Selasa, 27 September 2011

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Banjir besar landa Manila

Posted: 27 Sep 2011 02:51 PM PDT

Dunia

PENDUDUK bandar Tanza di utara Manila meredah banjir yang berlaku selepas dilanda taufan Nesat.

PENDUDUK bandar Tanza di utara Manila meredah banjir yang berlaku selepas dilanda taufan Nesat.

16 terbunuh taufan Nesat bawa hujan, angin kencang ke Filipina

MANILA: Penduduk Manila meredah banjir separas pinggang dan sampah sarap semalam selepas taufan Nesat melanda negara itu, meragut sekurang-kurang 16 nyawa dan membawa ombak setinggi pokok palma menghentam tembok di tepi laut.

Kebanyakan kematian berlaku di ibu negara Manila yang sudah tenggelam akibat hujan monsun lebat sebelum kedatangan Taufan Nesat membawa hujan lebat dan angin selaju 150 kilometer sejam.

Semua tempat dilanda banjir. Kami tiada tempat berlindung. Malah, motosikal saya pun penuh air, kata Ray Gonzales, antara beribu-ribu penduduk yang terperangkap akibat banjir kilat itu. Ada penduduk bertindak pantas keluar dari rumah selepas dinaiki air termasuk kawasan di pinggir Manila, Marikina apabila 2,000 orang terpaksa menyelamatkan diri daripada air sungai yang melimpah ke sekolah rendah menghanyutkan haiwan kesayangan, televisyen, beg pakaian dan botol minuman.

Kita boleh ganti barang, tetapi tidak nyawa, kata penjaga bangunan Banny Domanais yang tiba di sekolah bersama isteri dan tiga anak perempuannya.

Nesat awalnya melanda pulau utama Filipina memusnahkan kawasan pertanian dan mengakibatkan banjir, bekalan tenaga terputus dan pasaran kewangan, sekolah, pengangkutan dan pejabat kerajaan ditutup.

Antara mangsa termasuk bayi lelaki berusia 22 bulan yang mati dalam ribut, manakala empat lagi hilang, lapor agensi bencana.
Taufan Nesat dikategori sebagai taufan tahap tiga dengan kelajuan angin 200 kilometer sejam apabila ia melanda wilayah utara pulau Luzon, kata agensi Risiko Ribut Tropika.

Ia hilang kekuatan ketika bergerak ke barat laut menyeberangi Luzon kira-kira 20 kilometer sejam dan pusat dijangka reda di persisiran pantai barat laut petang semalam, walaupun hujan dan angin masih melanda.

Kami belum dapat menganggarkan kemusnahan ketika ini kerana taufan terus melanda banyak wilayah, kata ketua agensi bencana alam nasional, Benito Ramos.
Kebanyakan kawasan di ibu negara Manila yang mempunyai penduduk 13 juta, terputus bekalan elektrik. Pihak berkuasa menutup sesetengah rangkaian rel sebagai langkah berjaga-jaga selepas angin kuat memutuskan bekalan tenaga dan merobohkan tiang elektrik.

Sejumlah penerbangan turut dibatalkan. Di daerah Makati, papan tanda iklan jatuh di atas dua kereta dan sebuah bas mengakibatkan kecederaan.

Ini adalah pemotongan bekalan secara sementara supaya tiada kemalangan, litar pintas kerana tiang elektrik roboh, yang mungkin berlaku litar pintas, kata Ramos. Reuters/AP

Angin kuat turut menumbangkan pokok dan papan iklan di jalan utama. Runtuhan menyekat laluan jalan raya di ibu negara dan wilayah dan pegawai memberi amaran yang risiko tanah runtuh daripada hujan lebay di kawasan pergunungan. Reuters/ AP


Kaji pasport Thaksin

Posted: 27 Sep 2011 02:50 PM PDT

Dunia

Yingluck cadang serah semula dokumen abangnya

NEW YORK: Kerajaan baru Thailand pimpinan Yingluck Shinawatra menimbang untuk memberikan semula pasport kepada abangnya, Thaksin Shinawatra kerana percaya sabitan rasuah terhadap bekas Perdana Menteri itu bermotif politik.

Menteri Luar Thai, Surapong Tovichakchaikul, berkata beliau melihat dari segi undang-undang mengenai rampasan pasport diplomatik Thaksin pada 2009.

Beliau berkata, rampasan itu tidak adil kerana tiada warga Thai kehilangan dokumen pengenalan kerana sabitan undang-undang. Thaksin yang banyak menghabiskan masa di Emiriah Arab Bersatu (UAE) sudah mendapatkan kewarganegaraan dan pasport Montenegro dan Nicaragua, membolehkan beliau berada di luar negara.

Surapong juga menganggap sabitan Thaksin pada 2008 adalah lebih daripada politik dan mungkin ditarik balik pada masa depan.

Thaksin dituduh membantu isterinya membeli hartanah bernilai tinggi di Bangkok dari agensi negeri pada 2003 ketika beliau perdana menteri.

Surapong berkata, hartanah itu sudah diserahkan kepada kerajaan dan keputusan mahkamah itu sepatutnya terbatal.
Selain itu, Thaksin sudah membantu menjernihkan hubungan di antara Thailand dan Kemboja selepas pertumpahan darah awal tahun ini.

Pada masa sama, beliau terus menafikan dakwaan bahawa Thaksin merangka dasar untuk kerajaan baru.

Surapong memberitahu, bekas pemimpin itu hanya memberi nasihat kepada Parti Pheu Thai untuk melaksanakan janji jika memenangi pilihan raya Julai lalu.
Tiada langsung pembabitan Thaksin dalam menentukan dasar kerajaan, kata Surapong di luar Perhimpunan Agung PBB.

Thaksin yang juga bekas pemilik rangkaian telekomunikasi diusir dalam rampasan kuasa pada 2006 dan kemudian dijatuhkan hukuman penjara dua tahun semasa ketiadaannya dan disekat pulang.

Walaupun hidup dalam buangan, beliau masih dianggap menyumbang kepada perpecahan politik di Thailand yang membawa kepada keganasan tahun lalu apabila penyokong setianya memenuhi tengah Bangkok yang mengundang tindakan keras tentera. Lebih 90 mati dalam keganasan itu.

Dengan sokongan padu Thaksin di kawasan luar bandar Thailand, adik bongsunya, Yingluck yang masih mentah dalam arena politik menjadi perdana menteri wanita Thailand pertama.

Surapong yang berkait dengan keluarga Shinawatra melalui perkahwinan berkata, hubungan Thai-Kemboja terjejas di bawah kerajaan Thai sebelum ini tetapi semakin baik sekarang. AP


Tiada ulasan:

Catat Ulasan