Selasa, 3 Julai 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Iran hukum Eropah

Posted: 03 Jul 2012 01:33 PM PDT

Lulus rang undang-undang larang kapal minyak belayar di Selat Hormuz

Tehran: Kira-kira 100 ahli Parlimen Iran menandatangani rang undang-undang melarang kapal tangki minyak belayar di Selat Hormuz ke negara Eropah yang mengenakan sekatan ke atas minyak negara itu, lapor media kelmarin. "Projek ini adalah tindak balas kepada sekatan minyak dikenakan Kesatuan Eropah (EU) ke atas Republik Islam. Selari dengan rang undang-undang ini, kerajaan mempunyai hak menghentikan laluan kapal membawa minyak menerusi Selat Hormuz ke negara yang mengenakan sekatan minyak ke atas Iran," kata Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Parlimen, Ebrahim Agha Mohammadi, yang dipetik agensi berita Mehr.
Parlimen diminta meluluskan rang itu dan menganggap ia sebagai keutamaan.

Sekatan EU ke atas eksport minyak Iran berkuat kuasa Ahad lalu, mencetuskan kemarahan di Tehran yang berkata, langkah itu akan menjejaskan rundingan dengan kuasa dunia berhubung aktiviti nuklear.

Badan pemantau pasaran minyak dan penganalisis berkata, sekatan itu digabungkan dengan sekatan kewangan Amerika Syarikat Khamis lalu, memberi kesan kepada eksport minyak penting Iran, yang menyumbang sebahagian daripada pendapatannya.

Peluru berpandu
Agensi Tenaga Antarabangsa berkata, eksport minyak mentah Iran Mei lalu jatuh kepada 1.5 juta setong sehari ketika pasaran bersiap sedia dengan sekatan, yang dilakukan mengikut peringkat sejak diumumkan 23 Januari lalu.

Ia jauh kurang berbanding 2.1 hingga 2.2 juta setong yang ditegaskan Iran masih dijual di luar negara.

Semalam, Iran menguji peluru berpandu balistik yang mampu sampai ke Israel sebagai sebahagian latihan perang yang bertujuan mempamerkan kemampuannya membalas jika diserang, lapor media.

Pengawal Revolusi Iran melepaskan bedilan peluru berpandu jarak sederhana Shahab-3 pada sasaran mainan di Padang Pasir Kavir pada hari kedua latihan perang Great Prophet 7, yang dijangka berakhir hari ini, menurut televisyen Al-Alam.

Jarak Shahabb-3 boleh mencecah sehingga 2,000 kilometer, secara teori mampu menyerang Israel yang terletak kira-kira 1,000 kilometer dari negara berkenaan.

Laporan Al-Alam menyebut, dua peluru berpandu jarak sederhana, Shahab-1 dan Shahab-2, dengan jarak 300 hingga 500 kilometer juga dilancarkan.

Sementara itu, Amerika menggerakkan pasukan ke Teluk untuk memastikan laluan air strategik itu dibuka dan menyerang Iran jika berlaku ketegangan, lapor New York Times, semalam. - AFP

25 korban bom trak

Posted: 03 Jul 2012 01:27 PM PDT

DIWANIYA: Sebuah trak meletup di pasar penuh sesak di bandar Diwaniya, Iraq menyebabkan 25 terbunuh dalam kejadian keganasan terbaru di negara itu, kata pegawai perubatan dan keselamatan.

"Sekurang-kurangnya 25 maut dan hampir 70 orang cedera apabila sebutir bom meletup di sebuah trak yang diletakkan di tengah pasar pada jam 10.15 pagi," kata seorang kolonel polis. Sumber hospital di bandar raya 160 kilometer ke selatan Baghdad itu mengesahkan menerima 25 mayat.
Pihak berkuasa melaksanakan perintah berkurung di seluruh bandar raya yang didiami 440,000 penduduk. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan