Rabu, 10 April 2013

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Bandar Samara 'diserang' tanah jerlus

Posted: 09 Apr 2013 11:18 AM PDT

Samara: Gambar ini seolah-olah dirakam dari sebuah filem yang mengisahkan malapetaka yang amat dahsyat.

Tetapi, imej ini sebenarnya adalah realiti harian yang dihadapi penduduk di bandar raya Samara di tenggara Russia.


Penduduk bandar itu kini hidup dalam kebimbangan selepas 'serangan' tanah jerlus mula berlaku di seluruh bandar itu.

Kejadian dipercayai berlaku sejak beberapa minggu lalu, menyebabkan kereta, bas dan sekurang-kurangnya seorang penduduk terbunuh.


Tanah jerlus, sebahagiannya cukup besar untuk menelan sebuah lori dipercayai berpunca daripada tanah mendap yang terjadi apabila ais cair dan menyerap ke bumi. Air yang berlebihan menyebabkan tanah di bawah jalan raya di bandar itu jerlus.


Lubang besar dapat dilihat di tempat letak kereta, simpang jalan raya yang sibuk, tepi jalan dan di jalan raya besar mahupun kecil.

Foto

TANAH jerlus yang besar boleh menelan kereta dan mencetuskan kekecohan.

Foto

SEORANG penduduk terbunuh akibat tanah jerlus di Samara, bandar raya keenam terbesar di Russia.

Sehingga ini, sekurang-kurangnya seorang penduduk mati akibat ditelan bumi.


Penduduk Samara sudahpun mengambil langkah menandatangani petisyen untuk mendesak pihak berkuasa mencari jalan bagi mengatasi masalah itu.

Kejadian tanah jerlus adalah perkara biasa di kawasan perlombongan.


Bagaimanapun, tanah jerlus semula jadi mengambil ribuan tahun untuk dibentuk dan berbeza dari segi saiz.


Ia terjadi akibat daripada apa yang dikenali sebagai proses Karst yang berlaku apabila lapisan batu batan seperti batu kapur di bawah tanah dilarut oleh air berasid.


Biasanya, hujan menyerap menerusi tanah, menyerap karbon dioksida dan bertindak balas dengan sisa pertanian. Kesannya, air yang sampai kepada lapisan batu batan yang boleh larut itu ialah dalam bentuk berasid.


Air berasid itu kemudian menghakis batu batan di bawah permukaan bumi, sekali gus membentuk ruang berongga.


Kemudian, apabila ia tidak disokong lagi kerana rongga itu, tanah di atas batu kapur akan runtuh menjadi tanah jerlus.


Keruntuhan permukaan itu boleh terjadi tiba-tiba atau mengambil masa beberapa jam. Hujan lebat atau sistem perparitan yang buruk juga boleh menyebabkan keruntuhan. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/10

iPhone 6 tiada butang 'home'

Posted: 09 Apr 2013 11:09 AM PDT

New York: Apple mungkin memberikan iPhone 6 skrin melengkung pada kedua-dua belah permukaan, rekaan semula paling radikal pernah dilakukannya.

Satu paten yang diambil oleh syarikat teknologi terkemuka itu pada 2011 menggambarkan bentuk baru berkenaan, yang turut menyaksikan butang 'home' ikoniknya ditanggalkan.


Ia adalah langkah berani oleh syarikat berkenaan memandangkan setiap iPhone hingga kini mempunyai butang tunggal itu di bahagian bawah skrinnya.

Reka bentuk itu mempunyai ciri-ciri besar, dengan permukaaan AMOLED (Active-Matrix Organic Light-Emitting Diode) yang tidak mempunyai sempadan. Ia sebaliknya menyediakan ruang skrin dari atas hingga ke bawah.


Ia juga dikatakan bertujuan membentuk 'ilusi persepsi yang dalam' dan berupaya memimikkan pengalaman 3D.


Imej yang direka oleh Nikolay Lamm untuk laman web myvouchercodes.co.uk ini menggambarkan bagaimana bentuk iPhone 6 itu mungkin dikeluarkan. Lamm bagaimanapun tidak menyebut bahawa telefon itu akhirnya akan memenangi perang telefon pintar.

"Ia rekaan yang menarik tetapi tidak mungkin memberikan Apple kelebihan yang berkekalan dalam persaingan.


"Jika Samsung melihat iPhone Apple ini mendapat sambutan, ia akan menghasilkan yang lebih baik," kata Lamm.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/10

Tiada ulasan:

Catat Ulasan