Selasa, 28 Ogos 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


17 hadir majlis tarian dipenggal

Posted: 27 Aug 2012 02:21 PM PDT

Taliban larang orang awam sertai keraian diiringi muzik

Kajaki: Kumpulan pemisah memenggal 17 orang awam, dua daripadanya wanita dipercayai kerana mereka menghadiri majlis tarian di kawasan yang dikuasai Taliban di daerah Kajaki selatan Afghanistan semalam, kata pegawai.

Jurucakap Gabenor Helmand, Daud Ahmadi mengesahkan, pejuang Taliban bertanggungjawab memenggal 15 lelaki dan dua wanita.

Tiga orang dipenggal ketika Ramadan. Seorang lagi, anak lelaki ketua puak, dipenggal baru-baru ini" - Nematullah Khan, Ketua Musa Qala

"Saya boleh mengesahkan ini adalah perbuatan Taliban. Mereka dipenggal kerana menghadiri majlis tari-menari yang diiringi muzik. Semua mangsa dipenggal tetapi tidak dapat dipastikan sama ada mereka ditembak terlebih dulu," katanya.

2 wanita menari dipancung

Ketua daerah Musa Qala, Nematullah Khan, juga mengesahkan penduduk kampung mengadakan majlis yang disertai muzik, manakala seorang pegawai tempatan berkata, beliau percaya kedua-dua wanita terbabit dipenggal kerana menari.

Khan berkata, mangsa ialah sebahagian daripada sekumpulan besar orang awam yang berhimpun di Musa Qala untuk menghadiri persembahan muzik dan tarian.
Taliban bertindak demikian bagi menunjukkan bantahan acara berkenaan.
Majlis keramaian yang disertai wanita nomad seakan-akan gipsi, adalah aktiviti biasa di selatan Afghanistan.

Maklumat yang diperoleh juga lambat diterima kerana lokasi kejadian adalah kawasan yang dikuasai Taliban, manakala jurucakap pergerakan itu di selatan Afghanistan gagal dihubungi.

Taliban bergerak aktif di wilayah bermasalah itu dan mereka dipersalahkan kerana memenggal kepala penduduk kampung, kebanyakannya berhubung dakwaan mengintip untuk askar Afghanistan dan NATO.

Pembunuhan meningkat

Khan berkata, wilayah berkenaan menyaksikan peningkatan pembunuhan sejak beberapa bulan ini.

"Tiga orang dipenggal ketika Ramadan. Seorang lagi, anak lelaki ketua puak, dipenggal baru-baru ini," katanya.

Khan berkata, pembunuhan itu menyusul operasi ketenteraan oleh tentera Afghanistan dan NATO di kawasan itu.

Beberapa jam kemudian, seorang tentera Afghanistan membunuh dua askar NATO dalam serangan terbaru seumpama itu, kata Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF). - AFP

110,000 polis kawal sidang NAM

Posted: 27 Aug 2012 02:18 PM PDT

Tehran: Iran semalam mengawal ketat pertemuan Pergerakan Negara Berkecuali (NAM) yang bersedia mengadakan persidangan lewat minggu ini yang digunakan Tehran untuk menaikkan semula status antarabangsanya.

Kira-kira 110,000 anggota polis ditempatkan di seluruh negara, kebanyakannya untuk menjaga jalan raya dan memeriksa kenderaan di ibu negara.

Kehadiran pegawai berpakaian seragam menggariskan kesungguhan pihak berkuasa memastikan tiada apa akan menjejaskan acara berkenaan yang digambarkan Iran sebagai rampasan kuasa diplomatik terhadap tekanan dunia diketuai Amerika Syarikat.
Pemimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dijangka mengulangi mesej apabila beliau membuka persidangan dua hari NAM, Khamis ini.

Pegawai NAM dari 100 negara semalam mengharungi hari kedua persiapan menjelang persidangan itu. Menteri Luar akan mengambil alih peranan hari ini selama dua hari lagi untuk memperbaiki maklumat.

Persidangan itu sendiri akan melihat ketua negara dan kerajaan dari lebih 30 negara mengambil bahagian bersama-sama pegawai pangkat rendah daripada anggota NAM lain.

NAM, yang dibentuk pada 1961 mempunyai 120 negara anggota yang mewakili kebanyakan negara membangun dan melihat ia sebagai bebas daripada pengaruh Washington dan Moscow. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan