Selasa, 14 Februari 2012

Utusan Online - Luar Negara

Utusan Online - Luar Negara


Bajet pertahanan China meningkat

Posted:

Bajet pertahanan China meningkat

Bajet pertahanan China meningkat

SINGAPURA 14 Feb. - Bajet pertahanan China dijangka meningkat sekali ganda antara 2011 hingga 2015 dan mengatasi gabungan perbelanjaan pertahanan semua negara utama lain di rantau Asia Pasifik.

Bajet pertahanan China berjumlah AS$119.8 bilion (RM371 bilion) tahun lepas dan akan meningkat kepada AS$238.2 bilion (RM738 bilion) pada 2015, menandakan kadar pertumbuhan purata 18.75 peratus setahun dalam tempoh itu, menurut kumpulan penyelidikan global, IHS dalam laporannya yang disiarkan hari ini.

Angka 2015 itu mengatasi gabungan 12 bajet pertahanan terbesar selepas China di rantau ini, yang diramalkan mencecah AS$232.5 bilion (RM721 bilion), dan hampir empat kali perbelanjaan pertahanan Jepun yang berada di tempat kedua, menurut IHS.

"Beijing dapat memperuntukkan peratusan semakin besar daripada keseluruhan bajetnya untuk sektor pertahanan di samping meningkatkan keupayaan tenteranya secara berterusan sejak lebih dua dekad lalu," kata ketua pakar ekonomi IHS Global Insight bagi Asia Pasifik, Rajiv Biswas.

Beliau menjangka trend itu berterusan kecuali China ditimpa malapetaka ekonomi.

Pertumbuhan bajet pertahanan China akan berpunca daripada lonjakan keluaran dalam negara kasar (KDNK) ekonomi terbesar di Asia itu dalam tempoh tiga tahun akan datang.

China akan menggunakan dana tambahan itu untuk memodenkan peralatan sambil mengurangkan bilangan anggota tenteranya, menandakan kadar perbelanjaan lebih tinggi bagi setiap anggota pasukan bersenjatanya, menurut laporan IHS itu.

Selain China dan Jepun, laporan itu juga menjejaki perbelanjaan pertahanan India, Korea Selatan, Australia, Taiwan, Singapura, Indonesia, Pakistan, Thailand, Malaysia, Vietnam dan New Zealand.

Dasar kerajaan Amerika Syarikat (AS) untuk mengembalikan fokus terhadap rantau Asia Pasifik turut mendorong China meningkatkan bajet pertahanannya, kata ketua IHS Global Insight bagi Asia Pasifik, Sarah McDowall.

"Bajet pertahanan China yang makin besar meningkatkan kebimbangan di kalangan pelbagai negara, dan paling penting, mendorong Washington menjalankan kempen diplomatik untuk menonjolkan semula profilnya di Asia Pasifik," katanya. - AFP

Iran nafi dalangi letupan

Posted:

Iran nafi dalangi letupan

Iran nafi dalangi letupan


Para penyiasat mengumpul bukti dari sebuah kereta yang meletup berhampiran Kedutaan Israel di New Delhi semalam. - AFP


TEHERAN 14 Feb. - Iran hari ini menafikan tuduhan Israel bahawa negara ini mendalangi serangan ke atas kakitangan Kedutaan Israel di India dan Georgia.

"Kami sama sekali menyangkal tuduhan yang dilemparkan oleh rejim Zionis kerana itu hanya sebahagian perang propagandanya.

"Iran mengutuk segala tindakan keganasan," kata jurucakap Kementerian Luar, Ramin Mehmanparast, menurut siaran televisyen berbahasa Arab, Al-Alam.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menuduh Iran mendalangi serangan yang mencederakan dua orang, termasuk seorang diplomat wanita Israel yang cedera parah.

"Iran mendalangi serangan itu, ia pengeksport keganasan terbesar di dunia," kata Netanyahu kepada anggota parti Likud pimpinannya.

Beliau mendakwa, beberapa percubaan telah dilakukan untuk membunuh atau mencederakan rakyat Israel dan Yahudi sejak beberapa bulan lalu, di tempat seperti Thailand dan Azerbaijan, dalam siri serangan yang dirancang oleh Teheran dan sekutunya, pergerakan Syiah di Lebanon, Hizbullah.

Semalam sebuah kereta di luar Kedutaan Israel di New Delhi meletup, menyebabkan seorang diplomat wanita Israel dan pemandunya cedera.

Dalam kejadian berasingan, Kementerian Dalam Negeri Georgia mengesahkan, polis di ibu negara, Tbilisi mematikan sebutir bom yang ditemui di dalam kereta seorang kakitangan Kedutaan Israel.

Mehmanparast berkata, Iran turut menjadi mangsa tindakan keganasan dan rejim Zionis itu sendiri melakukan keganasan dan pendudukan di wilayah Palestin.

Empat saintis Iran termasuk tiga yang terlibat dalam program nuklear Teheran, terbunuh dalam serangan bom di Iran dalam tempoh dua tahun lalu..

Pihak berkuasa Iran menuduh agensi pengintipan Amerika Syarikat (AS) dan Israel, iaitu Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan Mossad mendalangi serangan itu. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan