Rabu, 3 Oktober 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


38 maut feri karam di Hong Kong

Posted:

38 maut feri karam di Hong Kong

FERI Lamma IV tenggelam semasa operasi menyelamat di perairan Hong Kong semalam.


HONG KONG - Seramai 38 orang terkorban dan lebih 100 yang lain cedera apabila sebuah feri persiaran yang membawa mereka tenggelam selepas berlanggar dengan sebuah feri lain, kata beberapa pegawai semalam.

Lebih 120 penumpang dan kru dikatakan berada di atas feri Lamma IV milik syarikat Hong Kong Electric untuk menyaksikan pertunjukan bunga api di kawasan Victoria Harbour sempena cuti Hari Kebangsaan.

Kejadian berlaku dekat Pulau Lamma di sini pada petang Isnin lalu.

Sejumlah penumpang tercampak ke dalam laut yang berombak sebelum kapal malang berkenaan karam dalam tempoh beberapa minit sahaja.

"Seramai 28 mangsa disahkan maut di tempat kejadian, manakala lapan yang lain disahkan mati semasa tiba di hospital.

"Usaha menyelamat akan diteruskan kerana Jabatan Perkhidmatan Bomba tidak boleh mengesahkan sama ada masih terdapat mangsa di dalam kapal atau sudah hilang," kata pihak berkuasa dalam satu kenyataan.

Semua mangsa yang mati dan cedera dipercayai penumpang atau kru kapal syarikat Hong Kong Electric. Menurut beberapa pegawai syarikat itu, kapal berkenaan dipenuhi kakitangan dan keluarga mereka.

Sementara itu, sebuah lagi feri yang terlibat dalam pelanggaran tersebut telah berlabuh di salah sebuah jeti di Pulau Lamma semalam.

Terdapat kesan lubang besar di bahagian kiri feri berkenaan.

Feri itu dipercayai belayar dari Hong Kong ke Pulau Lamma apabila pelanggaran berlaku berdekatan destinasinya, sekali gus sempat menurunkan penumpang sebelum ia dipenuhi air.

Pegawai Kanan Jabatan Marin, Chung Siu-man menyatakan masih terlalu awal untuk menentukan kapal mana yang bersalah.

Dalam perkembangan berkaitan, tujuh kru daripada kedua-dua feri tersebut ditangkap kerana mendatangkan bahaya kepada nyawa orang lain di lautan.

Komisioner polis Hong Kong, Tsang Wai-hung memberitahu, lebih banyak tangkapan akan dibuat berhubung tragedi berkenaan.

Beribu-ribu orang berkunjung ke Pulau Lamma sempena cuti umum hari kebangsaan China. - Agensi

20 cedera kereta api tergelincir di California

Posted:

20 cedera kereta api tergelincir di California

PASUKAN penyelamat membantu operasi menyelamat apabila sebuah kereta api tergelincir selepas melanggar sebuah treler.


HANFORD, California - Dua buah kereta dan sebuah kereta api Amtrak yang membawa kira-kira 169 penumpang tergelincir dari landasan kelmarin selepas bertembung dengan sebuah lori treler di Central Valley, California.

Menurut pihak berkuasa, kira-kira 20 penumpang mengalami kecederaan. Kemalangan itu dikatakan berlaku apabila pemandu lori treler yang membawa pakaian gagal untuk mengelak dan melanggar kereta api berkenaan.

Impak pelanggaran kemudian telah menolak dua buah kereta penumpang dan lokomotif keluar dari laluan masing-masing.

Pegawai Peronda California, Scott Harris berkata, kereta api itu tergelincir sejauh 180 meter selepas pelanggaran itu sebelum berpusing.

Penolong Sherif King Country, Dave Putnam memberitahu kemalangan itu berlaku di lintasan yang lengkap dengan pintu kawalan.

Kebanyakan penumpang dikatakan mengalami kecederaan seperti bengkak, lebam, calar dan mungkin patah tulang.

Menurut Amtrak, kereta api itu sedang dalam perjalanan ke Bakersfield dari Oakland.

Jurucakap Peronda Lebuh Raya California (CHP), Jerry Pierce berkata, pemandu treler itu mengalami cedera ringan. - Agensi

Adele nyanyi lagu tema filem James Bond

Posted:

Adele nyanyi lagu tema filem James Bond

DANIEL CRAIG tampil buat kali ketiga sebagai ejen perisik James Bond dalam filem Skyfall yang bakal ditayangkan pada musim luruh tahun ini.


LONDON - Penyanyi bersuara lunak, Adele Laurie Blue Adkins atau lebih dikenali sebagai Adele mengesahkan dia telah bekerjasama dalam menulis dan merakam lagu tema untuk filem terbaharu James Bond, Skyfall.

Menurut laman web rasmi James Bond kelmarin, pelantun suara lagu popular Set Fire To The Rain itu pada asalnya kurang yakin dengan projek kerjasama berkenaan.

"Apabila seseorang penyanyi dipilih untuk menyanyikan lagu tema filem James Bond, terlalu banyak perhatian serta tekanan yang bakal dia hadapi. Namun, saya jatuh cinta dengan skrip filem ini.

"Saya juga seronok menulis lagu tema filem ini. Ia satu pengalaman baharu buat saya," katanya.

Lagu tersebut ditulis oleh Adele bersama seorang komposer Britain, Paul Hepworth. Hepworth sebelum ini mencipta lagu Rolling In The Deep untuk album keduanya, 21.

Lagu tema filem Skyfall itu telah dirakam di Studio Abbey Road di sini.

Spekulasi berhubung pemenang anugerah Grammy itu merakam lagu tema tersebut bertiup kencang sejak beberapa bulan lalu. Namun, pengumuman rasmi mengenainya hanya dibuat oleh penerbit filem tersebut kelmarin.

Lagu itu bakal dilancarkan Jumaat ini serentak dengan ulang tahun ke-50 filem pertama Bond, Dr. No manakala versi penuhnya boleh didengar di laman web rasmi Adele.

Tempahan awal bagi lagu tema itu bermula sejak Isnin lalu di kedai muzik atas talian iTunes.

Skyfall yang merupakan filem Bond ketiga lakonan Daniel Craig, bakal ditayangkan di Britain pada 26 Oktober ini sebelum menemui peminat di Amerika Syarikat pada 9 November depan.

Antara barisan pelakon filem ejen perisik Britain itu termasuk Javier Bardem, Albert Finney, Ralph Fiennes dan Naomie Harris. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan