Sabtu, 5 Februari 2011

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Terminal gas Mesir ke Israel kena letup

Posted: 05 Feb 2011 02:37 PM PST

Dunia

Serangan dipercayai perbuatan penentang kerajaan ketika protes anti-Mubarak masuk hari ke-12

KAHERAH: Penyerang yang tidak dikenali meletupkan terminal yang menyalurkan gas dari Mesir ke Israel berdekatan Semenanjung Gaza, semalam berikutan bantahan terhadap rejim Presiden Hosni Mubarak berterusan.

Penyerang meletupkan terminal dan saluran paip di Sheikh Zuwayed, kawasan Sinai, 10 kilometer dari Semenanjung Gaza, kata pegawai. Letupan kuat di terminal gas utara Semenanjung Senai di Mesir menyebabkan kebakaran yang apinya boleh dilihat sejauh puluhan kilometer, kata pegawai dan saksi.

Bekalan gas dilaporkan terjejas di Israel serta Mesir selepas serangan.
Tiada kecederaan dilaporkan dan kebakaran dapat dikawal selepas gas ditutup serta berlaku ketika protes anti Mubarak masuk hari ke-12 .

Gabenor wilayah itu, Abdel Wahab Mabrouk, berkata pihaknya mengesyaki ia disabotaj tetapi tiada maklumat lanjut.
Semenanjung Sinai yang menjadi kediaman bagi puak Badwi sudah lama menjadi kawasan pertelingkahan antara penduduk dan pasukan keselamatan. Ia terletak di sempadan Semenanjung Gaza dan Israel di bawah kuasa pemerintahan Hamas.

Letupan itu berlaku awal semalam di kawasan yang hanya terletak beberapa meter dari lapangan terbang tempatan.

Mabrouk memberitahu stesen televisyen berita Nile bahawa kebakaran itu berjaya dikawal pagi semalam selepas beberapa injap gas ditutup. Saluran paip gas itu menyalurkan gas dari Pelabuhan Said Mesir ke Laut Mediteranian ke Israel, Syria dan Jordan.

Tiada laporan rasmi mengesahkan punca letupan. Radio Israel yang memetik pegawai terminal sebagai berkata kejadian berpunca daripada letupan kecil daripada alat yang ditanam dan diletupkan.

Kebakaran itu dapat dilihat dari bumbung rumah di sempadan Gaza-Mesir, kira-kira 70 kilometer jauh. Api menjulang ke udara tetapi tiada asap dan ia padam pada pertengahan pagi, kata penduduk.

Saluran paip gas itu pernah diserang puak Badwi sebagai menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan Mesir yang didakwa mengabai dan mengamalkan diskriminasi terhadap puak itu.

Israel bergantung kepada saluran paip itu untuk menyalurkan gas bagi kegunaan tenaga dan sudah membelanjakan bilion dolar untuk menyalurkan gas ke negara itu.

"Buat masa ini, bekalan gas ke Israel dihentikan mengikut senario kecemasan," kata jurucakap Kementerian Prasarana Israel, Chen Ben Lulu.

Mesir mempunyai simpanan gas asli sebanyak 1.7 trilion meter padu dan yang ke 18 terbesar di dunia.

Mesir mula membekalkan gas asli kepada Israel pada Februari 2008 menerusi perjanjian yang mana negara itu menjual gas asli kepada jirannya sebanyak 1.7 bilion meter padu setahun selama 15 tahun.

Perjanjian itu mendapat bantahan banyak pihak di Mesir dan ia dikatakan dijual dengan harga yang lebih murah daripada harga pasaran selain membantah bekalan tenaga ke Israel.

"Perjanjian (menjual gas) adalah untuk merendahkan maruah rakyat Mesir dan perbuatan khianat," kata bekas diplomat Ibrahim Yousri.

Yousri mengetuai cabaran menentang perjanjian itu di Mahkamah Tinggi bagi menghentikan penjualan gas Mesir ke Israel. Walaupun Mahkamah Tinggi memihak kepadanya pada Februari 2010, tetapi keputusan itu tidak diendahkan kerajaan. – AP/AFP

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Virus Nipah landa Bangladesh

Posted: 05 Feb 2011 02:33 PM PST

Dunia

15 terbunuh kerana pencemaran dalam buah kurma, jus minuman

DHAKA: Virus Nipah membunuh sekurang-kurangnya 15 penduduk di utara Bangladesh sejak minggu lalu menyebabkan Institut Kawalan Penyakit Berjangkit (IEDCR) meminta petani mengelak daripada menuai buah kurma atau minum jusnya, minuman yang popular sepanjang musim sejuk.

Virus itu lazimnya disebarkan oleh babi dan kelawar buah yang makan tamar dan mencemarkan buah itu dengan virus. Virus itu boleh menyebabkan ensefelitis yang membawa kepada radang otak. Sehingga kini, tiada ubat yang boleh merawat penyakit itu dan kadar kematian akibat jangkitan adalah 50 peratus.

"Kami menerima 22 kes dari Hatiabandha sejak 31 Januari disebabkan virus Nipah," kata Pengarah IEDCR, Mahmudur Rahman.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan daripada minum jus tamar yang mentah dan buah-buahan yang menjadi makanan kelawar.

Virus Nipah biasanya tersebar antara Disember dan April apabila kelawar buah hinggap di bekas yang digunakan untuk mengambil getah pokok tamar. Kelawar lazimnya meninggalkan air liur dan cecair dalam bekas terbabit.
Orang ramai mudah dijangkiti apabila minum jus mentah.

Virus itu dikesan di wilayah Meherpur, Naogaon, Rajbari, Faridpur, Tangail, Thakurgaon, Kushtia, Manikganj and Rangpur di Bangladesh.

Tahun ini, ia tersebar luas di Hatibandha, Lalmonirhat. Virus itu sudah membunuh 127 daripada 174 orang yang dijangkiti walaupun kerajaan menerusi jabatan kawalan penyakit sentiasa memantau wabak ini setiap tahun.

"Ini kurangnya kesedaran. Minum jus tamar mentah menjadi tradisi sekian lama. Kita perlu menghentikan amalan ini jika mahu mengekat penyebaran virus ini," katanya.

"Tanda jangkitan virus ini ialah demam diikuti gangguan mental, sawan dan kematian," kata Rahman dan meminta orang ramai yang mempunyai tanda penyakit itu segera mendapatkan bantuan perubatan.

Pada 2004, empat sekeluarga mati di Faridpur selepas mendapat jangkitan. Pengayuh beca yang membantu membawa keluarga itu ke hospital turut dijangkiti dan mati.

"Nasib baik virus ini tidak berjangkit antara individu ke individu lain di Hatiabnahda, kami pun tidak tahu mengapa tetapi kami sentiasa berjaga-jaga," kata Rahman. – Agensi


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan