Sabtu, 23 Jun 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Anugerah Nobel penyelamat Myanmar

Posted: 16 Jun 2012 02:17 PM PDT

Dunia

PEMENANG Hadiah Nobel Keamanan, Aung San Suu Kyi memberi ucapan di Oslo sempena kemenangannya itu selepas 21 tahun berlalu. - Foto AFP

PEMENANG Hadiah Nobel Keamanan, Aung San Suu Kyi memberi ucapan di Oslo sempena kemenangannya itu selepas 21 tahun berlalu. - Foto AFP

Suu Kyi beri syarahan kemenangan selepas diisytiharkan pemenang 21 tahun lalu

OSLO: Pemimpin prodemokrasi Myanmar, menyifatkan pengumuman beliau menang Hadiah Nobel Keamanan pada 1991 menjadikan dirinya merasa kembali ke alam sebenar dan memastikan bahawa hal ehwal negara itu tidak dilupakan. Ketika memberi syarahan sempena kemenangannya itu selepas 21 tahun berlalu, Suu Kyi berkata, beliau mengetahui mengenai pemenang hadiah itu melalui radio dan merasakan seperti tidak percaya ia berlaku.

Kepada Aung San Suu Kyi, kami menanti anda sejak sekian lama. Pada masa sama, kami amat menyedari penantian anda satu dugaan kepada anda, berbeza daripada apa kami hadapi. - Thorbjorn Jagland, Pengerusi Jawatankuasa Nobel Norway


"Tetapi, pada masa sama ia membuka pintu hati saya. Sering kali ketika dalam tahanan kediaman, saya rasa tidak lagi menjadi sebahagian daripada dunia sebenar," katanya.

Oleh itu, katanya lagi, memenangi Hadiah Nobel Keamanan menyebabkan beliau rasa kembali ke alam nyata. Ia membolehkan beliau kembali ke pangkuan masyarakat antarabangsa.

Katanya, pengumuman jawatankuasa hadiah Nobel Keamanan menarik perhatian dunia terhadap perjuangan beliau untuk demokrasi dan hak asasi di Myanmar.
"Kami tidak akan dilupakan," tegasnya ketika bercakap di ibu negara Norway, Oslo. Beliau juga akur bahawa sokongan negara Barat adalah faktor kepada perubahan Myanmar.

Suu Kyi menghabiskan sebahagian besar daripada 24 tahun lalu dalam tahanan kediaman di Myanmar. Beliau dibebaskan lewat 2010.

Suu Kyi memutuskan untuk tidak mengambil hadiah itu kerana bimbang tidak dibenarkan pulang semula ke Myanmar.

Lawatan beliau ke Oslo adalah sebahagian daripada jelajah Eropah kali pertama sejak 1988 bermula di Pertubuhan Buruh Antarabangsa PBB (ILO) di Geneva.

Suu Kyi dijadual bertemu ahli masyarakat Myanmar yang melarikan diri dan kini tinggal di Norway. Ketika melancarkan majlis di Oslo, Pengerusi Jawatankuasa Nobel Norway, Thorbjorn Jagland berkata:

"Kepada Aung San Suu Kyi, kami menanti anda sejak sekian lama. Pada masa sama, kami amat menyedari bahawa penantian anda adalah satu dugaan kepada anda, berbeza daripada apa yang kami hadapi.

"Ketika anda tidak dapat bertemu masyarakat kerana ditahan, anda menjadi suara moral masyarakat dunia."

Jagland menyifatkan wanita itu sebagai 'satu hadiah bernilai kepada masyarakat dunia."

Beliau juga menyifatkan perubahan dalaman Myanmar sebagai positif tetapi memberi amaran supaya tidak membuta tuli percaya pembaharuan itu akan lancar.

"Parti saya, Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) dan saya sendiri bersedia serta sanggup memainkan sebarang peranan dalam proses penyatuan semula kebangsaan," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa pembebasan tanpa syarat semua tahanan politik. Suu Kyi juga merujuk kepada konflik etnik di negaranya dan mengakhiri ucapan dengan mengatakan menerima Hadiah Nobel Keamanan menguatkan semangatnya untuk melakukan kerja keamanan. – Agensi


50 maut bahana pergolakan Myanmar

Posted: 16 Jun 2012 02:13 PM PDT

Dunia

SEORANG remaja sedih melihat rumahnya yang dibakar di Sittwe.

SEORANG remaja sedih melihat rumahnya yang dibakar di Sittwe.

Berpuluh-puluh lagi cedera dalam keganasan dua minggu di negeri Rakhine

SITTWE: Sekurang-kurangnya 50 orang terbunuh dan ramai cedera dalam pertempuran di negeri barat Myanmar semalam ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran mengenai derita beribu-ribu penduduk yang kehilangan tempat tinggal akibat rusuhan itu.

Akhbar kerajaan, New Light of Myanmar, melaporkan 54 lagi cedera antara 28 Mei dan 14 Mei di negeri Rakhine berikutan keganasan antara penduduk Buddha tempatan dan orang Islam Rohingya. Laporan tidak menyebut sama ada angka kematian terkini termasuk 10 penduduk Islam yang dipukul hingga mati pada 3 Jun oleh penduduk Buddha bagi membalas dendam berikutan seorang wanita Rakhine yang dirogol dan dibunuh, di mana ia menjadi punca keganasan.

Khamis lalu, seorang pegawai kanan tempatan berkata seramai 29 orang, 16 penduduk Islam dan 13 Buddha dibunuh tetapi kumpulan hak asasi dan sumber tempatan lain percaya angka sebenar di kampung pedalaman di Rakhine mungkin lebih tinggi.

Polis menguatkuasakan perintah berkurung di ibu negeri, Sittwe sepanjang malam dengan anggota pasukan keselamatan mengawasi keamanan, kestabilan dan keselamatan selepas rusuhan yang meletus memberikan satu cabaran serius kepada kerajaan Myanmar.

Hampir 31,900 penduduk kedua-dua pihak ditempatkan di 37 kem di seluruh Rakhine, kata pihak berkuasa di Sittwe pada Khamis, manakala beribu-ribu kediaman dibakar.
Satu pasukan PBB menyaksikan kemusnahan dalam lawatan dua hari ke wilayah itu berkata kira-kira 10,000 penduduk yang hilang tempat tinggal berlindung di Sittwe sendiri.

"PBB mendapati kemusnahan teruk penduduk Rakhine dan Islam di Sittwe adalah amat besar. Mereka berhadapan dengan kesukaran," katanya dalam satu kenyataan lewat kelmarin.

Berikrar untuk membantu kawasan terjejas, penasihat khas PBB Vijay Nambiar menggesa Myanmar menjalankan siasatan penuh, adil dan dipercayai terhadap pertempuran itu.

"Kami mahu pulang semula ke tempat kami untuk bersama keluarga dan anak-anak," kata seorang pemimpin Islam di Sittwe, Hla Myint, 56.

Diskriminasi sejak berdekad lalu menyebabkan penduduk Islam Rohingya tidak mempunyai negara dan dilihat sebagai kumpulan minoriti paling tertindas di dunia.

Kira-kira 800,000 penduduk Rohingya tinggal di Myanmar, kata PBB, kebanyakannya di Rakhine.

Kerajaan Myanmar menyifatkan Rohingya sebagai orang asing, manakala kebanyakan rakyat melihat mereka sebagai pendatang haram dari Bangladesh dan melihat mereka sebagai musuh.

Penduduk Buddha Rakhine dan Islam Rohingya di wilayah itu saling menuduh memulakan serangan terlebih dulu dan sejak beberapa hari penduduk tempatan dilihat di jalanan membawa pisau, pedang dan kayu.

Presiden Myanmar, Thein Sein memberi amaran bahawa keganasan boleh tercetus di negara yang baru mengamalkan demokrasi itu selepas beberapa dekad di bawah pemerintahan tentera.

Ia turut memberi dilema kepada pemimpin pembangkang Aung San Suu Kyi yang kini dalam lawatan bersejarah ke Eropah, di mana beliau berhadapan dengan tekanan dari Rohingya untuk bercakap mewakili mereka tetapi berisiko akan menimbulkan kemarahan di kalangan majoriti penduduk Buddha Myanmar. – AFP


Tiada ulasan:

Catat Ulasan