Rabu, 25 Julai 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Rakyat Syria hampir menang

Posted:

Rakyat Syria hampir menang

KEMUSNAHAN yang berlaku akibat pertempuran antara tentera Syria dengan kumpulan pemberontak di al-Mezza, Damsyik kelmarin.


ISTANBUL - Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan mendakwa kebangkitan rakyat Syria menentang Presiden Bashar Al-Assad semakin hampir menuju kemenangan.

Beliau juga memberi amaran bahawa Turki akan bertindak balas jika terdapat sebarang tindakan permusuhan daripada Syria.

Turki sebelum ini meminta Bashar meletakkan jawatan selepas beliau gagal untuk membawa pembaharuan.

Ribuan penduduk Syria mendapatkan perlindungan di sempadan Turki ekoran pertempuran antara kumpulan pemberontak dengan tentera Bashar.

Pertempuran itu bermula sejak Mac tahun lalu yang menyebabkan lebih 19,000 orang terbunuh.

Hubungan antara Turki dengan Syria merosot pada bulan lalu apabila sebuah jet Turki ditembak jatuh oleh pasukan pertahanan udara Syria.

Syria menyatakan ia menembak jet pejuang F-4 yang terbang rendah pada kelajuan tinggi kerana tidak mengetahui ia milik Turki.

Sementara itu, para pemberontak Syria menyatakan bahawa tentera pemerintah telah memindahkan senjata kimia ke lapangan terbang dekat sempadan negara tersebut.

Kelmarin, jurucakap Kementerian Luar Syria, Jihad Makdisi menyatakan negaranya tidak akan menggunakan sebarang senjata kimia atau bukan konvensional terhadap penduduk awam.

Seorang pegawai pertahanan Israel semalam menyatakan bahawa senjata kimia itu masih berada dalam kawalan pemerintah Syria.

"Kebimbangan pastinya, rejim Bashar akan menjadi tidak stabil dan kawalan senjata itu juga menjadi tidak stabil," kata pegawai tersebut, Amos Gilad kepada Radio Israel.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama turut meminta Bashar tidak melakukan kesilapan dengan menggunakan senjata kimia.

"Mereka (rejim Bashar) akan dipertanggungjawabkan oleh masyarakat antarabangsa dan AS jika mereka melakukan kesilapan dengan menggunakan senjata tersebut," katanya.

Dalam perkembangan yang sama, seramai 14 orang terbunuh di seluruh Syria semalam.

Menurut Pemantau Hak Asasi Untuk Syria, sejumlah 116 orang mati kelmarin.

Antara yang terbunuh itu ialah empat orang awam dan seorang pemberontak di bandar Aleppo, empat penduduk awam di Damsyik, seorang pemberontak di Deir Ezzor serta empat askar Syria di Idlib. - Agensi

Krishnan minta disegerakan bayaran RM955 juta

Posted:

Krishnan minta disegerakan bayaran RM955 juta



SINGAPURA - Bilionair Malaysia, Tan Sri Ananda Krishnan (gambar) semalam meminta mahkamah tinggi di sini supaya menguatkuasakan arahan sebuah pusat timbang tara terhadap rakan perniagaannya dari Indonesia, James Riady supaya membayar sebanyak AS$300 juta (RM955 juta).

Jumlah tersebut diputuskan Pusat Timbang Tara Antarabangsa Singapura pada 2010 selepas mereka bertelingkah berhubung kegagalan kerjasama perkhidmatan televisyen berbayar di Indonesia.

Pusat timbang tara itu diwujudkan bagi menyelesaikan pertikaian perniagaan yang rumit.

Krishnan mengetuai empayar komunikasi Astro di Malaysia manakala Riady mengendalikan konglomerat Kumpulan Lippo Indonesia.

Beliau yang diwakili oleh peguam kanan Britain, David Joseph berhujah di mahkamah bahawa Riady perlu membayar jumlah tersebut kerana Kumpulan Lippo gagal menepati tarikh akhir rayuan keputusan pusat timbang tara berkenaan.

"Tiada proses lain untuk Kumpulan Lippo mencabar keputusan tersebut atau kesahihannya," kata Joseph.

"Keputusan agensi timbang tara ini adalah muktamad dan diiktiraf di bawah undang-undang Singapura. Justeru keputusan ini perlu dikuatkuasakan." tambahnya.

Joseph turut mendedahkan perhubungan melalui surat antara beberapa peguam yang mewakili Astro dan Kumpulan Lippo dalam usaha membuktikan bahawa Riady sedar sepenuhnya berhubung had masa untuk membuat rayuan berhubung keputusan kes itu. - AFP

Presiden Korea Selatan minta maaf

Posted:

Presiden Korea Selatan minta maaf

MYUNG-BAK menundukkan kepalanya bagi meminta maaf kepada rakyatnya di Rumah Presiden, Seoul, Korea Selatan semalam.


SEOUL - Presiden Korea Selatan, Lee Myung-bak semalam memohon maaf kepada rakyatnya berhubung kes rasuah melibatkan abang kandung dan beberapa penasihat kanannya.

"Saya menundukkan kepala dan memohon maaf kerana membuatkan rakyat bimbang berhubung insiden ini," kata Myung-Bak dalam satu kenyataan ringkas yang dibaca di depan kamera televisyen.

"Saya sedih kerana perkara dikesali ini berlaku dalam kalangan mereka yang rapat dengan saya," tambahnya.

Insiden itu dilihat menggugat kewibawaan partinya yang memerintah Korea Selatan sebelum pilihan raya Presiden diadakan pada Disember depan.

Abang Myung-bak, Lee Sang-Deuk ditangkap dan ditahan pada awal bulan ini sementara menunggu perbicaraan kes rasuah berkenaan.

Pendakwa raya menyatakan, bekas wakil rakyat berusia 76 tahun itu menerima suapan 600 juta won (RM1.67 juta) daripada pengerusi dua buah bank bermasalah antara 2007 hingga 2011 sebagai balasan untuk membantu mereka mengelakkan proses audit dan terlepas daripada hukuman.

Skandal itu adalah kes rasuah terbaharu melibatkan mereka yang rapat dengan Myung-bak.

Penggal Presiden Korea Selatan itu akan berakhir pada Februari 2013. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan