Selasa, 10 Julai 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Hakim tak iktiraf perintah Morsi

Posted: 10 Jul 2012 01:36 PM PDT

Kaherah: Mahkamah tinggi Mesir menolak perintah Presiden Mohamed Morsi untuk mengiktiraf semula Parlimen yang diisytiharkan tidak sah, menyebabkan pengganti Hosni Mubarak itu dilihat mencabar tentera yang mahu supaya undang-undang dihormati.

"Semua keputusan Mahkamah Perlembagaan Agung adalah muktamad, tidak boleh dirayu dan semua institusi terikat kepadanya," menurut kenyataan mahkamah, kelmarin. Majlis Tertinggi Angkatan Tentera (SCAF), yang menyerahkan kuasa kepada Morsi bulan lalu selepas beliau dilantik, menyuarakan pandangan sama dengan mahkamah supaya semua pihak akur kepada perlembagaan dan undang-undang.
SCAF yang memerintah Mesir selepas Mubarak disingkirkan tahun lalu, menekankan mengenai kepentingan Perlembagaan dalam perkembangan terkini, lapor agensi berita rasmi MENA.

Calon parti Islam memperoleh kemenangan besar dalam pilihan raya Parlimen tiga pusingan sejak diadakan November tahun lalu, dengan anggota Ikhwanul Muslimin, menguasai kerusi Dewan Rakyat.

Tetapi, tentera membubarkan Parlimen bulan lalu selepas mahkamah tinggi membuat keputusan kontroversi sehari sebelum pilihan raya presiden pusingan kedua diadakan yang menyaksikan Morsi muncul sebagai presiden Mesir pertama dipilih secara demokrasi.

Mahkamah Perlembangaan Agung berkata, fasal tertentu dalam perundangan yang menetapkan peraturan pilihan raya Parlimen adalah tidak sah yang bermakna dewan yang dikuasai pertubuhan Islam itu tidak sah.
Namun, Morsi, Ahad lalu mengarahkan Dewan Rakyat supaya bersidang semula dan anggotanya berhimpun selama lima minit semalam selepas Speaker Parlimen, Saad al-Katatni, menjemput anggotanya mengadakan pertemuan pada jam 2 petang waktu tempatan semalam, selari dengan perintah kuasa presiden.

Ikhwanul Muslimin berkata, ia akan mengambil bahagian dalam perhimpunan sejuta orang sebagai menyokong keputusan presiden dan menyokong Parlimen.
AFP

Menteri kanan Pakistan kebal

Posted: 10 Jul 2012 01:32 PM PDT

Tel Aviv: Bekas Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert, cuma didapati bersalah atas kesalahan pecah amanah tetapi dibebaskan daripada tuduhan lebih serius dalam perbicaraan membabitkan dakwaan rasuah yang memaksa beliau meletak jawatan.

Tidak dapat dipastikan sama ada keputusan mahkamah itu akan menyebabkan beliau dipenjara. Bagaimanapun, jika kesalahan membawa hukuman penjara, Olmert akan menjadi perdana menteri Israel pertama menjalani hukuman itu. Olmert, 66, kelihatan tenang dan lega ketika keputusan dibacakan di mahkamah. Keputusan berkenaan diumumkan selepas perbicaraan berlangsung dua tahun. Ia meliputi tiga dakwaan berbeza iaitu menerima secara tidak sah dana daripada penyokong Amerika Syarikat, menggandakan bayaran terhadap pertubuhan Yahudi ketika melakukan lawatan ke luar negara dan menyalurkan geran negara kepada syarikat yang ada hubungan dengan seorang rakan rapatnya.
Dakwaan difailkan selepas beliau menjadi Perdana Menteri pada 2006, tetapi turut membabitkan tempoh sejak Olmert berkhidmat sebagai Datuk Bandar Baitulmaqdis dan kemudian menteri Kabinet.

Selepas beliau didakwa pada 2008, Olmert meletak jawatan dan partinya, Kadima, kalah dalam pilihan raya pada 2009 yang memberi jalan kepada Benjamin Netanyahu menjadi pemimpin.

Bagaimanapun, masalah perundangan Olmert masih belum berakhir. Beliau masih berdepan perbicaraan skandal rasuah berkisarkan projek hartanah kontroversi di Baitulmaqdis.

Dalam dakwaan pertama membabitkan tuduhan beliau memberi keistimewaan kepada rakannya, Uri Messer, ketika Olmert adalah Menteri Perdagangan dan Industri.
Mengenai tuduhan itu, mahkamah mendapati Olmert bersalah kerana wujud percanggahan kepentingan. Olmert juga dituduh menerima beribu-ribu dolar daripada ahli perniagaan Yahud-Amerika, Morris Talanski, sebagai tukaran kepada promosi syarikatnya di Israel.

Olmert kerap kali menyifatkan tuduhan ke atasnya melakukan kesalahan itu adalah 'mengarut.' Perbincangan mengenai hukuman Olmert akan bermula September depan.
Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan