Selasa, 27 Disember 2011

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Honda tak jual kereta banjir

Posted: 27 Dec 2011 12:23 PM PST

Dunia

BANGKOK: Pengeluar kereta Jepun, Honda memusnahkan 1,055 kenderaannya di Thailand untuk memastikan kepada pelanggannya bahawa tiada kenderaan yang rosak dalam kejadian banjir di negara ini baru-baru ini dijual semula di pasaran.

Proses memusnahkan kenderaan terbabit di kilang Honda di wilayah tengah Ayuttaya mulai semalam dijangka mengambil masa sebulan, menurut kenyataan Honda.

Kebanyakan kereta terbabit yang akan dimusnahkan adalah kereta City kategori 'sedan' dan Brio serta Jazz 'hatchback'. Pengeluaran di kilang terbabit masih belum diteruskan semula. Laporan dari Thailand menyatakan, sebanyak 353 Honda City dimusnahkan, 217 jenis Brio, 213 Jazz, 150 Civic, 91 Accord, 30 CRV dan sebuah Freed.

Kilang kenderaan itu terletak di Rojana Industrial Park yang teruk dilanda banjir awal Oktober lalu memaksanya menangguhkan pengeluaran kenderaan. Gambar yang diambil dari udara menunjukkan beratus-ratus kereta baru terbenam dalam air berlumpur.

"Ketika kami mampu untuk menempatkan kebanyakan kereta baru yang menunggu penghantaran ke satu kawasan selamat, sebanyak 1,055 kenderaan masih berada di loji berkenaan yang akhirnya musnah dalam banjir," kata Pitak Pruittisarikorn, naib presiden eksekutif Honda Automobile Thailand. – AFP

Full content generated by Get Full RSS.

Sekutu al-Qaeda akui perancang serangan Baghdad

Posted: 27 Dec 2011 12:21 PM PST

Dunia

BAGHDAD: Satu kumpulan bersekutu dengan pergerakan al-Qaeda di Iraq mengaku bertanggungjawab atas beberapa serangan yang menggegarkan Baghdad minggu lalu hingga mengorbankan 69 orang.

Serangan terancang pada Khamis lalu mensasarkan pasar, kedai runcit, kafe dan bangunan kerajaan di kebanyakan kejiranan penduduk Syiah.

Ia berlaku ketika krisis kepemimpinan meletus membawa kepada ketegangan hubungan antara Sunnah dan Syiah. Ia adalah serangan besar-besaran pertama sejak tentera Amerika Syarikat melengkapkan pengunduran penuh dari Iraq bulan ini.

Pada masa sama, ia menambah keraguan mengenai keupayaan pasukan keselamatan Iraq untuk melindungi negara itu. Hampir 200 orang cedera dalam pengeboman itu.

Menurut Kumpulan Perisikan SITE, sebuah organisasi berpusat di Amerika yang memantau lalu lintas web kumpulan jihad, pengakuan itu dihantar lewat kelmarin dalam laman web militan.

Kumpulan Negara Islam Iraq menggelar serangan itu sebagai 'pencerobohan hari Khamis,' bertujuan menyokong penduduk Sunnah yang dipenjara dan membalas dendam terhadap mereka yang dipenggal kerajaan Syiah.
"Serangan khas dilancarkan bagi menyokong tahanan Sunnah di penjara ditadbir golongan murtad dan membalas dendam terhadap tahanan yang dipenggal," kata kenyataan mereka.

Kumpulan itu juga berkata serangan berkenaan adalah bukti bahawa mereka 'tahu di mana dan bila untuk menyerang dan mujahidin tidak akan berdiri dengan tangan mereka terikat berpunca daripada rancangan berasal dari Iran.'

Kenyataan itu merujuk kepada tuduhan pemimpin Sunnah bahawa kerajaan Syiah bersekongkol dengan negara jiran Syiah, Iran, musuh ketat Baghdad ketika di bawah pemerintahan rejim Saddam Hussein.

Washington dan sesetengah pegawai Iraq memberi amaran kemunculan semula militan Sunnah dan Syiah serta meningkatnya keganasan selepas pengunduran tentera Amerika. – AP

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan