Khamis, 10 Februari 2011

Utusan Online - Luar Negara

Utusan Online - Luar Negara


Amaran tindakan keras Mesir

Posted:

Amaran tindakan keras Mesir

Amaran tindakan keras Mesir


PENUNJUK perasaan berarak sambil membawa lilin melepasi kereta kebal tentera bagi memperingati mangsa yang maut sepanjang protes berlangsung di Dataran Tahrir, kelmarin. - REUTERS


KAHERAH 10 Feb. - Kerajaan Mesir semalam memberi amaran satu tindakan keras tentera mungkin diambil ketika penunjuk perasaan antikerajaan terus berleluasa dan terdapat laporan menyatakan tentera menahan dan mendera aktivis prodemokrasi.

Beratus-ratus penunjuk perasaan berarak ke Parlimen dari Dataran Tahrir semalam, sehari selepas tunjuk perasaan besar-besaran dilancarkan ketika protes terus berleluasa di seluruh negara.

Menteri Luar Ahmed Abul Gheit memberi amaran, pihak tentera yang sehingga kini masih berlembut akan campur tangan jika protes menentang pemerintahan Presiden Hosni Mubarak bertambah buruk.

"Jika huru-hara berlaku, tentera akan campur tangan untuk mengawal negara, langkah yang mungkin akan membawa kepada situasi berbahaya," lapor agensi berita MENA yang memetik kenyataan Abul Gheit ketika ditemu bual oleh televisyen Al-Arabiya.

Kenyataan menteri itu dikeluarkan selepas Naib Presiden yang baru dilantik, Omar Suleiman memberi amaran kemungkinan 'rampasan kuasa' berlaku jika peralihan kuasa secara aman gagal dilakukan.

Abul Gheit turut mengecam Amerika Syarikat (AS) kerana menggesa Mesir melakukan pembaharuan segera.

Sejurus selepas kenyataan itu dibuat, Washington mengulangi gesaannya sebelum ini supaya tentera Mesir terus bertahan.

Tunjuk perasaan hari ini tidak menunjukkan sebarang tanda akan reda dengan berpuluh-puluh ribu orang masih memenuhi Dataran Tahrir pada minggu ketiga protes.

Lebih kurang 1,000 orang berhimpun di Parlimen untuk menuntut anggotanya meletak jawatan dan berjanji tidak akan berganjak sehingga pembubaran dilakukan.

Sementara itu, kumpulan hak asasi manusia dan penunjuk perasaan memberitahu akhbar Britain, Guardian bahawa tentera secara rahsia menahan beratus-ratus penunjuk perasaan antikerajaan dan sesetengahnya diseksa.

"Operasi mereka sangat meluas, dari mereka yang ditahan di kawasan protes, ditahan kerana melanggar perintah berkurung, melawan arahan pegawai tentera atau ditahan kerana disyaki atau kerana kelihatan seperti rakyat asing," kata pengarah Inisiatif Mesir untuk Hak Peribadi, Hossam Bahgat, di Kaherah.

Menurut seorang lelaki, dia ditahan oleh tentera ketika mengambil bekalan ubat untuk penunjuk perasaan yang cedera di Muzium Artifak Mesir. - AFP

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Thailand, Kemboja bukan berperang - TPM

Posted:

Thailand, Kemboja bukan berperang - TPM

Thailand, Kemboja bukan berperang - TPM

BANGKOK 10 Feb. - Timbalan Perdana Menteri Thailand, Suthep Thaugsuban hari ini menegaskan ketegangan yang berlaku di sepanjang sempadan Thailand dan Kemboja berpunca daripada pertempuran antara tentera sempadan kedua-dua negara dan bukannya disebabkan oleh perang.

Kenyataan Suthep yang bertanggungjawab dalam soal keselamatan negara itu sekali gus menyangkal kenyataan Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen yang mengatakan Thailand dan Kemboja sedang berperang.

Dalam reaksinya kepada laporan yang menyatakan Hun Sen enggan berunding dengan Thailand dan mahu campur tangan pihak ketiga, Suthep berkata, pendirian Perdana Menteri Kemboja itu nampaknya merupakan satu langkah diplomatik bagi mengambil kesempatan ke atas Thailand.

Beliau juga menegaskan yang kerajaan Thailand mahu memulihkan keamanan serta membendung pertikaian sempadan dengan Kemboja dan ia jelas memperlihatkan pendirian tegas negara ini kepada masyarakat antarabangsa.

Mengulas mengenai kenyataan Menteri Luar Thailand, Kasit Piromya baru-baru ini bahawa Kemboja merupakan pembuli, Suthep berkata, menteri itu memberikan satu kenyataan umum dan berkomunikasi secara jelas yang negara ini tidak memulakan pertempuran itu atau pun menyerang Kemboja.

Ketika ditanya sama ada Thailand bersedia untuk memberikan keterangan di hadapan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersama-sama Kemboja pada 14 Februari ini, Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau percaya Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Thailand bersedia dan berupaya menyampaikan fakta-fakta yang benar.

Sementara itu, media Kemboja melaporkan, Hun Sen telah membuat persediaan strategi jangka masa panjang untuk berjuang menentang Thailand dan mengumumkan pelan strategik itu akan dilaksanakan bagi tempoh beberapa tahun. - BERNAMA

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan