Isnin, 30 April 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Bekas menteri minyak Libya ditemui mati

Posted: 30 Apr 2012 12:57 PM PDT

Dunia

Shukri Ghanem

Shukri Ghanem

Mayat Shukri Ghanem terapung di Sungai Danube di Austria, tiada tanda beliau diserang

VIENNA: Bekas menteri minyak Libya, yang berpaling tadah dan meninggalkan rejim Muammar Gaddafi untuk menyokong pemberontak, Shukri Ghanem, 69 ditemui mati di Sungai Danube yang mengalir melalui bandar raya ini, kata polis Austria.

Jurucakap polis Roman Hahslinger berkata mayat Ghanem, ditemui terapung di dalam sungai pada awal pagi. Bagaimanapun katanya, mayatnya menunjukkan tiada tanda luaran keganasan. Beliau berkata punca kematian tidak jelas tetapi menambah, pihak berkuasa akan menjalankan bedah siasat dalam tempoh beberapa hari lagi.

"Tiada tanda beliau diserang atau kemungkinan seseorang menolaknya. Namun tidak mustahil dia sakit dan jatuh ke dalam sungai," kata Hahslinger.

Beliau berkata Ghanem berpakaian lengkap ketika ditemui di dalam sungai namun tiada pengenalan peribadi dibawa selain satu dokumen menyatakan nama syarikat yang juga majikannya. Seorang kakitangan syarikat kemudian dihubungi dan mengesahkan identitinya.

Hahslinger berkata Ghanem meninggalkan kediamannya awal pagi kelmarin selepas menghabiskan petang Sabtu di rumah bersama seorang rakan. Polis dimaklumkan orang ramai yang melihat mayatnya terapung berhampiran kediamannya di sini, hampir dengan bangunan moden menempatkan agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di ibu kota Austria itu.
Ghanem adalah bekas perdana menteri Libya yang kali terakhir berkhidmat sebagai menteri minyak di negaranya sehingga 2011. Beliau meninggalkan Libya ke Tunisia dan kemudian Eropah Jun lalu sebagai pemberontak yang menolak untuk menggulingkan Gaddafi, dan kemudian mengumumkan akan menyokong pemberontak.

Media yang membuat liputan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mengingati Ghanem sebagai seorang yang ramah, mudah didekati dan bersedia memberikan nombor telefon bimbitnya kepada wartawan terpilih yang membuat liputan mesyuarat menteri OPEC dan bersedia menjawab panggilan lewat petang daripada mereka.

Dengan ijazah lanjutan dalam perundangan dan ekonomi, Ghanem memegang jawatan kanan dalam OPEC berpusat di Vienna sebelum pelantikannya sebagai perdana menteri Libya pada Jun 2003, jawatan yang dipegangnya sehingga 2006 sebelum mengambil alih portfolio menteri minyak.

Ghanem sebagai anggota yang rapat dengan Gaddafi sebelum berpaling tadah. Beliau menegaskan Libya tidak bertanggungjawab atas pengeboman pesawat Pan Am 103 pada 1988 di atas ruang udara Lockerbie, Scotland, yang mengorbankan 270 orang.

Beliau juga menolak tanggungjawab Libya dalam kejadian tembakan maut 1984 ke atas konstabel British Yvonne Fletcher ketika satu bantahan di hadapan kedutaan negaranya, insiden yang menjurus kepada terputusnya hubungan British-Libya.

Beliau terus tinggal di sini selepas Gaddafi disingkir dan kemudian dibunuh tahun lalu dalam kempen pemberontak disokong NATO. – AP

Suu Kyi sedia ke Parlimen

Posted: 30 Apr 2012 12:50 PM PDT

Dunia

SUU KYI (kanan) bercakap dengan media selepas menghadiri majlis pembukaan pejabat Kesatuan Eropah (EU) di Yangon kelmarin.

SUU KYI (kanan) bercakap dengan media selepas menghadiri majlis pembukaan pejabat Kesatuan Eropah (EU) di Yangon kelmarin.

Pemimpin demokrasi Myanmar beri jaminan lindungi perlembagaan

YANGON: Pemimpin pembangkang Myanmar Aung San Suu Kyi berkata beliau akan mengangkat sumpah di parlimen 'secepat mungkin,' selepas kebuntuan politik yang menyaksikan beliau menangguhkan kehadirannya dalam sidan dewan.

Pemenang anugerah Nobel itu memberitahu media bahawa beliau memberi jaminan "melindungi" perlembagaan yang diwujudkan tentera.

Kami akan pergi secepat mungkin untuk menghadiri sidang Parlimen. - Aung San Suu Kyi, Pemimpin demokrasi Myanmar

"Kami akan pergi secepat mungkin untuk menghadiri sidang parlimen," katanya, menamatkan pertelingkahan yang sebelum ini dilihat sebagai permulaan hubungan tegang dengan kerajaan.

"Sesetengah orang mungkin bertanya, oleh kerana kami tidak menerima untuk "menjaga" pada peringkat awal, mengapa kami menerimanya kini. Alasan kami menerimanya, pertama adalah hasrat rakyat. Pengundi mengundi kami kerana mereka mahu melihat kami dalam parlimen."

Pengumuman itu dibuat seminggu selepas aktivis veteran itu enggan menghadiri sidang parlimen yang baru ditubuhkan.

Keputusan Suu Kyi bermaksud beliau tidak akan hadir persidangan Parlimen di ibu kota Naypyidaw untuk mendengar ucapan oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon, ucapan pertama oleh diplomat asing.
Anggota parti Liga Kebangsaan Untuk Demokrasi (NLD) pembangkang utama selepas ia memperoleh 43 daripada 44 kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya kecil, kini dijangka menghadiri parlimen pagi ini untuk "mengangkat sumpah," kata ahli parlimennya (MP), Win Htein kepada AFP.

Ikon demokrasi itu menghabiskan banyak masa sejak dua dekad lalu dikenakan tahanan rumah, namun dibebaskan pada 2010 dan pemilihannya dalam parlimen disokong masyarakat antarabangsa sebagai langkah ke arah demokrasi di negara yang sekian lama terasing itu.

NLD, yang memulaukan pilihan raya kontroversi 2010, bersetuju menyertai politik arus perdana tahun lalu selepas pihak berkuasa menukar frasa sama dalam undang-undang pendaftaran parti.

Suu Kyi berkata tumpuan utamanya sebagai ahli politik adalah menolak pindaan perlembagaan 2008, yang memperuntukkan satu perempat kerusi dalam parlimen diperuntukkan untuk pegawai tentera tidak dipilih.

Myanmar menyaksikan perkembangan pantas dalam hubungannya dengan Barat di bawah rejim reformis baru yang melaksanakan satu perubahan pantas sejak berkuasa tahun lalu, termasuk membebaskan tahanan politik. – AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan