Ahad, 5 Mei 2013

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Penduduk tolak tuntutan BRN

Posted: 05 May 2013 09:46 AM PDT

Peguam Negara Thai dedah sebab keganasan berlarutan di selatan

BANGKOK: Majoriti penduduk selatan Thailand semalam menolak lima tuntutan Barisan Revolusi Nasional (BRN) yang berunding dengan wakil Bangkok untuk mencari penyelesaian rantau berkenaan.

Keputusan itu disiarkan ketika Peguam Negara mendedahkan, tak banyak tuntutan membabitkan kawasan selatan berakhir dengan hukuman.

Tinjauan itu dijalankan antara 2 hingga 4 Mei lalu membabitkan 542 responden di tiga wilayah sempadan selatan di Narathiwat, Pattani dan Yala serta wilayah selatan di Songkhla.

Daripada jumlah itu, 65.18 peratus mendapati agak sukar untuk menerima tuntutan BRN ke atas pihak berkuasa Thailand kerana mereka percaya pemisah tidak ada hak membuat tuntutan.

Responden berkata, tuntutan BRN tidak sesuai dan melanggar undang-undang.
Lima tuntutan itu ialah supaya Malaysia menjadi pengantara, bukan penyelaras; kehadiran wakil Melayu Pattani pimpinan BRN dalam rundingan; anggota ASEAN, OIC dan wakil Pertubuhan Bukan Kerajaan perlu menjadi saksi rundingan; bebaskan semua suspek serta tarik balik atau mansuh semua waran tangkap tanpa syarat dan BRN mesti dirujuk sebagai kumpulan pejuang bukan pemisah.
Sementara itu, 40.05 peratus lagi mahu kerajaan ikhlas menyelesaikan pergolakan di selatan dan memeterai perdamaian secepat mungkin.

Sementara itu, kajian Pejabat Peguam Negara (OAG) mendedahkan, daripada 907 kes keselamatan dalam tempoh sembilan tahun sejak keganasan meledak di Selatan, hanya 31 kes berjaya diputuskan Mahkamah Tinggi.

Kajian mengenai pendakwaan kes keselamatan di empat wilayah sempadan selatan, dijalankan Penolong Kampus Institut Teknologi Selatan Rajamangala, Profesor Weerasak Tullyaporn dan pasukannya didedahkan dalam satu majlis dipengerusikan Peguam Negara Julasing Wasansing.

Acara itu diadakan untuk memberi garis panduan kerja kepada pendakwa raya di rantau selatan.

Kajian mendapati, antara 2004 dan Julai 2012, ada 7,918 kes keselamatan di selatan Thai.

Daripada jumlah itu, 4,686 kes dihantar ke pejabat pendakwa raya awam wilayah tetapi hanya 1,394 daripadanya dihantar bersama suspek.

Keseluruhannya, proses pendakwaan hanya membabitkan 907 kes.

Mahkamah Rendah menjatuhkan hukuman ke atas defendan untuk semua dakwaan difailkan dalam 206 kes, menghukum defendan dalam sesetengah tuduhan dalam 108 kes dan membebaskan defendan dalam 439 kes, sementara 154 kes masih dibicarakan di mahkamah.

Mahkamah Rayuan menyerahkan keputusan dalam 187 kes sementara Mahkamah Tinggi memutuskan dalam 31 kes (mengekalkan keputusan mahkamah rayuan dalam 18 kes, membebaskan dua kes, mengeluarkan keputusan berbeza dalam dua kes, mengubah hukuman dalam tujuh kes dan menolak dua kes) menurut kajian.

Julasing berkata OAG, dengan bantuan Yayasan Asia, mendapati isu penting kes keselamatan negara adalah kekurangan saksi. - AGENSI

Pengebom rempuh konvoi menteri

Posted: 05 May 2013 09:40 AM PDT

MOGADISHU: Lapan warga Somalia maut selepas seorang penyerang bunuh diri memandu kereta penuh bom merempuh konvoi kenderaan delegasi Qatar di tengah ibu negara itu, semalam.

Saksi berkata, letupan yang berlaku menggegarkan persimpangan jalan sesak 'Kilometre 4' di tengah Mogadishu, pusat pentadbiran dan komersial.

Beberapa tembakan dilepaskan pengawal keselamatan sejurus selepas letupan berlaku bertujuan menyekat orang ramai berkumpul.

"Letupan bom kereta menyasarkan delegasi Qatar. Mereka selamat," kata seorang pegawai keselamatan, Hassan Osman.

Pergerakan al Shabaab mengaku ia bertanggungjawab dan mengancam melakukan lebih banyak serangan ke atas kerajaan Somalia yang digelarnya 'boneka kerajaan Barat.'

"Lebih banyak letupan akan berlaku," kata jurucakap pasukan bersenjata al Shabaab, Sheikh Abdiasis Abu Musab.

Kumpulan itu sering melancarkan serangan ala gerila sejak tentera kerajaan dan pengaman mengusirnya dari kawasan bandar.
Serangan terbaru mengingatkan semula kepada perang saudara selama dua dekad di negara itu yang banyak bergantung kepada 17,600 anggota pengaman Kesatuan Afrika (AU).

Selain itu, meskipun kawalan dan tahap keselamatan semakin baik dengan kehadiran pengaman AU yang mengusir al Shabaab pada 2011, serangan berkenaan menunjukkan militan masih mampu menyerang.

Ada beberapa jalan raya utama ke Mogadishu ditutup minggu lalu selepas pegawai keselamatan menerima maklumat kemungkinan serangan berlaku. Tetapi, laluan berkenaan dibuka semula Sabtu lalu.

Status pasukan keselamatan Somalia adalah agenda utama satu persidangan di London esok. - REUTERS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan