Selasa, 26 Jun 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


PM Pakistan mula buat perangai

Posted: 26 Jun 2012 02:46 PM PDT

Dunia

ISLAMABAD: Rumah peribadi milik perdana menteri Pakistan yang baru bakal dilengkapkan dengan sebuah tempat pendaratan helikopter menggunakan perbelanjaan kerajaan bertujuan mengurangkan kawalan keselamatan polis di kediaman sejauh 23 kilometer perjalanan darat dari ibu negara, kata pihak berkuasa.

Polis memberitahu AFP bahawa tempat pendaratan helikopter berkenaan adalah tambahan kepada kediaman peribadi presiden sebahagian daripada kawalan keselamatan orang kenamaan di sebuah negara di mana serangan Taliban berulang kali dan Osama bin Laden pernah tinggal di negara itu tanpa dapat dikesan selama satu dekad.

Bagaimanapun pengkritik melihatnya sebagai 'mengecewakan' selepas Raja Pervez Ashraf berkata keutamaan beliau adalah untuk mengurangkan pemotongan bekalan elektrik yang menyebabkan berjuta penduduk tidak menerima bekalan elektrik selama 18 jam sehari. Ashraf yang bertugas pada Jumaat berpindah ke kediaman rasmi beliau tetapi seperti juga perdana menteri sebelum ini menjangkakan akan menghabiskan masa hujung minggu di rumah peribadi beliau sebuah rumah agam di Gujar Khan, 23 kilometer ke selatan ibu negara.

"Pegawai kanan melawat tempat itu kelmarin untuk urusan keselamatan. Satu kawasan dipilih untuk helipad dan pembinaan akan dilakukan secepat mungkin," kata seorang pegawai polis kepada AFP.

Beliau enggan membuat spekulasi mengenai belanja tetapi berkata ia akan mengurangkan penggunaan polis yang perlu ditempatkan di 300 kawalan keselamatan antara Islamabad dan Gujar Khan.

Presiden Asif Ali Zardari terkenal mengenai kebimbangan beliau dengan keselamatan menyebabkan beliau sering menggunakan helikopter walaupun untuk perjalanan yang dekat ke lapangan terbang.
Seorang pegawai lain berkata sebuah helipad adalah satu daripada cadangan yang dipertimbangkan untuk keselamatan perdana menteri dan belum ada keputusan akhir.

Pengkritik berkata ia memberi mesej yang salah apabila berjuta-juta penduduk tinggal dalam kemiskinan, krisis kewangan yang boleh menyebabkan Pakistan memilih IMF ketika hubungan mereka dengan Washington dalam keadaan goyah.

"Beliau menikmati kedudukan tanpa menghiraukan masalah ekonomi negara," kata seorang jurucakap parti pembangkang utama, PML-N, Siddiq-up Farooq. – AFP


Bekas gabenor Aceh gesa siasat insiden pukul

Posted: 26 Jun 2012 02:43 PM PDT

Dunia

JAKARTA: Bekas gabenor Aceh, Irwandi Yusuf meminta pihak polis menyiasat insiden serangan yang dilakukan penyokong gabenor sekarang Zaini Abdullah ke atasnya pada satu majlis perasmian kelmarin.

Irwandi, ketika bercakap kepada pemberita selepas mendapatkan rawatan di hospital mengesahkan penyerang adalah mereka yang mengenakan seragam Parti Aceh, sambil menambah bahawa beliau mengenali beberapa orang di antara mereka.

Kejadian berlaku selepas majlis angkat sumpah Zaini pada majlis perundangan wilayah ketika Irwandi meninggalkan bangunan berkenaan. Di luar pintu pagar majlis, beribu-ribu orang yang datang memberi sokongan kepada Zaini mula mengeluarkan penghinaan kepada Irwandi, dengan memanggil beliau sebagai seorang pengkhianat.

Seorang pegawai keselamatan berkata, penyerang memakai baju merah, warna Parti Aceh yang diwakili Zaini.

"Salah seorang daripada mereka memukul kepala beliau. Kemudian enam atau tujuh yang lain turut bertindak," kata polis

Irwandi tidak memberi tindak balas tetapi orang ramai kelihatan mula mencetuskan pergaduhan apabila mereka berasak-asak kepada bekas gabenor, memukul beliau berulang kali di kepala.
"Beliau segera diiringi oleh pegawai polis," kata seorang saksi.

"Keadaan mungkin akan menjadi lebih teruk jika mereka tidak melindungi beliau."
Irwandi dikejarkan ke Hospital umum Zainoel Abidin dengan mengalami lebam di mata dan luka lain. – Agensi


Tiada ulasan:

Catat Ulasan