Khamis, 3 Januari 2013

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Lima perogol didakwa

Posted: 03 Jan 2013 02:42 PM PST

Suspek keenam dijadual dihadapkan ke mahkamah juvana

New Delhi: Lima lelaki didakwa merogol seorang pelajar berusia 23 tahun secara berkumpulan dalam sebuah bas yang sedang bergerak di New Delhi didakwa secara rasmi di mahkamah semalam.

Pendakwa Rajiv Mohan memfailkan kes rogol, memalsukan bukti, menculik, bunuh dan beberapa kes lain di mahkamah di Saket di selatan ibu negara India itu yang dikawal ketat.

Kelima-lima lelaki ialah pemandu bas Ram Singh, 33, adiknya Mukesh Singh 26, yang bekerja sebagai pencuci bas dengan syarikat sama, penjual buah, Ram Gupta, 19, pencuci bas, Akshay Singh, 24 dan jurulatih kecergasan Vinay Sharma, 20.

Suspek keenam 17 tahun

Suspek keenam berusia 17 tahun, dijadual dibicarakan di mahkamah juvana dengan hukuman maksimum tiga tahun di pusat pemulihan akhlak.

Pendakwa mengemukakan bukti terhadap selepas mangsa meninggal dunia hujung minggu lalu berikutan kecederaan parah dalam kejadian 16 Disember, ketika jenayah seksual dilaporkan semakin meningkat di India.

"Lelaki terbabit, kebanyakannya adalah penduduk di kawasan setinggan di New Delhi berdepan hukuman mati jika sabit kesalahan," kata Menteri Dalam Negeri India, Sushilkumar Shinde.
"Semua tertuduh berkenaan diwajibkan hadir sendiri di mahkamah di hadapan majistret," kata pegawai perundangan, Rana Dasgupta.

Majistret yang berada di sebuah bilik kecil dengan 30 kerusi memperakui kertas pertuduhan yang diserahkan polis dan menyerahkannya kepada semua tertuduh," kata Dasgupta.

Dokumen terbabit dilaporkan setebal 1,000 muka surat memperincikan bukti yang dikumpulkan, antara yang paling kuat adalah kenyataan dari mangsa selepas serangan dan pengakuan teman lelakinya yang bersama beliau ketika kejadian.

Teman lelaki kena pukul

Teman lelaki wanita itu dipukul ketika cuba menyelamatkannya selepas mereka menaiki bas persendirian yang dilaporkan turut dinaiki sekumpulan mabuk selepas mereka pulang daripada menonton filem tengah malam.

Peguam di mahkamah daerah di New Delhi itu juga memutuskan mereka tidak akan mempertahankan suspek, bermakna kerajaan perlu melantik peguam untuk mereka.

Penunjuk perasaan berhimpun di beberapa bandaraya India sejak serangan 16 Disember lalu menuntut kerajaan mengambil langkah untuk menangani jenayah terhadap wanita dengan memberikan penalti lebih berat terhadap pesalah malah termasuk juga mempertimbangkan pengasian secara kimia. - AFP

Bekas ketua staf tentera Turki ditahan

Posted: 03 Jan 2013 02:41 PM PST

Istanbul: Bekas ketua staf tentera Turki Jeneral Ismail Hakki Karadayi ditahan semalam berikutan satu siasatan membabitkan peranan tentera menggulingkan kerajaan berteraskan Islam pertama negara itu pada 1997, lapor media.

Perdana Menteri Necmettin Erbakan yang merintis politik Islam di Turki meletak jawatan pada Jun 1997, selepas berbulan-bulan menerima amaran daripada Majlis Keselamatan Kebangsaan yang dikuasai tentera bahawa dasar beliau melemahkan perlembagaan sekular.

Peristiwa itu digelar sebagai 'rampasan kuasa era moden' apabila tentera mengenakan tekanan di belakang tabir untuk memaksa Erbakan meletak jawatan dan tidak merampas kuasa secara langsung seperti yang berlaku pada 1960, 1971 dan 1980.

Memalukan tentera

"Semalam, pendakwa raya yang menyiasat kes itu, mengarahkan Karadayi yang menjadi ketua staf tentera dari 1994 hingga 1998 ditahan untuk siasatan, satu lagi tindakan yang memalukan tentera," kata sebuah stesen televisyen tempatan.

Perdana Menteri dan Pemimpin Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) Recep Tayyip Erdogan, diasaskan sebahagian anggota Parti Kebajikan pimpinan Erbakan selepas ia diharamkan, berjaya mengurangkan pengaruh tentera sejak berkuasa pada 2002.

Cubaan rampas kuasa
Sebelum ini ia juga melancarkan siasatan ke atas cubaan merampas kuasa oleh kelompok elit tentera yang mendakwa sebagai pengawal sistem sekular Turki yang diasaskan Kemal Ataturk.

Lebih 300 pegawai tentera dijatuhi hukuman penjara September lalu, kerana merancang menggulingkan Erdogan 10 tahun lalu, manakala hampir 300 yang lain termasuk ahli politik, ahli akademik, wartawan dan pegawai tentera bersara kini dibicarakan atas dakwaan mencetuskan keganasan politik. - Reuters

Tiada ulasan:

Catat Ulasan