Rabu, 10 Julai 2013

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Pakai topi koboi untuk elak dikesan

Posted: 09 Jul 2013 09:55 AM PDT

Islamabad: Laporan sulit Pakistan semalam bocor di Internet ekoran beberapa siri pendedahan mengejutkan mengenai kehidupan dan kematian pengasas al-Qaeda Osama bin Laden.

Osama dikatakan menyamar dengan memakai topi koboi ketika bersembunyi di Pakistan.

Osama mengenakan topi gaya John Wayne bagi mengelak daripada dikesan radar Amerika Syarikat (AS) ketika bersiar-siar di luar tempat persembunyiannya.

Lelaki paling dikehendaki di dunia itu percaya topi besar itu akan melindunginya daripada pesawat pengintip AS yang cuba menjejakinya dari udara.

Foto

OSAMA dengan topi koboi mengikut lakaran pelukis.


Tiga isteri Osama yang bersamanya ketika dia ditembak mati mendedahkan bagaimana Osama menggunakan topi koboi untuk memperdaya tentera Amerika.


Pada waktu itu mereka menetap di rumah tiga tingkat di bandar Abbottabad, Pakistan. Laporan suruhanjaya itu yang bakal diterbitkan merakam beberapa siri kesilapan yang membolehkan Osama tinggal tanpa dikesan di Pakistan.

Penyiasat berkata, lokasi persembunyian itu dibeli oleh konco Osama dengan i menggunakan kad pengenalan palsu.

Osama berada di situ selama enam tahun mulai 2005 hingga dia ditembak mati dua tahun lalu.

Isterinya memberitahu suruhanjaya rasmi Pakistan yang menyiasat kematian nya bahawa Osama juga pernah mencukur janggutnya dan berjaya mengelak daripada ditangkap sekurang-kurangnya sekali ketika kereta dinaikinya ditahan kerana dipandu laju.

Ia berlaku antara 2002 dan 2003 ketika dia dan keluarganya bersembunyi di daerah Swat Pakistan dekat sempadan Afghanistan.

Isterinya berkata kenderaan mereka ditahan ketika menuju ke bazar berdekatan.
Keluarganya mendakwa ketika berada di Abbottabad, Osama hidup secara cermat dan mempunyai hanya enam pasang pakaian.

Anak perempuannya, Sumaya memberitahu penyiasat, meskipun bapanya cedera di kepala, Osama masih boleh dicam dengan jelas. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/10

Wanita koma disangka mati

Posted: 09 Jul 2013 09:49 AM PDT

New York: Kumpulan doktor di Hospital St Joseph di tengah New York dalam proses memulakan pembedahan untuk mengambil organ seorang wanita yang 'meninggal dunia' apabila wanita itu tiba-tiba membuka matanya.

Wanita itu sebenarnya masih hidup.

Kesilapan besar itu kini menyebabkan hospital terbabit didenda sebanyak AS$6,000 (RM21,000) selepas inkuiri persekutuan,, selain satu lagi denda berjumlah $16,000 (RM56,000) selepas seorang lagi pesakit jatuh dan mengalami kecederaan di kepala ketika dia ditinggalkan tanpa ditemani pada 2011, menurut laporan akhbar Syracuse Post-Standard, semalam.

Colleen S Burns dari Syracuse Utara, New York, 41, dimasukkan ke hospital itu pada Oktober 2009 selepas koma akibat mengambil ubat secara berlebihan.


Disebabkan beberapa siri kecuaian, doktor yang yakin wanita itu sudah mati, memulakan proses mengambil organ.


Siasatan Jabatan Kesihatan kerajaan mengenai kejadian itu mendapati bahawa ketika Colleen mula-mula dimasukkan ke hospital, doktor tidak pedulikan rawatan disyorkan.

Mereka juga tidak melakukan ujian mencukupi bagi memastikan dia masih hidup, termasuk menjalankan imbasan otak dengan sempurna.

Disebabkan kegagalan mereka berbuat demikian, doktor percaya otak Colleen sudah tidak berfungsi dan mengisytiharkannya mati.

Hakikatnya pengambilan ubat secara berlebihan itu hanya menyebabkan dia koma.

Selepas mendapat pengesahan doktor bahawa Colleen sudah mati, keluarganya bersetuju organnya diambil untuk didermakan.

Sehari sebelum pembedahan, seorang jururawat menjalankan ujian dan mendapati Colleen masih memberi reaksi.

Jururawat itu menggosok jarinya pada tapak kaki Colleen dan ibu jarinya bergerak ke bawah, tanda dia masih hidup.

Ketika ditolak ke bilik bedah, lubang hidung Colleen bergerak, tanda dia cuba bernafas. Bibir dan lidahnya juga bergerak.

Tetapi doktor tidak mempedulikan pemerhatian jururawat itu dan mengambil keputusan untuk meneruskan pembedahan.

Bagaimanapun, pembedahan itu dibatalkan apabila Colleen tiba-tiba membuka matanya sejurus sebelum doktor membedahnya.

Colleen mahupun keluarganya tidak menyaman hospital berkenaan.

Bagaimanapun, enam belas bulan kemudian Colleen mati kerana membunuh diri. Ibunya, Lucille Kuss berkata, anaknya tidak kecewa dengan kesilapan pihak hospital.

"Dia menghadapi tekanan lain dan kejadian itu tidak mengubah hidupnya," kata Lucille. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/10

Tiada ulasan:

Catat Ulasan