Khamis, 16 Februari 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Liga Arab sedia bekal senjata

Posted: 16 Feb 2012 11:36 AM PST

Dunia

Penentang Syria akan dibantu henti pertumpahan darah, singkir Bashar

BEIRUT: Liga Arab boleh memilih untuk membekalkan senjata kepada penentang rejim Syria selepas mesyuarat peringkat menteri pertubuhan itu bersetuju untuk tidak menolak sebarang langkah bagi menghentikan pertumpahan darah di negara itu.

"Majlis Menteri Liga Arab dalam mesyuarat baru-baru ini menetapkan negara Arab bersedia memberi semua bentuk sokongan politik dan keperluan lain kepada pembangkang," kata sumber diplomatik kepada akhbar Al Hayat, semalam.

Draf Perlembagaan itu sekadar peralatan politik atau kertas dasar yang ditulis rejim zalim. - Jawatankuasa Penyelarasan Tempatan

Sumber itu berkata, kenyataan itu bermaksud Liga Arab boleh menghantar bantuan senjata kepada penentang Presiden Bashar al-Assad.

Sementara itu, pembangkang Syria menggesa pengundi memulaukan pungutan suara untuk Perlembagaan baru, ketika pemerhati berkata unit kereta perisai kerajaan membedil penunjuk perasaan di Homs dan Daraa, pusat bantahan sejak 11 bulan lalu.

Ketika tentera kerajaan menyerang Homs untuk hari ke-13 berturut-turut, empat maut di Daraa apabila pasukan keselamatan bertempur dengan pemberontak.
Bashar yang berikrar terus bertindak ke atas bantahan, kelmarin membenarkan undian diadakan pada 26 Februari berhubung piagam baru menamatkan pemerintahan satu parti hampir 50 tahun.
Amerika Syarikat pula menyifatkan langkah itu satu jenaka serta memperolok-olokkan revolusi Syria manakala Russia, pembekal senjata utama kepada Damsyik, mengalu-alukan tindakan itu.

Jawatankuasa Penyelarasan Tempatan, kumpulan aktivis pembangkang utama, menolak usaha merangka perlembagaan baru dan mendesak supaya penduduk memulaukannya selain meningkatkan usaha menyingkirkan Bashar.

"Draf Perlembagaan itu sekadar peralatan politik atau kertas dasar yang ditulis rejim zalim. Jawatankuasa Penyelarasan Tempatan menggesa rakyat menolak dan memulaukan pungutan suara untuk mengesahkan orang ramai tidak menyokong pemerintah," katanya.

Di PARIS, pembangkang yang dikenali sebagai Majlis Nasional Syria bersetuju supaya pemimpin ketika ini Burhan Ghalioun akan terus kekal di tempatnya selama tiga bulan lagi, kata jurucakap kumpulan itu lewat kelmarin.

"Tugas Burhan Ghalioun dilanjutkan untuk tiga bulan lagi," kata Basma Kodmani dari Doha. Peraturan majlis menuntut supaya pemimpinnya dipilih setiap tiga bulan.

Ghalioun berkhidmat sebagai pemimpin sejak kumpulan itu ditubuhkan Oktober tahun lalu untuk menentang Bashar.

Ghalioun yang juga ahli akademik kini tinggal dalam buangan di Perancis lebih 30 tahun. Pejuang nasionalis sayap kiri dilihat sebagai orang yang akan menyatukan puak dalam majlis itu dari Islam dan nasionalis kepada liberal dan bebas. – AFP/ Agensi

Yahudi sasaran bom Iran

Posted: 16 Feb 2012 11:29 AM PST

Dunia

Penyerang Bangkok dipercayai buru diplomat Israel

BANGKOK: Warga Iran yang ditahan selepas secara tidak sengaja menghidupkan bahan letupan di rumah sewa di ibu negara Thailand, merancang menyerang diplomat Israel.

"Saya boleh katakan sasaran utama ialah kakitangan diplomatik Israel," kata Ketua Polis Thailand, Jeneral Prewpan Dhamapong, kepada stesen televisyen Thailand lewat kelmarin.

Bom buatan sendiri yang ditemui di tempat kejadian Selasa lalu, padan dengan alat yang diletak pada kereta diplomatik Israel di India dan Georgia sehari sebelum itu. - Prewpan Dhamapong, Ketua Polis Thailand

Beliau turut mengesahkan bom buatan sendiri yang ditemui di tempat kejadian Selasa lalu, padan dengan alat yang diletak pada kereta diplomatik Israel di India dan Georgia sehari sebelum itu.

Thailand juga sedang memastikan sama ada warga Iran terbabit menjadi sebahagian kumpulan pengganas yang lebih besar.

Dua daripada mereka ditahan di Bangkok, Selasa lalu, selepas melarikan diri dari rumah yang musnah itu, manakala lelaki ketiga ditahan semalam di Malaysia selepas menaiki pesawat tengah malam dari Bangkok ke Kuala Lumpur.

Kenyataan itu adalah pengesahan pertama Thailand letupan minggu ini sebahagian rancangan keganasan tetapi tidak terhadap kepentingan negara itu.
Ia meningkatkan kebimbangan Thailand sebagai destinasi pelancongan yang dianggap selamat daripada keganasan global, turut sama terdedah.

Amaran peringkat tertinggi dikeluarkan bulan lalu, dengan penangkapan lelaki keturunan Lubnan-Sweden dikaitkan dengan pergerakan Hizbullah yang membawa polis ke gudang berhampiran Bangkok dipenuhi 4,000 kilogram baja dan bahan lain yang boleh digunakan untuk membuat bom.

Israel dan Amerika pada ketika itu memberi amaran kepada rakyat mereka supaya berhati-hati berada di Bangkok.

Kedutaan Amerika berkata, pengganas asing mencari peluang melancarkan kawasan pelancongan di Bangkok dan media Thailand melaporkan serangan menyasarkan kepentingan Israel, termasuk kedutaan wilayah Yahudi itu.

Pihak berkuasa Thailand menegaskan negara itu dijadikan landasan melancarkan serangan, bukan sasaran.

Israel menuduh Iran melancarkan kempen keganasan dan mengancam mengambil tindakan ketenteraan atas kemudahan nuklear negara itu manakala Tehran menafikan sebarang tanggungjawab di atas tiga serangan berkenaan.

Isnin lalu di New Delhi, satu letupan memusnahkan kenderaan diplomatik Israel, mencederakan pemandu dan isteri diplomat. Pada hari sama di Georgia, pihak berkuasa berkata penyerang meletakkan bahan letupan pada kereta pemandu Kedutaan Israel tetapi ia berjaya ditemui dan dimatikan sebelum meletup. – AP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan