Selasa, 4 Januari 2011

Utusan Online - Luar Negara

Utusan Online - Luar Negara


Mesir berjaga-jaga

Posted:

Mesir berjaga-jaga

Mesir berjaga-jaga

KAHERAH 4 Jan. - Mesir diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga menjelang sambutan hari Krismas masyarakat Qibti pada Jumaat ini, berikutan serangan bom di sebuah gereja pada hari Tahun Baru yang meragut 21 nyawa.

Pihak berkuasa meneruskan gerakan untuk memburu mereka yang terlibat dalam serangan tersebut manakala polis di Perancis dan Austria turut memperketatkan kawalan keselamatan untuk gereja Qibti di negara mereka selepas ancaman diterima daripada pihak tertentu.

Agensi keselamatan Mesir membatalkan cuti untuk pegawai kanan dan memperketatkan pengawasan di lapangan terbang dan pelabuhan untuk menghalang suspek daripada meninggalkan negara ini, sementara pusat pemeriksaan baru didirikan di seluruh negara.

Kawalan keselamatan juga ditingkatkan di gereja-gereja untuk perayaan Krismas yang disambut oleh masyarakat Qibti pada 7 Januari.

Langkah keselamatan itu diambil kerana timbul kebimbangan penduduk Qibti mungkin melancarkan protes baru berikutan pertempuran pada malam sebelumnya di gereja St. Mark di Kaherah, iaitu ibu pejabat pemimpin Qibti, Pope Shenouda III.

Pegawai Kementerian Kesihatan berkata, 45 anggota polis dan 27 orang awam cedera dalam pertempuran itu.

Penunjuk perasaan membaling batu ke arah seorang menteri yang tiba untuk mengunjungi Shenouda dan mengejek pegawai kerajaan, manakala kumpulan lain menyekat empat jalan utama di Kaherah sebelum disuraikan.

Keganasan itu reda semalam tetapi saksi berkata, kira-kira 30 penunjuk perasaan menghalang pekerja binaan daripada membaiki kerosakan di kawasan letupan, dengan alasan darah mangsa hendaklah dibiarkan di situ sebagai bukti serangan tersebut.

Pada malamnya, beribu-ribu penduduk Qibti berarak di sebatang jalan utama di utara Kaherah.

Sebelum itu, polis bertindak pantas untuk menyuraikan protes di tengah ibu negara ini melibatkan 200 intelektual dan karyawan Islam dan Kristian. - AFP

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Gerhana matahari jelas kelihatan di Eropah

Posted:

Gerhana matahari jelas kelihatan di Eropah

Gerhana matahari jelas kelihatan di Eropah



BERLIN 4 Jan. - Gerhana separuh matahari berlaku di seluruh Eropah, Afrika Utara dan Asia Tengah hari ini, walaupun ia dilindungi awan tebal di kebanyakan bahagian di Eropah.

Gerhana matahari berlaku apabila bulan bergerak antara bumi dan matahari, yang kemudiannya melindungi sinaran matahari. Dalam kes gerhana separuh, matahari akan hilang menjadi rupa seakan bulan sabit.

Gerhana itu yang merupakan pertama tahun ini, begitu ketara di Sweden pada kira-kira pukul 8.30 pagi (3.30 petang waktu Malaysia) dan berlangsung di utara sehingga pukul 10.30 pagi (5.30 petang waktu Malaysia).

Orang ramai yang mendongak ke langit di timur Sweden dapat menyaksikan pemandangan terindah fenomena gerhana matahari itu.

Pakar astronomi menjangkakan lebih 80 peratus matahari dilindungi oleh bulan di Sweden.

Di negara jirannya iaitu Norway, gerhana itu hanya dapat dilihat di bahagian selatan negara itu kira-kira pukul 9.35 pagi (4.35 petang waktu Malaysia).

Di Jerman, gerhana mencapai tahap penuh antara pukul 9.18 pagi (4.18 petang waktu Malaysia) di bahagian selatan bandar Munich dan 9.27 pagi (4.27 petang waktu Malaysia) di Berlin.

Kesannya lebih dramatik di utara Jerman, di mana sebahagian besar matahari dilindungi bulan.

Di kebanyakan negara di Eropah bagaimanapun, fenomena itu dilindungi awan, menyebabkan suasana gelap yang dicetuskan oleh gerhana matahari kurang dirasai.

Gerhana separa matahari dijangka sekali lagi akan berlaku pada 1 Jun, 1 Julai dan 25 November tahun ini. - dpa

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Komen