Ahad, 18 November 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Gaza mandi darah hari kelima

Posted: 18 Nov 2012 01:26 PM PST

Gaza: Angka korban penduduk Gaza meningkat kepada 64 semalam selepas serangan Israel pada hari ke-5 menyebabkan enam warga Palestin maut, empat daripadanya kanak-kanak.

Ketika usaha mewujudkan gencatan senjata berjalan, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, membayangkan tenteranya mungkin memasuki Gaza atas alasan mahu menghentikan serangan roket pejuang ke negara Yahudi itu.

Tiga mangsa termuda ialah Tamer Abu Sefan, 3, adiknya, Jumana yang berusia 18 bulan dan Iyyad Abu Khusa, 1.

Serangan peluru berpandu terhadap kem pelarian Shati pula membunuh Tasneem al-Nahal, 13, dan seorang lagi anggota keluarganya.

Ketika diplomat kanan Perancis, Laurent Fabius tiba untuk mengadakan gencatan senjata, Israel meneruskan serangan.

Pesawat tempur Israel membedil dua stesen televisyen, al-Aqsa dan al-Quds menyebabkan sekurang-kurangnya lapan wartawan cedera, seorang daripadanya kehilangan sebelah kaki.

Pejuang Palestin sehingga ini melancarkan 33 roket sejak tengah hari semalam, lima daripadanya dipintas sistem pertahanan Israel.
Sehubungan itu, Netanyahu sebelum menemui Fabius berkata: Kami hukum Hamas dan pertubuhan pengganas lain yang memberi ancaman. Tentera sedia memperluas operasi.

Sehingga ini, tentera menyerang lebih 1,000 sasaran pengganas di Gaza dan meneruskan usaha itu.

Setiausaha Luar Britain, William Hague pula mendesak Israel supaya tidak meningkatkan lagi konflik dengan menghantar tentera masuk ke Gaza.

Perdana Menteri (David Cameron) dan saya menekankan bahawa sebarang langkah masuk ke Gaza akan menyebabkan Israel kehilangan sokongan dan simpati antarabangsa, kata Hague kepada Sky News.
Agensi

200,000 bantah kahwin sejenis

Posted: 18 Nov 2012 01:24 PM PST

Paris: Berpuluh ribu penduduk menyertai pemimpin gereja Katolik berarak di beberapa bandaraya Perancis semalam bagi membantah rancangan kerajaan membenarkan perkahwinan sama jantina.

Penunjuk perasaan membawa kain rentang dengan slogan antara lain berbunyi Jangan sentuh perkahwinan sivil, semua dilahirkan daripada penyatuan lelaki dan wanita dan satu bapa + satu ibu untuk semua anak berarak di Paris, Lyon, Marseille dan beberapa bandar utama lain.

Penganjur yang terbabit dalam bantahan yang dipanggil Demos for All (Demo untuk semua) yang menyamai kempen perkahwinan gay marriage for all (perkahwinan untuk semua) berkata bahawa perubahan kerajaan Sosialis akan mengancam pergolakan utama dan bahaya.

Penganjur berkata, 200,000 penduduk berarak di ibu negara Perancis berbanding kenyataan polis yang menganggarkan 70,000.

Dewan Perhimpunan Kebangsaan Perancis bakal memulakan debat terhadap rang undang-undang yang membenarkan perkahwinan sejenis pada Januari depan dengan undian dijangkakan pada pertengahan 2013.

Ia akan membolehkan pasangan gay untuk mendapat hak mengambil anak angkat tetapi melarang bantuan melahirkan anak.

Kajian pendapat baru-baru ini menunjukkan majoriti penduduk Perancis menyokong perkahwinan gay, walaupun tidak menerima hak pasangan homoseksual untuk mendapat hak jagaan anak.
Wakil tertinggi Katolik Perancis, Paris, Kardinal Andre Vingt-Trois awal bulan ini mengkritik kerajaan kerana rancangan terbabit yang dibuat ketika negara berhadapan dengan kebimbangan masalah ekonomi.

Pope Benedict memberitahu paderi kanan Perancis yang melawat Vatican supaya tidak takut dengan ajaran Kristian yang semakin meluas.
Reuters

Tiada ulasan:

Catat Ulasan