Ahad, 2 September 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Taliban pamer klip video kepala manusia

Posted:

Taliban pamer klip video kepala manusia

DUA anggota Taliban berkawal di kubu kuat kumpulan berkenaan di Shawal, dalam wilayah Waziristan Selatan di Pakistan pada 5 Ogos lalu.


KHAR - Kumpulan Taliban menghantar satu klip video menunjukkan 12 kepala askar kelmarin selepas beberapa pegawai menyatakan, seramai 15 anggota tentera Pakistan hilang dalam pertempuran menentang militan berkenaan.

Rakaman itu yang dihantar kepada agensi berita AFP, menunjukkan beberapa militan Taliban berdiri di belakang 12 kepala manusia, dipercayai askar Pakistan.

Jurucakap kumpulan Tehreek-e-Taliban Pakistan(TTP) yang mengaku bertanggungjawab melakukan pembunuhan itu, Sirajud Din menyatakan, mereka dibunuh bagi membalas dendam kekejaman tentera terhadap militan Taliban.

Perkembangan itu berlaku selepas tentera Pakistan mengadakan satu operasi untuk menghapuskan militan-militan Taliban yang menawan daerah Bajaur pada Selasa lalu.

Kumpulan berkenaan dipercayai memasuki Pakistan dari wilayah Kunar di Afghanistan pada Jumaat lepas. - AFP

Ogos bulan dua kali mengambang penuh

Posted:

Ogos bulan dua kali mengambang penuh

FENOMENA bulan biru dilihat di langit semasa upacara penghormatan terakhir untuk angkasawan Neil Armstrong berlangsung di bandar raya Cincinnati, Amerika Syarikat kelmarin.


LONDON - Fenomena bulan purnama menyinari langit lebih daripada sekali dalam sebulan dapat dilihat di serata dunia kelmarin.

Menurut akhbar MailOnline, bulan mengambang penuh pada 2 dan 31 haribulan sepanjang Ogos lalu.

Dikenali sebagai bulan biru, fenomena yang berlaku sekali setiap 2.7 tahun itu telah menarik perhatian ahli astronomi dan orang ramai di seluruh dunia.

Kejadian luar biasa itu diramalkan berlaku sekali lagi pada Mei 2015.

Menurut akhbar berkenaan, nama bulan biru tiada kaitan dengan keadaan fizikal bulan dengan maksud istilah tersebut hilang ditelan zaman.

Warna biasa bulan semasa bersinar di langit adalah putih.

Namun, bulan pernah berwarna biru selama dua tahun apabila Gunung Berapi Krakatoa meletus di Indonesia pada 1883.

Warna biru tersebut ekoran abu mikroskopik gunung berapi yang melitupi angkasa dan hanya membenarkan sebahagian gelombang cahaya menembusi atmosfera bumi. - Agensi

Pemuda hampa pesawat buatan sendiri tidak lulus terbang

Posted:

Pemuda hampa pesawat buatan sendiri tidak lulus terbang

MOHAMED MAHMED menaiki sebuah pesawat buatan sendiri kelmarin di Berrechid dekat Casablanca, Maghribi.


BERRECHID - Seorang pemuda di Maghribi hampa kerana sebuah pesawat kecil yang dibinanya di sini tidak mendapat kelulusan terbang oleh pihak berkuasa negara itu.

Pemuda berkenaan, Mahmed Mohamed memberitahu agensi berita AFP melalui telefon bahawa dia mengambil masa tiga bulan untuk membina pesawat ringan itu.

Berusia 22 tahun, Mahmed berkata, pesawat satu enjin berkenaan memiliki panjang empat meter dan berat sekitar 55 kilogram.

Menurutnya, kapal terbang tersebut boleh mencapai kelajuan 200 kilometer/ sejam dan terbang sejauh 120 km pada ketinggian 33 meter.

"Mereka (pihak berkuasa penerbangan) menyatakan, pesawat ini tidak layak untuk terbang dan boleh jatuh menimpa orang," keluh pencipta muda tersebut.

"Saya sepatutnya diberikan peluang untuk menguji rekaan ini. Saya yakin dengan keupayaan pesawat ini," tambahnya. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan