Rabu, 3 Oktober 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Rakyat tak tahan ketidakadilan Bashar

Posted: 02 Oct 2012 09:16 AM PDT

Kuala Lumpur: Konflik di Syria sekarang berasaskan gerakan massa yang lahir daripada nurani rakyatnya yang tidak tahan dengan ketidakadilan pemerintahan Presiden Bashar al-Assad.

Hal itu dinyatakan seorang paderi dari sebuah gereja Katolik di Syria, Mother Superior Agnes Mariam pada sesi Dialog Pemberontakan Syria anjuran Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF), di Taman Tasek Perdana, di sini semalam.

Ia dihadiri kira-kira 100 orang yang kebanyakannya rakyat Syria bertugas di Malaysia. Hadir sama, Pengerusi PGPF, Tan Sri Norian Mai dan Pengarah Eksekutifnya, Dr Zulaiha Ismail.
Menjawab soalan hadirin, Agnes Mariam berkata, perang saudara sekarang boleh dihentikan jika tentera setia kepada Bashar dan rakyat yang mengangkat senjata menghormati Konvensyen Geneva dengan perundingan sebagai asas penyelesaian konflik.

Ketika ditemui selepas itu, Agnes Mariam berkata, rakyat Syria menggelarkan gerakan massa itu sebagai musalahah yang lahir selepas 200 intelektual Syria yang mengadakan perjumpaan dan meminta Bashar membuat perubahan dalam sistem pentadbiran, ekonomi dan politik awal tahun lalu, dipenjarakan.

Kami bukan bertindak atas landasan politik, sebaliknya atas landasan musalahah. Kami mahukan perubahan seluruhnya. Kalau ada pilihan raya pun, ia tidak mewakili keseluruhan rakyat.

Ada 18 komuniti masyarakat di Syria. Kami tanpa mengira agama, bangsa atau kaum mahukan perubahan dilakukan. Keadaan sekarang amat menyedihkan kerana Bashar menggunakan kekuatan tentera untuk menghalang gerakan itu, katanya.
Mengenai laporan berat sebelah agensi berita asing, Agnes Mariam berkata, laporan berkenaan dihasilkan dengan berdasarkan kepentingan Barat manakala media tempatan pula berpaksi kepada kepentingan pihak tertentu yang ada antaranya dikuasai negara jiran Syria.

Sehubungan itu, beliau meminta masyarakat antabangsa memberi sokongan kepada gerakan massa dengan mendesak Bashar segera menghentikan serangan ke atas masyarakat awam.

Pegawai Taiwan dibidas, tak kenal pemimpin Beijing

Posted: 02 Oct 2012 09:15 AM PDT

Taipei: Pegawai tertinggi baru Taiwan mengenai isu China yang baru mengangkat sumpah semalam terus menjadi serangan pembangkang berikutan kegagalannya untuk mengenali identiti gambar ahli politik tertinggi Beijing.

Wang Yu-chi, orang kepercayaan Presiden Ma-Ying-jeou yang berkhidmat sebagai jurucakap beliau mulai 2008 hingga 2010 dikritik di Parlimen sebaik saja selepas mengangkat sumpah sebagai pengerusi Majlis Hal Ehwal Tanah Besar.

Wang yang ditunjukkan gambar sembilan anggota tertinggi kepemimpinan China, hanya dapat mengenali dua daripada mereka. Antaranya yang gagal dikenali ialah ahli Parlimen tertinggi China, Wu Bangguo.
Anda langsung tidak mengenali Wu Bangguo, kata Tsai Chi-chang daripada parti pembangkang utama, Parti Progresif Demokratik (DPP).

Ini amat berbahaya untuk hubungan China, katanya.

Pelantikan Wang bulan lalu mengejutkan pelbagai pihak dan meningkatkan kebimbangan mengenai sama ada beliau cukup biasa dengan hal ehwal China.
Wang menggantikan Lai Shin-Yuan yang dilantik sebagai wakil pulau ke Pertubuhan Perdagangan Dunia.
China dan Taiwan diperintah secara berasingan sejak berakhirnya perang saudara 1949. Tetapi Beijing masih lagi mendakwa berhak terhadap pulau terbabit dan mengancam untuk menyerang sekiranya mengisytiharkan kemerdekaan secara rasmi.
AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan