Jumaat, 9 November 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Wanita pertama ketuai Interpol

Posted: 09 Nov 2012 01:00 PM PST

Rome: Perhimpunan Agung Interpol di sini memilih pesuruhjaya polis Perancis yang terkenal bersungguh-sungguh menentang jenayah terancang di Bordeaux dan Corsica, sebagai presiden wanita pertamanya kelmarin.

"Mireille Ballestrazzi dari Perancis menjadi wanita pertama dipilih sebagai presiden Interpol," kata persatuan menentang jenayah berat antarabangsa dalam Twitter.

Ballestrazzi, 58, menjadi pesuruhjaya polis Perancis pada 1975 dan sudah menjadi naib presiden jawatankuasa eksekutif Interpol Eropah. Beliau terkenal sebagai pengarah polis perundangan di Corsica pada 1990-an ketika usaha dilancarkan bagi memerangi jenayah di pulau itu. - AFP

Malala Yousufzai layak diberi Nobel Keamanan

Posted: 09 Nov 2012 12:56 PM PST

Aktivis Britain saran anugerah kepada remaja Pakistan

London: Beribu-ribu warga Britain semalam menggesa kerajaan mencalonkan remaja Pakistan, Malala Yousufzai, supaya diberi hadiah Nobel Keamanan.

Ia sebagai menghargai usaha Malala supaya wanita negaranya mendapat pendidikan hingga memaksa pergerakan Taliban menghantar penyerang membunuhnya.
Malala tidak hanya mewakili seorang wanita muda tetapi bercakap bagi semua pihak yang dinafikan pendidikan kerana jantina mereka," Shahida Choudhary, Aktivis

Gadis berusia 15 tahun itu menerima rawatan pakar di Birmingham selepas penyerang melepaskan tembakan yang kena di kepalanya pada 9 Oktober lalu.

Serangan itu mengundang kritikan antarabangsa dan Malala menjadi simbol penentangan terhadap cubaan Taliban menekan hak wanita.

Wanita Pakistan-Britain, Shahida Choudhary, menggesa Perdana Menteri David Cameron dan beberapa pegawai kanan kerajaan mencalonkan Malala untuk anugerah itu.

"Malala tidak hanya mewakili seorang wanita muda tetapi bercakap bagi semua pihak yang dinafikan pendidikan kerana jantina mereka," kata Shahida yang mengetuai kempen di Britain itu dalam kenyataan di laman web Change.org.
Lebih 30,000 menandatangani petisyen di Britain sebagai sebahagian desakan global oleh penyokong hak wanita mencalonkan Malala bagi anugerah berkenaan. Kempen sama diadakan di Kanada, Perancis dan Sepanyol.

Menurut peraturan Jawatankuasa Nobel, cuma tokoh terkenal seperti anggota perhimpunan negara dan kerajaan boleh membuat pencalonan.

Malala bergelut untuk hidup

Malala tidak sedarkan diri dan bergelut untuk hidup ketika dibawa ke Britain sebulan lalu tetapi hospital di Birmingham, lokasi beliau dirawat berkata gadis itu semakin pulih.

Hospital itu menyiarkan gambar Malala membaca buku dan memeluk patung beruang putih, dengan kesan lebam hitam pada kelopak matanya.

Remaja itu kelihatan serius dan fokus pada pembacaannya, rambutnya ditutup dengan tudung berwarna merah jambu terang dan putih.

Bapa dan anggota keluarganya yang lain sudah ada di Birmingham melihat pemulihannya.

Pada 26 Oktober lalu, bapanya berkata, Malala akan bangkit semula untuk mengejar impian selepas rawatan.

Serangan ke atas Malala adalah kemuncak kesan kempennya yang menyebabkannya dilihat menentang panglima berpengaruh Taliban, Maulana Fazlullah. - Reuters

Tiada ulasan:

Catat Komen