Rabu, 24 Ogos 2011

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Bandar raya New York, Washington bergegar

Posted: 24 Aug 2011 03:40 PM PDT

Dunia

ORANG ramai berkumpul di Freedom Plaza selepas gegaran akibat gempa bumi di Washington, semalam.

ORANG ramai berkumpul di Freedom Plaza selepas gegaran akibat gempa bumi di Washington, semalam.

Gempa di pusat bandar dirasai sehingga ke Toronto

WASHINGTON: Gempa bumi luar biasa melanda bahagian pantai timur Amerika dan Kanada kelmarin, menggegarkan bangunan dan memaksa pengosongan bangunan pejabat di beberapa bandar dan menangguhkan penerbangan di New York.

Pada masa sama, pihak berkuasa memulakan langkah berjaga-jaga berikutan taufan Irene yang sedang bergerak dari Caribbean dan dijangka membadai wilayah itu hujung minggu ini.

Tiada sebarang laporan kemusnahan teruk atau kecederaan akibat gempa bumi dengan magnitud 5.9 yang dilaporkan Jabatan Geologi Amerika Amerika sebagai berpusat di Mineral, Virginia pada kedalaman satu kilometer. Tiga menara di Gereja Nasional Washington, kawasan perkuburan negeri untuk beberapa Presiden Amerika Syarikat rosak dan patah, manakala tempat kongres bersidang, US Capitol mengalami kerosakan kecil kelmarin akibat gempa bumi.

Pengarah komunikasi gereja Episcopal, Richard Weinberg, berkata menara pusat setinggi 30 tingkat mengalami kerosakan ketara dengan tiga corak bunga lili pecah dan jatuh.

Gereja Nasional dengan berat 150,000 tan dan dibina menggunakan batu kapur dan mengambil masa 83 tahun untuk disiapkan adalah puncak yang tertinggi di Washington.

Kakitangan Pentagon dan US Capitol diarah mengosongkan bangunan. Pekerja pejabat yang panik keluar ke jalan di bandar itu selepas waktu makan tengah hari yang menyebabkan peralatan pejabat jatuh dari rak serta tempat penyimpanan.
"Kami dapat berasa gegarannya," kata Larry Beach yang bekerja di Agensi Perkembangan Antarabangsa Amerika Syarikat di pinggir Washington, yang terletak kira-kira 133 kilometer dari pusat gempa.

Di NEW YORK, gegaran turut memaksa mahkamah dan majlis bandaran dikosongkan, manakala kerja pembinaan di tapak Pusat Dagangan Dunia ditangguhkan.

Menara kawalan di Lapangan Terbang Antarabangsa John F Kennedy di bandar raya New York dan Lapangan Terbang Newark Liberty di New Jersey turut dikosongkan dan penerbangan ditangguhkan sementara pihak berkuasa memeriksa menara kawalan dan landasan.

"Kami harap dalam menyambung operasi. Kami bercakap mengenainya berjam-jam," kata jurucakap Pihak Berkuasa Pelabuhan New York dan New Jersey.

Tidak jelas sama ada sebarang kerosakan atau kecederaan di New York, tetapi jabatan bomba dan pegawai polis di Dutchess County, utara bandar raya New York melaporkan kerosakan struktur pada sesetengah bangunan.

"Kami menerima banyak panggilan mengenai bangunan bergegar, tetapi tiada laporan kerosakan struktur buat masa ini, hanya orang ramai yang panik menghubungi mengenai bangunan bergegar," kata jurucakap jabatan Bomba bandar raya New York.

Bangunan di Boston turut dikosongkan, sementara saksi memberitahu yang gempa turut dirasai sejauh Toronto.

Lampu trafik juga tidak berfungsi di seluruh Washington dan unit di loji nuklear Virginia turut terputus berikutan gempa itu. – Reuters


Gaddafi hilangkan diri, atur strategi

Posted: 24 Aug 2011 03:38 PM PDT

Dunia

PEMBERONTAK memijak patung kepala Gaddafi di  Bab al-Aziziya,   Tripoli, kelmarin.

PEMBERONTAK memijak patung kepala Gaddafi di Bab al-Aziziya, Tripoli, kelmarin.

Ahli perniagaan tawar RM5.34j tangkap pemimpin diguling

BENGHAZI: Sekumpulan ahli perniagaan Libya menawarkan ganjaran dua juta dinar (RM5.34 juta) kepada sesiapa yang dapat menangkap pemimpin negara itu Muammar Gaddafi, sama ada hidup atau mati, kata Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC).

"NTC menyokong inisiatif ahli perniagaan berkenaan yang sanggup menawarkan dua juta dinar sebagai ganjaran untuk menangkap Gaddafi hidup atau mati," kata bekas menteri kehakiman Libya Mustafa Abdel Jalil yang berpaling tadah dan menyertai pemberontak.

Beliau berkata pihaknya juga menawarkan pengampunan kepada sekutu atau penyokong Gaddafi yang berjaya menangkap atau membunuh Gaddafi. "Kami bimbang Gaddafi akan mencetuskan masalah besar berikutan kedegilannya," kata beliau yang mengesahkan laporan bahawa pertempuran masih berterusan antara penyokong pemimpin itu dan pemberontak di Bab al-Aziziya.

Sementara itu, Gaddafi mengakui sudah meninggalkan kediaman utamanya di Tripoli iaitu Bab al-Aziziyah yang ditawan penentangnya semalam sambil menyifatkan tindakannya menghilangkan diri bertujuan memberikan peluang kepadanya mengatur strategi terhadap musuh.

"Bab al-Aziziyah tiada makna lagi kerana sudah musnah selepas menjadi sasaran 64 kali serangan peluru berpandu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

'Kami berundur atas sebab taktikal," katanya dalam ucapan yang disiarkan sebuah laman web stesen televisyen milik anak lelakinya, Saif al-Islam.
Ucapan itu turut dipetik saluran Al-Oruba yang pro-Gaddafi selepas pemberontak merempuh masuk kediaman berkenaan tetapi tidak menemui pemimpin itu atau mana-mana anggota keluarganya.

Tidak diketahui di mana Gaddafi mungkin berada. Tetapi, bagi sesetengah pihak, ada banyak tempat yang boleh melindungi Gaddafi termasuk di bawah tanah.

Lelaki yang memerintah Libya selama 42 tahun dikenali mempunyai banyak kubu bawah tanah di Bab al-Aziziyah di Tripoli.

Beberapa orang pernah melihat terowong itu dan masih tidak jelas ia wujud.
Sepanjang enam bulan pemberontakan, Gaddafi dilihat semakin kurus dan cengkung melakukan beberapa penampilan di khalayak kemudian menghilang.

Selepas pemberontak memasuki kediaman itu, Isnin lalu, pemimpin itu sekali lagi hilang. Ramai pemberontak yakin beliau berkurung di Bab al-Aziziyah, seorang pegawai kanan, Fathi al Baja memberitahu ada laporan mengatakan Gaddafi yang hampir 70 tahun mengalami serangan jantung dan terlantar di kediamannya. – AP/AFP


Tiada ulasan:

Catat Ulasan