahan yang membawa pertumpahan darah meletus selepas Mursi mengeluarkan perintah khas memberinya kuasa tambahan sebelum menarik balik keputusan itu beberapa minggu kemudian.

Selain itu, beberapa jam sebelum undi ditutup, Naib Presiden Mahmoud Mekky mengumumkan peletakan jawatannya.

Penyokong Presiden Mohamed Mursi berkata, sokongan kepada Perlembagaan adalah penting bagi peralihan kepada demokrasi selepas Hosni Mubarak digulingkan.
Mereka juga berpendapat, sokongan itu bermakna negara akan menikmati kestabilan yang seterusnya dapat membantu ekonomi.

Kenyataan Ikhwan berbunyi: "Sokongan kepada Perlembagaan memberi peluang bersejarah kepada semua pihak saling menghormati dan jujur mengadakan dialog untuk kestabilan negara."

Tetapi, penentang Mursi pula menuduh Presiden Mesir itu memaksa teks pro kumpulan agama diluluskan selain mengetepikan hak penduduk Kristian yang meliputi 10 peratus penduduk, serta juga wanita.

"Berdasarkan kiraan kami, keputusan akhir pusingan kedua ialah 71 peratus mengundi 'ya' dan mengambil kira undian pusingan pertama, angkanya ialah 63.8 peratus," kata pegawai Ikhwan.

Angka itu kemudian disahkan oleh kenyataan pergerakan berkenaan di televisyen.
Tetapi, penentang berkata: "Mereka memerintah, menguruskan pengundian dan mempengaruhi penduduk, jadi kami tidak jangka keputusan lain," kata seorang pegawai kanan Barisan Penyelamat Kebangsaan (NSF).
REUTERS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan