Ahad, 16 Disember 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


26 terbunuh di AS dalam tembakan rambang di sekolah

Posted:

26 terbunuh di AS dalam tembakan rambang di sekolah

26 terbunuh di AS dalam tembakan rambang di sekolah

FOTO dari udara menunjukkan pihak berkuasa AS dan penduduk setempat memenuhi kawasan sekitar Sekolah Rendah Sandy Hook di Newtown, Connecticut, AS.


NEWTOWN, Connecticut, Amerika Syarikat (AS) - Seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan rambang dan membunuh 20 orang kanak-kanak dan enam orang dewasa di sebuah sekolah di sini pada Jumaat, sekali gus menjadi antara insiden tembakan paling buruk dalam sejarah AS.

Jurucakap Polis Negeri Connecticut, Leftenan Paul Vance memberitahu seramai 18 orang murid ditembak mati di Sekolah Rendah Sandy Hook dan dua orang lagi mangsa meninggal di hospital akibat cedera parah. Media AS melaporkan guru besar sekolah itu, Dawn Lafferty Hochsprun turut terbunuh.

Suspek dikatakan membunuh ibunya di rumah mereka sebelum melakukan serangan. Pembunuh yang dikenal pasti sebagai Adam Lanza, 20, kemudian membunuh diri.

Motif serangan masih belum diketahui dan abang suspek, Ryan Lanza berusia 24 tahun kini berada dalam tahanan polis dan sedang disoal siasat. Adam yang merupakan seorang pelajar pintar dan pendiam didakwa mengalami gangguan personaliti. Dia juga tidak mempunyai rekod jenayah.

Sebaik sahaja berita tembakan itu tersebar, ibu bapa yang panik memenuhi kawasan sekolah, ketika mangsa yang berlumuran darah dibawa keluar dari bangunan sekolah.

Insiden berlaku sekitar pukul 9.30 pagi di dalam dua buah kelas. Mangsa-mangsa berusia antara 5 hingga 10 tahun. Hampir semua mangsa mengalami kecederaan serius yang menunjukkan suspek mahir menggunakan senjata api. Tambah Vance, hanya seorang mangsa yang terselamat.

Lanza dikatakan membawa empat pucuk senjata api dan memakai baju kalis peluru. Dua pucuk pistol jenis Glock dan Sig Sauer dan selaras raifel .223 kaliber Bushmaster kemudian dijumpai di dalam kawasan sekolah manakala satu lagi senjata api ditemui di luar sekolah.


AHLI keluarga mangsa yang terbunuh dalam
serangan di Sekolah Rendah Sandy Hook menangis berhampiran sekolah terbabit.


Beberapa orang saksi memberitahu mereka mendengar bunyi tembakan dan melihat percikan darah memenuhi dinding sekolah.

"Saya baru hendak balik ke kelas sebelum mendengar ada orang menendang pintu dan saya ada menghidu bau asap. Kemudian saya terdengar bunyi tembakan dan seorang cikgu menarik saya masuk ke dalam kelasnya. Keadaan pada masa itu sangat panik," kata seorang murid berumur 8 tahun kepada agensi berita NBC.

Imej Presiden AS, Barack Obama yang menangis ketika memberi ucapan selepas kejadian tersebut mencetuskan harapan di seluruh dunia bahawa insiden kejam itu akan membuatkan AS mengetatkan penguatkuasaan pemilikan senjata. Obama turut mengarahkan bendera di bangunan-bangunan kerajaan diturunkan separuh tiang.

Insiden tembakan di sekolah kerap berlaku di AS. Pada 2007, kejadian sama berlaku di Virginia Tech dan membunuh 32 orang mangsa. Pada tahun 1999 pula, seramai 15 orang pelajar sekolah menengah Columbine maut apabila penyerang melepaskan tembakan rambang. - AFP

One Direction, Adele, Rihanna kuasai carta Billboard 2012

Posted:

One Direction, Adele, Rihanna kuasai carta Billboard 2012

One Direction, Adele, Rihanna kuasai carta Billboard 2012


AHLI kumpulan One Direction membuat persembahan sewaktu anugerah media Bambi 2012 di Duesseldorf, Jerman pada 22 November lalu.


LOS ANGELES - Kumpulan pop terkenal dari Britain, One Direction menyertai penyanyi popular Rihanna dan Adele untuk menguasai carta Billboard bagi tahun 2012.

One Direction menduduki tempat teratas carta album Billboard 200 sebanyak dua kali menerusi album debut Up All Night pada Mac dan album Take Me Home (November). Kumpulan itu dinamakan oleh Billboard sebagai artis paling popular berikutan kejayaan memberangsangkan di Amerika Syarikat (AS).

Sementara itu, Adele, 21, yang menjadi penyanyi pertama menduduki tempat No. 1 untuk single, album dan artis wanita dalam carta Billboard 2011 meneruskan penguasannya tahun ini melalui album 21 yang juga album terlaris di AS. Tahun ini, Adele sekali lagi dinamakan sebagai Artis Tahun Ini.

"Lebih 10 juta album 21 terjual di AS sejak dilancarkan pada Februari 2011. Kedudukan Adele semakin kukuh dalam carta Billboard 200 selepas dia memenangi enam Anugerah Grammy," jelas jurucakap Billboard.

Rihanna, 24, pula dinobatkan sebagai artis Hot 100 selepas setahun menguasai carta melalui single seperti We Found Love dan Diamonds, selain mencatat jualan single terlaris setiap minggu. - Reuters

Wangian guna nama roket laris

Posted:

Wangian guna nama roket laris

Wangian guna nama roket laris


SEORANG peniaga menyembur minyak wangi M-75 ke atas tangan pelanggannya.


GAZA - Jualan minyak wangi sempena nama roket yang dilancarkan oleh pejuang Palestin ke wilayah Israel mendapat sambutan hangat.

Wangian diberi nama M-75 itu ditawarkan untuk pengguna lelaki dan wanita. Diisi di dalam kotak berwarna hitam dan hijau, M-75 dihasil menggunakan bau-bauan oren, lemon dan herba-herba yang terdapat di Gaza.

"Minyak wangi ini menyenangkan dan menarik. Sama seperti peluru berpandu pejuang Palestin iaitu M-75," kata pemilik syarikat kosmetik yang bertanggungjawab mengeluarkan M-75 iaitu Stay Stylish, Shadi Adwan.

Pengarah syarikat pengedar minyak wangi di Gaza, Continental Style, Rajaey Odwan memberitahu, M-75 memberi peluang kepada para pelanggannya untuk menghidu 'bau kemenangan'.

"Saya harap bau minyak wangi ini cukup kuat untuk dihidu hingga ke Tel Aviv dan mengingatkan orang Yahudi tentang kemenangan pejuang Palestin," kata seorang pelanggan, Ahmed Hassan yang membeli 30 botol M-75 untuk dijadikan hadiah kepada ahli keluarga dan rakan-rakannya.

M-75 yang berkapasiti 59 milimeter dijual pada harga RM40 sebotol.

Konflik selama lapan hari antara pejuang Hamas dan Israel itu mengakibatkan lebih lebih 170 orang warga Palestin dan enam orang Israel terbunuh. Serangan itu tamat selepas kedua-dua pihak bersetuju menghentikan serangan selepas gencatan senjata tajaan Mesir berjaya. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan