Rabu, 2 Januari 2013

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


India kaji hukum ahli politik isu jenayah seks

Posted: 02 Jan 2013 02:09 PM PST

Pemimpin dituduh lakukan kesalahan seksual mungkin digantung tugas

New Delhi: Mahkamah Agung India akan mengkaji sama ada meluluskan langkah menggantung tugas ahli perundangan yang menghadapi dakwaan melakukan serangan seksual.

Kes rogol 16 Disember lalu yang menjadi punca kematian seorang gadis berusia 23 tahun menyebabkan banyak pihak di India menuntut undang-undang diperketatkan.

Sehubungan itu, Ketua Hakim, Altamas Kabir bersetuju mendengar petisyen bekas pegawai kanan kerajaan, Promilla Shanker supaya setiap ahli perundangan kebangsaan dan negeri digantung tugas jika menghadapi pendakwaan melakukan jenayah terhadap wanita.

Beribu-ribu kes tertangguh

Shanker juga meminta mahkamah memaksa pihak berkuasa mempercepat penyelesaian beribu-ribu kes rogol yang tertangguh bertahun-tahun lamanya.

Ia berlaku ketika beribu-ribu wanita berhimpun di tugu peringatan pemimpin kemerdekaan Mohandas K Gandhi bagi menuntut keselamatan mereka dijamin.

Ketika ini, enam ahli perundangan negeri menghadapi tuduhan rogol manakala dua anggota Parlimen pula didakwa di bawah kategori bukan rogol, kata Jagdeep S Chhokar, pegawai Persatuan Pembaharuan Demokratik.
Sejak lima tahun lalu, parti politik India mencalonkan 260 orang yang sedang menunggu perbicaraan kes jenayah ke atas wanita, katanya. - AP

Kelab pengutip barang lusuh

Posted: 02 Jan 2013 02:06 PM PST

Bangkok: Sebuah kelab pengutip barang lusuh ditubuhkan di timur Bangkok bagi membolehkan pemungut mendapatkan barangan keperluan dan tukaran lebih baik.

Melalui kelab itu, pemungut yang menjadi ahli, boleh menyerahkan barang lusuh di kedai milik kelab itu untuk ditukarkan dengan pelbagai keperluan harian seperti beras, sardin, telur, mi segera, sabun atau ubat gigi.

"Kelab akan mengumpulkan barangan ini sebelum dijual semula dalam jumlah besar kepada pembeli. Kami mendapat harga yang lebih baik dan faedahnya dikembalikan kepada ahli dalam bentuk dividen, insuran dan faedah perubatan," kata pengasas kelab itu Peerathorn Seniwong.

Peerathorn, 45, berkata beliau bersama isterinya Buarin mendapat idea untuk menubuhkan kelab berkenaan selepas menjalani hidup sebagai gelandangan dan tinggal di bawah jejambat selama enam tahun.

"Kami terfikir untuk membantu orang yang senasib dan tiba-tiba kami terfikirkan sampah. Setiap orang mesti ada sampah dan barangan tidak berguna di rumah mereka. Sampah itu mungkin boleh dikitar semula dan dijual untuk membantu ahli," katanya.

Beliau berkata kelab itu kini mempunyai 800 ahli termasuk 35 isi rumah terdiri daripada pemungut, selain penduduk tempatan berhampiran yang sudah mengetahui mengenai kedai di kelab berkenaan.

"Kadang-kala kami perlu membeli sesuatu seperti kicap atau beras secara hutang. Bagaimanapun sebilangan pekedai memandang hina kepada kami dan bimbang jika kami tidak membayarnya. Atas sebab itulah kami menubuhkan kedai kami sendiri," katanya.
Seorang pengumpul yang hanya dikenali sebagai Rai berkata beliau mendapat kira-kira AS$10 (RM13.00) sehari hasil daripada memungut barang lusuh tetapi jumlah itu tidak mencukupi.

"Jika kami menghadapi kesulitan, kami akan ke kelab untuk menukar barang lusuh dengan beras, sabun dan apa saja barang keperluan harian," katanya.

Sementara itu Insitut Pengurusan dan Pembungkusan Barangan Lusuh Bagi Alam sekitar Lebih baik berkata, Thailand mempunyai ratusan ribu penduduk yang bergantung kepada sampah dan barangan lusuh untuk menyara hidup.

"Sebanyak 15 juta tan sampah dan barangan lusuh dikitar semula setiap tahun. Sumbangan pemungut membantu mewujudkan persekitaran lebih baik bagi negara ini,' kata jurucakap insitut itu. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Komen