Khamis, 16 Februari 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Whitney Houston lesbian

Posted: 15 Feb 2012 08:24 AM PST

LOS ANGELES: Whitney Houston didakwa merahsiakan dia lesbian dan menagih arak dan dadah bagi melupakan kehidupan yang penuh penipuan itu.

Bagaimanapun ketagihan melampau menyebabkan penyanyi itu terbunuh.

Khabar angin yang mula tersebar mendakwa, penyanyi itu, selama 30 tahun, mempunyai hubungan sulit dengan bekas penolongnya.

Tetapi rakannya kini bercakap secara terbuka mengenai nafsu seks songsang penyanyi itu selepas kematiannya.


Aktivis hak asasi gay, Peter Tatchell berkata, perkahwinan Whitney dengan Bobby Brown hanya menjadi tabir kepada kehidupan sebenarnya.


"Adalah penting untuk mendedahkan perkara sebenar mengenai aspek kehidupannya ini.

"Whitney paling bahagia dan berada di puncak kehidupannya pada 1980-an apabila dia menjalinkan hubungan songsang dengan teman wanitanya.

"Mereka saling mencintai satu sama lain dan gembira bersama. Kemungkinan ketidakupayaannya untuk menerima dan melahirkan cinta sesama jenis menyebabkan dia menagih dadah.

"Dia terdesak untuk berkahwin dengan Bobby Brown. Perkahwinan itu menjadi satu bencana. Kehidupan Whitney semakin merosot selepas itu," " kata Tatchell kepada akhbar Daily Star.

Aktivis yang berpangkalan di Britain itu bagaimanapun tidak menyebut nama wanita berkenaan.

Namun, sumber lain berkata, wanita itu ialah Robyn Crawford.

Bekas pembantu penyanyi itu menulis kata-kata penghormatan bertemakan Valentine untuk Whitney beberapa jam selepas penyanyi itu mati.

Ia disiarkan oleh sebuah majalah Amerika Syarikat.

Robyn menulis: "Saya mula mengenali Whitney ketika saya berusia 16 tahun dan serta-merta tahu bahawa dia wanita istimewa.

'Whitney menjadi peragawati ketika itu dan mempunyai kulit kuning kemerah-merahan. Dia tidak kelihatan seperti orang lain yang pernah saya temui di New Jersey.

"Saya tidak percaya tidak dapat lagi memeluk atau mendengar ketawanya lagi."
Dakwaan itu disokong oleh adik ipar Whitney dan bekas pengawal peribadinya, Kevin Ammons.

Malah, bekas suaminya, Brown menggambarkan bahawa perkahwinan mereka adalah untuk melindungi keinginan Whitney terhadap wanita.

Adik Bobby, Tina Brown berkata: "Saya melihatnya dengan seorang wanita beberapa kali."

Dan Brown, 43, menulis dalam biografinya bahawa dia yakin Whitney mempunyai agenda lain. Beberapa pihak percaya Brown merujuk kepada perkahwinan itu sebagai cara untuk menghentikan khabar angin.

"Perkahwinan kami musnah sejak awal lagi," kata Brown.

Bekas pengawal peribadinya menulis dalam bukunya mengenai bintang itu bahawa Robyn menampar Whitney selepas dia melihat penyanyi itu berseronok dengan lelaki dan begitu berang apabila Whitney berikrar untuk berkahwin dengan Brown.

Ammons juga mendakwa Whitney membayar bekas pegawai perhubungan awamnya supaya tidak mendedahkan hubungan sulitnya dengan Robyn.

Whitney, 48, ditemui mati dalam kamar mandi di Hotel Hilton Beverly di Beverly Hills, California, Sabtu lalu.

Dia didakwa memakan terlalu banyak campuran dadah dan arak sebelum itu.

Whitney akan dikebumikan Sabtu ini di New Jersey.

Ketika menyangkal khabar angin pada 2000, Whitney berkata: "Saya adalah ibu, bukan lesbian. Saya bukan gay." - DM



Chandra Bahadur Dangi, 72, lelaki paling kerdil di dunia

Posted: 15 Feb 2012 08:21 AM PST

KATHMANDU: Seorang pesara Nepal mendakwa dia adalah lelaki paling kerdil di dunia.

Chandra Bahadur Dangi, 72, hanya setinggi 56 sentiemer atau 22 inci.

Dangi berkata, selama ini dia begitu malu dengan ketinggiannya tetapi kehidupannya mungkin berubah jika dia mendapat pengiktirafan Guinness Book of Records.

Pemegang rekod kategori Lelaki Paling Kerdil di dunia ketika ini dipegang oleh warga Filipina, Junrey Balawing yang setinggi 59.93 sentimeter.


Junrey merampas gelaran itu tahun lalu daripada Khagendra Thapa Magar, 18, yang setinggi 67 sentimeter.


Orang paling kerdil pernah hidup sebelum ini ialah Gul Mohammed dari India yang setinggi 57 sentimeter. Gul meninggal dunia pada usia 40 tahun pada 1997.

Dangi yang tinggal di Kampung Reemkholi, beberapa ratus kilometer dari Kathmandu berkata, dia sering menjadi bahan ketawa dan tidak ada wanita yang ingin menjadi isteri.

Pakar dari Rekod Dunia Guinness akan ke Nepal untuk mengukur lelaki itu.
Dangi mendakwa berat badannya hanya 12 kilogram.

Dia yang mempunyai lima adik beradik lelaki dan semuanya mempunyai ketinggian normal berharap dapat memperoleh pengiktirafan itu sebagai ganjaran kepada kesukaran hidupnya selama ini.

"Saya berpendapat keadaan akan menjadi lebih baik selepas ini. Saya berharap akan menjadi terkenal di seluruh dunia. Saya mahu melawat negara luar dan bertemu orang ramai di seluruh dunia.

Punca kepada masalah ketinggian yang menimpa Dangi tidak pernah didiagnos tetapi dia dipercayai mengalami kekerdilan primordial yang bermula dalam rahim. - DM



Tiada ulasan:

Catat Komen