Sabtu, 27 Oktober 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Gencatan senjata di Syria berkecai

Posted:

Gencatan senjata di Syria berkecai

BASHAR (tiga dari kanan) berdoa di Masjid Al-Afram di kawasan al-Muhajirin, Damsyik semalam.


BEIRUT - Gencatan senjata yang bermula pada sambutan Hari Raya Aidiladha berkecai di Syria semalam apabila tiga orang awam mati ditembak oleh beberapa anggota tentera pemerintah.

Menurut Kumpulan Pemerhati Untuk Hak Asasi Manusia, tiga orang itu mati ketika beberapa anggota tentera Syria melepaskan tembakan di bandar Harsta, pinggir Damsyik.

Kumpulan berkenaan turut mendakwa gencatan senjata selama empat hari itu musnah di beberapa wilayah di Syria.

Bagaimanapun, pengarah kumpulan itu, Rami Abdel Rahman memberitahu agensi berita AFP, keganasan didapati berkurangan berbanding sebelum ini.

Sementara itu, Presiden Bashar Al-Assad bersolat sunat Aidiladha di Masjid Al-Afram di kawasan al-Muhajirin, Damsyik.

Bashar kelihatan tenang, memberikan senyuman dan berjabat tangan dengan sejumlah orang di masjid itu.

Sementara itu, suasana Hari Raya Aidiladha kelihatan suram di Syria ekoran pertempuran yang berlaku sejak Mac tahun lalu yang mengakibatkan lebih 30,000 orang terbunuh.

Pertempuran itu berlaku antara tentera Syria dengan kumpulan yang menentang pemerintahan Bashar.

"Semua orang gembira hanya kerana mereka masih hidup," kata seorang wanita di sebuah bandar yang dikepung tentera Syria berhampiran sempadan Turki ketika diminta mengulas tentang sambutan hari raya. - Agensi

112 orang terbunuh di Myanmar

Posted:

112 orang terbunuh di Myanmar

SEORANG penduduk Rakhine (kanan) yang cedera dalam keganasan melibatkan etnik Rohingya dirawat di sebuah hospital di Sittwe, Myanmar semalam.


KYAUKTAW, Myanmar - Seramai 112 orang terbunuh dalam keganasan yang berlaku di negeri Rakhine, barat Myanmar sejak enam hari lalu yang melibatkan etnik Rohingya yang beragama Islam, kata seorang pegawai semalam.

Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu memberi amaran demokrasi yang berkembang di Myanmar akan terjejas ekoran pergolakan tersebut.

Pergolakan itu berlaku lima bulan selepas etnik Rohingya bergaduh dengan etnik Rakhine yang beragama Buddha mengakibatkan lebih 80 orang terbunuh dan sekurang-kurangnya 75,000 penduduk terpaksa berpindah.

Menurut beberapa etnik Rakhine kepada agensi berita Reuters, mereka ditembak oleh anggota-anggota pasukan keselamatan yang melaksanakan arahan ketenteraman awam di negeri tersebut.

Seorang pegawai penerangan di negeri itu, Win Myaing berkata, antara yang terbunuh itu ialah 61 orang wanita.

Menurut kenyataan Pejabat Presiden Myanmar, Thein Sein, kira-kira 2,000 buah rumah dan lapan bangunan keagamaan musnah pada Rabu lalu.

Keganasan itu berlaku pada Ahad lalu apabila sekumpulan etnik Rohingya melakukan tunjuk perasaan ekoran kekurangan bekalan makanan dan bantuan di kampung mereka.

Sebahagian etnik Rohingya didakwa membakar rumah di pekan Min Bya dan Mrauk Oo di utara Rakhine pada Isnin lalu menyebabkan berlaku pertempuran dengan penduduk beragama Buddha.

Bagaimanapun, seorang penduduk beragama Buddha, Tun Tun berkata, pekan Mrauk U kembali tenang selepas lebih ramai anggota keselamatan dihantar dari bandar Sittwe.

Pada Jun lalu, penduduk beragama Buddha di negeri Rakhine membunuh 10 orang etnik Rohingya yang menyebabkan berlakunya keganasan di negeri itu.

Keganasan itu tercetus selepas tiga penduduk beragama Islam didakwa merogol seorang wanita beragama Buddha. - Agensi

Monyet liar Florida ditangkap selepas diburu selama dua tahun

Posted:

Monyet liar Florida ditangkap selepas diburu selama dua tahun


SEEKOR monyet liar dikurung selepas haiwan itu ditembak dengan ubat pelali di St. Petersburg, Florida pada Rabu lalu.


ST. PETERSBURG, Florida - Seekor monyet liar yang diburu sejak dua tahun lalu akhirnya berjaya ditangkap pada Rabu lalu di sini, lapor agensi berita AP semalam.

Monyet yang tergolong dalam keluarga rhesus itu berjaya ditangkap selepas haiwan tersebut ditembak dengan menggunakan ubat pelali.

Selepas ditembak, monyet itu melarikan diri di sebuah kawasan hutan sebelum ia ditangkap oleh sekumpulan penangkap haiwan.

Seorang penangkap haiwan, Vernan Yates telah diarah Suruhanjaya Perlindungan Hidupan Liar dan Ikan Florida untuk mengetuai penangkapan monyet itu.

Monyet tersebut dihantar ke sebuah klinik bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.

Selepas menjalani pemeriksaan, haiwan itu akan dikuarantin selama 30 hari sebelum dihantar ke sebuah pusat perlindungan haiwan.

"Saya menangis," kata Elizabeth Fowler yang merupakan penduduk di Tasik Maggiore.

Bahu wanita itu pernah digigit monyet tersebut yang memanjat belakang badannya beberapa minggu lalu.

Cucu Fowler, Sky Cowan, 8, merupakan antara penduduk yang kerap melihat kelibat monyet itu di kawasan yang mengandungi banyak pokok di belakang rumahnya.

"Dia akan duduk di kawasan semak dan hanya makan pisang," katanya yang turut memberitahu bahawa monyet itu tidak takut untuk datang dekat rumahnya.

Monyet itu turut mempunyai akaun Facebook ekoran popularitinya dalam kalangan penduduk. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan