Selasa, 28 Februari 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Tahanan wanita Palestin lancar mogok lapar

Posted: 28 Feb 2012 01:26 PM PST

Dunia

IBU HANAA menunjukkan gambar anaknya yang kini ditahan tanpa bicara oleh rejim Israel di rumah mereka di Burqeen, Jenin.

IBU HANAA menunjukkan gambar anaknya yang kini ditahan tanpa bicara oleh rejim Israel di rumah mereka di Burqeen, Jenin.

RAMALLAH: Seorang wanita Palestin, Hanaa Yahya Shalabi, 28, yang pernah dikenakan tahanan tanpa bicara paling lama oleh pihak berkuasa Israel, melancarkan mogok lapar sejak dua minggu lalu bagi menuntut pengadilan dan pembebasannya.

Tindakan Hanaa, menyusul langkah yang diambil seorang lagi tahanan Khadar Adnan yang bertindak mogol lapar selama 66 hari sehingga pihak rejim bersetuju untuk membebaskannya April depan.

Peguam Persatuan Tahanan Palestin, Hanaa Fawwaz Shalloud memberitahu akhbar Gulf News, sepanjang tempoh tahanan, Hanaa dipukul, diseksa dengan teruk dan dihina oleh pegawai Israel yang menyoal siasat beliau. Tindakan mogok lapar adalah satu-satunya cara yang boleh dilakukan oleh tahanan Palestin bagi membantah layanan tidak berperikemanusiaan oleh Israel, katanya.

Hanaa dilahirkan di perkampungan Burqeen di bandar Jenin pada 1982. Beliau berkahwin sebaik tamat persekolahan, tetapi bercerai tiga bulan selepas itu.

Pada 2005, abang Hanaa berusia 24 tahun, Samer, terbunuh dalam satu serangan rejim Zionis dan tragedi itu memberi kesan besar kepada kesihatannya.

Beliau mula aktif dengan sayap wanita kumpulan Jihad Islam, selepas keluarganya enggan membenarkan beliau melanjutkan pelajaran ke universiti.
Beliau ditangkap tentera Israel pada 2010 dan dikenakan tahanan tanpa bicara selama enam bulan.

Tahun lalu, Hanaa dibebaskan bersama beratus-ratus lagi warga Palestin, sebagai pertukaran bagi pembebasan seorang askar Israel, Gilad Shalit. Bagaimanapun, pada 16 Februari Hanaa ditahan semula dan keluarganya terputus hubungan dengan beliau sejak itu.

Pakar hal ehwal tahanan Palestin, Abdul Nasser Ferwaneh, berkata kes Adnan memberi peluang kepada tahanan Palestin lain untuk menentang tindakan ke atas mereka.

Tindakan mogok lapar seseorang tahanan memberi masalah besar kepada Israel dan ia adalah cara berkesan untuk tahanan Palestin mendesak rejim Zionis mengkaji semula amalan kejam mereka, katanya.

Beliau berkata, ketika ini 310 warga Palestin, empat daripadanya anggota parlimen, dikenakan tahanan tanpa bicara di Israel.

Ferwaneh berkata, beliau berharap semua tahanan terbabit akan melancarkan mogok lapar beramai-ramai bagi memaksa Israel menghentikan kekejaman mereka.

Tindakan mogok lapar yang dilancarkan Adnan berjaya menyemarakkan bantahan di seluruh Tebing Barat dan Gaza, dan menarik simpati tahanan Palestin lain, katanya. - Agensi

Bekas kekasih dicuri orang punca tembak

Posted: 28 Feb 2012 01:24 PM PST

Dunia

CHARDON (Ohio): Seorang pelajar bertindak melepaskan tembakan di kafeteria sekolah menyebabkan seorang maut dan empat lagi cedera dipercayai kerana bekas teman wanitanya menjadi milik mangsanya atau disebabkan dia pernah dibuli.

Dua sebab itu dimaklumkan kepada pihak berkuasa yang masih belum menetapkan motif serangan pelajar Sekolah Tinggi Chardon, T J Lake, ketika sesi sarapan.

Rakan pelajar memberitahu media tempatan bahawa suspek adalah seorang pelajar yang tidak banyak bercakap, suka bersendirian dan mungkin dibuli atas sebab bertindak demikian. Ada saksi lain berkata, Lake seolah-olah menyasarkan serangan mangsa kerana menjalin hubungan intim dengan bekas teman wanitanya, lapor Reuters yang mengakui tidak dapat mengesahkan teori itu.

Pelajar di Ohio rata-rata terkejut dengan kejadian tembakan di sekolah Amerika Syarikat dalam tempoh hampir setahun.

Lake ditahan seorang guru yang mengejarnya selepas dia melepaskan tembakan, kata polis.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Daniel Parmertor, 16.
Berikutan itu, semua sekolah di Ohio ditutup sehingga esok bagi membolehkan penduduk bertenang dan mendoakan mangsa lain yang cedera pulih.

Kami mahu mereka tidak keluar rumah dan memikirkan pengajaran daripada kejadian yang berlaku, kata Superintendan Sekolah Chardon, Joseph Bergant, dalam sidang akhbar.

Dua daripada empat pelajar yang cedera dihantar ke Hospital MetroHealth, Cleveland, dan keadaan mereka dilaporkan tenat, kata Ketua Polis, Tim McKenna.

Jurucakap hospital, Shannon Mortland, menolak untuk memberi butir-butir terbaru keadaan mangsa berkenaan, antara seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang sebelum ini dikatakan tenat manakala seorang lagi pelajar wanita berusia 18 tahun dilaporkan stabil.

Peguam keluarga Lane menyifatkan remaja terbabit seorang yang baik dan tidak pernah terbabit dalam kejadian tidak diingini.

Kejadian ini memang tidak dijangka langsung. Keluarganya meminta semua pihak tidak mengganggu mereka ketika mereka cuba memahami bagaimana tragedi boleh berlaku dan berkabung atas kematian mangsa.

Chardon adalah satu bandar dengan 5,000 penduduk, menurut laman web Banci Amerika Syarikat baru-baru ini.

Kejadian tembakan paling buruk di sekolah Amerika berlaku pada 2007 apabila seorang pelajar Universiti Virginia Tech menembak mati 33 orang.

Ia menyusuli satu lagi kejadian tembakan di Sekolah Tinggi Columbina di Colorado pada 1999 yang menyebabkan 12 pelajar dan seorang guru maut. Reuters

Tiada ulasan:

Catat Ulasan