Ahad, 3 Julai 2011

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Yingluck menang pilihan raya

Posted: 03 Jul 2011 02:43 PM PDT

Dunia

Puea Thai rampas 260 daripada 500 kerusi Parlimen dipertandingkan

BANGKOK: Parti Puea Thai pimpinan Yingluck Shinawatra, adik bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra, memenangi pilihan raya umum Thailand semalam dengan majoriti kerusi di Parlimen, membuka jalan kepada kemungkinan kembalinya Thaksin yang digulingkan tentera pada 2006.

Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva mengaku kalah dan mengucapkan tahniah kepada Yingluck, 44 yang akan menjadi Perdana Menteri wanita pertama negaranya.Selepas 92 peratus undi dikira, Puea Thai memenangi 260 kerusi daripada 500 yang dipertandingkan dalam pilihan raya umum semalam.
Parti Demokrat pimpinan Abhisit memenangi 163 kerusi, menurut suruhanjaya pilihan raya.

"Keputusan pilihan raya adalah jelas, Puea Thai memenangi pilihan raya dan Demokrat kalah, kita perlu hormati keputusan yang dibuat dalam pilihan raya," Abhisit memberitahu penyokongnya di ibu pejabat parti kerajaan itu di sini malam semalam.

Pilihan raya umum berkenaan adalah ujian pertama bagi kerajaan Abhisit yang disokong tentera selepas bantahan rakyat tahun lalu menyaksikan penunjuk perasaan yang menyokong Thaksin melumpuhkan ibu negara sehingga tentera menyuraikan mereka dengan tindakan ganas yang menyebabkan lebih 90 orang terbunuh.
Yingluck memberitahu penyokongnya di ibu pejabat Puea Thai di sini: "Saya mempunyai tugas yang berat pada masa depan."

"Terima kasih kepada rakyat yang keluar mengundi," kata Yingluck yang baru menceburi diri dalam politik dan digelar Thaksin sebagai klon beliau.

Di sebalik kebimbangan kemenangan Puea Thai akan mencetuskan huru hara atau rampasan kuasa baru, Thaksin menyeru semua pihak menghormati keputusan pilihan raya.

"Semua pihak mesti menghormati keputusan ini sekiranya rakyat mahu menyaksikan Thailand mengecap keamanan," kata hartawan yang memilih untuk hidup dalam buangan di Dubai berikutan didapati bersalah atas kesalahan rasuah.

Thaksin disokong kebanyakan pengundi di kawasan luar bandar kebanyakannya rakyat miskin berikutan dasar kerajaannya yang popular seperti penyediaan perkhidmatan kesihatan yang murah serta memperkenalkan skim kredit mikro.

Bagaimanapun beliau dibenci golongan elit yang melihatnya sebagai pemimpin yang korup, kuku besi dan menjadi ancaman kepada institusi raja di negara berkenaan. – AFP


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Thaksin hubungi adik ucap tahniah

Posted: 03 Jul 2011 02:43 PM PDT

Dunia

pix_gal0
BANGKOK: Bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra (atas) yang hidup dalam buangan di luar negara menghubungi adik perempuan bongsunya semalam untuk mengucapkan tahniah selepas keputusan unjuran undian menunjukkan keputusan pilihan raya memihak kepada parti pembangkang yang diwakilinya.

"Thaksin menghubungi saya mengucapkan tahniah dan memberitahu tugas berat yang menanti saya selepas ini," kata Yingluck Shinawatra sambil tersenyum kepada penyokong setianya di ibu pejabat parti Puea Thai di Bangkok, semalam.

Thaksin yang tinggal di luar negara kebanyakannya di Dubai, untuk mengelakkan hukuman penjara di atas tuduhan rasuah tetapi adik perempuannya yang berusia 44 tahun itu dilihat sebagai proksi politiknya. "Terima kasih kepada rakyat yang keluar mengundi," katanya sambil menambah walaupun unjuran awal menaikkan semangat tetapi beliau menunggu kepada keputusan rasmi sebelum mengumumkan kemenangan.

Parti Puea Thai Thaksin dijangka memenangi 313 daripada 500 kerusi, mengalahkan 152 kerusi yang dimenangi parti Demokrat yang diwakili Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva, menurut ramalan Universiti Suan Dusit. Satu lagi unjuran undi turut memberikan gambaran sama.

Pilihan raya ini menjadi ujian pilihan raya pertama bagi kerajaan yang disokong kumpulan elit sejak bantahan besar-besaran oleh penyokong Baju Merah yang menyebelahi Thaksin tahun lalu. – AFP.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan