Rabu, 28 November 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Bos mafia sembunyi di dapur ibu

Posted: 27 Nov 2012 01:22 PM PST

ROME: Seorang ketua mafia dianggap satu daripada pemimpin kumpulan penjenayah paling muda di Itali, ditahan polis semalam.

Digelar "Baby Boss" oleh media Itali, Mariano Abete, 21, diberkas ketika bersembunyi di sebuah bilik rahsia di rumah ibunya.


Pintu masuk ke bilik rahsia itu hanya boleh dibuka dengan alat kawalan jauh. Abete mengetuai keluarganya dalam pertikaian dengan kumpulan penjenayah Neapolitan Camorra yang diketahui pernah membunuh ramai mangsa. Abete dilantik menjadi ketua kumpulan berkenaan selepas bapanya ditangkap, manakala bapa saudaranya dibunuh.

Dia diburu polis kerana terbabit dalam kegiatan jenayah serta bersubahat dengan aktiviti penjualan dadah. Walaupun masih muda, polis berpendapat, Abete sangat berkuasa dan berbahaya.


Jurucakap polis berkata, mereka menyerbu sebuah rumah di Naples pada awal pagi Ahad lalu sebelum berjaya mengesannya bersembunyi dalam bilik rahsia. "Apabila polis menemui ruang rahsia itu, ibu Abete merayu supaya anaknya tidak dicederakan.


"Ibunya juga menawarkan diri untuk membuka pintu rahsia berkenaan," katanya.

Jurucakap polis itu berkata, ibu Abete baru berusia 39 tahun. Rakaman video ruang rahsia itu - terletak di antara dua dinding yang boleh digerakkan - tersebar di laman sesawang semalam. Ia hanya dilengkapi sebuah tilam, bantal, salib dan satu tong oksigen. Abete dianggap mempunyai kedudukan tinggi di kalangan mafia kerana sebelum ini mengetuai kumpulan serpihan menolak keluarganya. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27



Apartmen jadi tempat penduduk China ‘tayang’ pakaian

Posted: 27 Nov 2012 07:35 AM PST

BEIJING: Cuma segelintir penduduk China memiliki mesin pengering.

Juteru, sebahagian besar mereka terpaksa mengeringkan pakaian secara semula jadi, seperti penghuni Universiti Perubatan Tradisional Cina Hubei.


Di bandar yang padat penduduk, keadaan itu memang biasa dilihat.

Selain di balkoni, mereka turut menyidai pakaian di pokok, tiang telefon atau kabel elektrik. Ada kalanya, pakaian disidai di tiang besi yang dijulurkan keluar selari menerusi tingkap apartmen.


Pakaian juga disidai menggunakan penyidai bulat yang tidak banyak memakan ruang dan kayu biasa yang diletakkan melintang di atas dua penyokong.


Ketika semakin ramai penduduk negara itu mengamalkan gaya hidup mudah seperti kelas pertengahan Barat, ada sesuatu yang terkecuali - amalan menggunakan pengering pakaian.

Apartmen di China biasanya dibina agak kecil dan tenaga elektrik pula mahal, manakala harga mesin pengering tidak mampu dimiliki. Pada 2010, Shanghai menganggap perbuatan mengeringkan pakaian di kawasan terbuka sebagai kuno dan amalan itu diharamkan. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27



Tiada ulasan:

Catat Ulasan