Selasa, 22 Februari 2011

Utusan Online - Luar Negara

Utusan Online - Luar Negara


Libya semakin tegang

Posted:

Libya semakin tegang

Libya semakin tegang


Penunjuk perasaan mengibarkan bendera gergasi Libya di bumbung sebuah bangunan dalam satu bantahan antikerajaan di bandar pelabuhan Tobruk, kelmarin. – Reuters


WASHINGTON 22 Feb. – Kerajaan pimpinan Muammar Gaddafi terus menerima tekanan untuk berundur apabila duta-duta Libya di luar negara menyokong pengunduran tersebut.

Duta Libya ke Amerika Syarikat (AS), Ali Adjali menyertai para diplomat lain mendesak Gaddafi berundur dan meminta masyarakat antarabangsa mengutuk tindakan kejam rejim itu dalam menyuraikan demonstrasi bantahan di negara tersebut.

"Saya rasa beliau patut melepaskan jawatannya selepas apa yang berlaku di negara kami sekarang. Bagaimana saya hendak menyokong kerajaan yang membunuh rakyatnya sendiri,'' katanya yang berkhidmat sebagai duta negara itu ke AS sejak 2009.

Duta Libya ke Dhaka, Bangladesh, Ahmed A. H. Elimam pula meletakkan jawatannya bagi menyatakan sokongan kepada demonstrasi bantahan terhadap Gaddafi.

Elimam menyerahkan surat peletakan jawatannya semalam dan telah memaklumkan pihak berkuasa Bangladesh tentang keputusannya itu, lapor akhbar Prothom Alo yang memetik seorang pegawai yang enggan namanya disiarkan.

Tindakan sama turut diambil oleh duta Libya ke India, Ali al-Essawi yang melepaskan jawatannya hari ini.

Al-Essawi hari ini memberitahu Associated Press bahawa beliau membuat keputusan tersebut kerana tidak dapat menerima tindakan keganasan kerajaannya terhadap rakyat Libya.

Dalam pada itu, Kedutaan Libya di Australia hari ini dilapor memutuskan hubungan dengan Gaddafi.

Pegawai kedutaan itu tidak dapat dihubungi namun Kaunselor Kebudayaan kedutaan, Omran Zwed berkata, mereka kini mewakili rakyat Libya dan bukan lagi rejim negara itu.

Sementara itu, para diplomat Libya ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam melahirkan sokongan terhadap pengunduran pemimpin negara itu dan meminta tentera campur tangan.

Dalam satu kenyataan, timbalan ketua misi Libya ke PBB dan kakitangan lain menyatakan, mereka yang menyediakan perkhidmatan untuk rakyat mendesak pengunduran rejim dengan segera dan menggesa kedutaan Libya lain mengambil tindakan sama. – AP/APF/dpa

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Gempa kuat bunuh 65 mangsa

Posted:

Gempa kuat bunuh 65 mangsa

Gempa kuat bunuh 65 mangsa


Pekerja penyelamat menjalankan operasi mencari dan menyelamatkan mangsa yang terperangkap di bangunan Pyne Gould Guinness yang runtuh dalam satu gempa bumi sekuat 6.3 pada skala Richter di Christchurch, New Zealand, semalam. – AFP


WELLINGTON 22 Feb. – Sekurang-kurangnya 65 orang terkorban dalam satu gempa bumi kuat berukuran 6.3 pada skala Richter yang melanda bandar raya kedua terbesar di New Zealand, Christchurch hari ini.

Angka korban dijangka meningkat kerana ramai mangsa yang masih terperangkap di dalam bangunan yang runtuh dan pasukan penyelamat giat menjalankan gerakan untuk mencari mereka.

Gempa bumi itu adalah yang kedua melanda Christchurch selepas gempa bumi kuat pada September lalu dan malapetaka paling dahsyat di negara ini dalam tempoh 80 tahun.

"Kita mungkin menyaksikan hari paling tragik dalam sejarah New Zealand. Jumlah kematian yang saya terima buat masa ini ialah 65 orang dan angka itu boleh meningkat," kata Perdana Menteri, John Key di televisyen tempatan.

Gempa bumi itu berlaku sekitar waktu makan tengah hari iaitu 12.51 petang (7.51 pagi waktu Malaysia) ketika jalan-jalan dan kedai penuh sesak dengan orang ramai dan pekerja masih berada di pejabat.

Datuk Bandar Christchurch menggambarkan bandar raya yang mempunyai hampir 400,000 penduduk ini sebagai zon perang.

"Kita akan menyaksikan banyak kematian, kecederaan dan kesedihan di bandar raya ini," kata Bob Parker kepada televisyen Australia menerusi telefon.

Beliau kemudian memberitahu radio tempatan, sehingga 200 orang mungkin terperangkap dalam runtuhan bangunan.

Gempa bumi itu adalah malapetaka terburuk di negara ini sejak 256 orang maut dalam gempa bumi di bandar Napier, North Island pada 1931.

Gegaran hari ini berpusat kira-kira 10 kilometer ke barat daya Christchurch, yang mengalami kerosakan meluas akibat gempa bumi 7.1 pada skala Richter pada September lalu tetapi tiada kematian. – Reuters

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan