Ahad, 3 Julai 2011

Utusan Online - Luar Negara

Utusan Online - Luar Negara


Pheu Thai menang besar

Posted:

Pheu Thai menang besar

Pheu Thai menang besar


Yingluck Shinawatra melambai kepada penyokongnya yang berkumpul di pekarangan ibu pejabat Parti Pheu Thai bagi meraikan kemenangan besar parti itu pada pilihan raya umum Thailand, di Bangkok semalam. - Reuters


BANGKOK 3 Julai - Parti Pheu Thai memperoleh kemenangan besar pada pilihan raya umum Thailand hari ini, membuka laluan kepada Yingluck Shinawatra untuk menjadi Perdana Menteri wanita pertama negara ini dalam kejayaan bagi gerakan politik 'Baju Merah'.

Sehingga pukul 11.00 malam ini selepas 97 peratus undian dikira, Pheu Thai (Untuk Rakyat Thai) memenangi 263 daripada 500 kerusi, jauh mendahului Parti Demokrat yang hanya memperoleh 161 kerusi, lapor Suruhanjaya Pilihan Raya.

Parti Bhumjai Thai memenangi 35 kerusi, Chart Thai Pattana (21), Chart Thai Pattana Phea Pandin (10) Palong Chan (7), Rak Thailand (4), Matubhum (2), dan masing-masing satu kerusi oleh Rak Santi serta Parti Demokrat Baru.

Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva dalam reaksinya mengakui kekalahan tersebut dan mengucapkan tahniah kepada Yingluck.

"Keputusannya jelas, Pheu Thai memenangi pilihan raya dan Parti Demokrat tewas," kata Abhisit kepada penyokongnya di ibu pejabat parti beliau di Bangkok.

Yingluck yang meraikan kemenangannya di ibu pejabat Pheu Thai berkata, Perdana Menteri Thailand itu ada menghubunginya untuk mengucapkan tahniah selain mengingatkan tentang cabaran baru yang bakal dihadapinya.

"Terima kasih kepada rakyat yang keluar mengundi. Saya tidak mahu katakan ia adalah kejayaan untuk saya dan parti saya, tetapi rakyat memberi peluang kepada saya dan saya akan buktikan kemampuan," katanya.

Adik kepada jutawan telekomunikasi, Thaksin itu berkata, beliau berhasrat menubuhkan kerajaan campuran berikutan kemenangan itu.

Aktivis Baju Merah memberi sokongan padu kepada Yingluck, 44, dan menuduh Abhisit bersekongkol dengan tentera untuk bertindak sewenang-wenangnya, rungutan yang berlarutan sejak tentera menggulingkan Thaksin pada 2006.

Bagaimanapun Abhisit, 46, seorang ahli ekonomi yang dilahirkan di Britain dan mendapat pendidikan di Universiti Oxford telah memberi amaran Thailand boleh kembali menjadi tidak stabil jika Yingluck menang.

Penyokong Abhisit yang terdiri daripada pihak istana dan golongan kelas menengah di bandar mahu Thaksin menjalani hukuman penjara dua tahun kerana kesalahan rasuah dan menyalahgunakan kuasa.

Suruhanjaya Pilihan Raya mempunyai tempoh hingga 2 Ogos untuk mengesahkan keputusan pilihan raya itu. - Reuters/AP/AFP

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Hormati keputusan pilihan raya – Thaksin

Posted:

Hormati keputusan pilihan raya – Thaksin

Hormati keputusan pilihan raya – Thaksin


Thaksin Shinawatra


BANGKOK 3 Julai – Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra hari ini menyeru semua pihak supaya menghormati keputusan pilihan raya umum yang dimenangi oleh parti pimpinan adik perempuannya, Yingluck.

Thaksin yang bercakap dari Dubai juga berkata, beliau akan menunggu waktu yang sesuai untuk kembali ke tanah air.

"Semua parti mesti menghormati keputusan rakyat, kalau tidak negara kita tidak akan mengecapi keamanan.

"Saya fikir rakyat mahu melihat perdamaian dan melangkah ke depan, Pheu Thai (parti pembangkang utama) mengemukakan dasar perdamaian yang jelas dan kami tidak akan membalas dendam," kata bekas jutawan telekomunikasi itu kepada stesen penyiaran Thai, PBS.

Adik perempuan bongsu Thaksin, Yingluck, 44, kini dijangka menjadi Perdana Menteri wanita pertama Thailand.

"Dia menghadapi tugas sukar kerana pertama, dia perlu mencapai perdamaian yang penting bagi pembangunan, dan kemudian dia perlu merombak sistem ekonomi dan birokrasi yang dimusnahkan dalam beberapa tahun kebelakangan," kata Thaksin kepada PBS.

Semasa berkempen, Pheu Thai mengesyorkan pengampunan untuk ahli politik yang didapati bersalah atas kesalahan jenayah, iaitu langkah yang dipercayai bertujuan untuk membolehkan Thaksin pulang ke tanah air.

Bekas Perdana Menteri itu sebelum ini menyuarakan harapan agar dapat menghadiri majlis perkahwinan anak perempuannya di Thailand pada Disember ini.

Namun ramai meragui golongan elit dalam kerajaan, tentera dan di istana akan membenarkan beliau kembali sebagai seorang yang bebas kerana mereka mahu beliau menjalani hukuman penjara atas kesalahan rasuah.

"Saya tidak mahu pulang dengan segera kerana saya boleh tinggal di sini, tetapi saya benar-benar ingin menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan saya.

"Namun saya tidak mahu mencetuskan masalah dengan pulang ke tanah air," kata Thaksin apabila ditanya mengenai rancangannya. – AFP

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan