Isnin, 20 Februari 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Whitney dikebumi

Posted: 19 Feb 2012 08:10 AM PST

NEWARK (New Jersey): Selebriti, keluarga dan teman rapat meratapi penyanyi Whitney Houston dalam upacara pengebumian di bandar kelahirannya kelmarin, seminggu selepas kematian mengejut penyanyi bersuara emas itu.

Kumpulan koir mendendangkan muzik gospel kepada tetamu yang memenuhi Gereja New Hope Baptist di Newark, di mana bakat menyanyi Whitney ditemui ketika menjadi ketua kumpulan koir gereja itu bersama ibunya, Cissy Houston, penyanyi latar kepada Aretha Franklin.


"Whitney kembali ke tempat di mana semuanya bermula," kata aktor Kevin Costner yang berlakon di samping penyanyi itu dalam filem popular The Bodyguard pada 1992.

Costner menggesa semua orang di seluruh dunia supaya "keringkan air mata kita, simpan kesedihan kita - atau mungkin kemarahan - hanya untuk mengingati keajaiban indah Whitney."


Whitney yang mati di bilik Hotel Beverly Hills minggu lalu, telah merakam pelbagai lagu cinta yang menusuk hati dan irama muzik rancak sepanjang tempoh 30 tahun kariernya dengan lagu hit "I Will Always Love You" membuka laluan kepada penyanyi generasi baru untuk mengikut jejak langkahnya.


Ketika upacara itu, penyanyi dan sepupu Whitney, Dionne Warwick mempersembahkan beberapa muzik pop, gospel dan soul dari tahun lalu hingga kini.

Beberapa artis lain turut membuat persembahan sebagai memberi penghormatan termasuk nama besar seperti Stevie Wonder dan Alicia Keys.


Alicia dengan linangan air mata mengingati bagaimana Whitney selalu berhubung dengan artis muda.

"Whitney membuat kami bersemangat dan rasa disayangi," katanya sebelum mempersembahkan lagu 'Prelude to a Kiss".


Aktor dan penerbit Hollywood Tyler Perry berbicara mengenai semangat kental dimiliki Whitney yang membawanya ke puncak kejayaan" sebelum menambah "sekarang Whitney sedang berehat, menyanyi bersama malaikat".


Keluarga Whitney memutuskan untuk tidak mengadakan majlis peringatan untuk awam sebagaimana dilakukan bintang pop Michael Jackson selepas kematiannya pada 2009, tetapi mereka bersetuju untuk membenarkan upacara itu disiarkan secara langsung di rangkaian televisyen dan Internet.


Whitney dikebumikan pagi semalam di kawasan perkuburan Fairview bersebelahan bapanya, John Russel Houston yang meninggal dunia pada 2003. - Reuters



Lelaki terperangkap dalam salji 2 bulan masih hidup

Posted: 19 Feb 2012 08:02 AM PST

STOCKHOLM: Seorang lelaki Sweden masih hidup selepas terperangkap dalam kenderaannya yang dilitupi salji tebal di kawasan hutan selama dua bulan tanpa makanan, lapor media dan polis, kelmarin.

Lelaki berusia 45 tahun dari selatan Sweden itu ditemui Jumaat lalu, dalam keadaan kurus kering dan terlalu lemah. Dia ditemui tidak jauh dari bandar Umea di utara Sweden oleh sekumpulan lelaki menaiki kenderaan salji yang menyangka mereka terserempak dengan sebuah kereta terbiar hingga mereka menggali ke arah cermin kereta dan terlihat pergerakan di dalamnya.


Mangsa yang berbaring di tempat duduk belakang dalam beg tidur berkata, dia berada dalam kereta itu sejak 19 Disember lalu.

"Ia sungguh menakjubkan kerana dia masih hidup memandangkan dia tiada makanan dan cuaca juga sangat sejuk selepas Krismas," kata anggota penyelamat kepada akhbar harian Vasterbottens-Kuriren.


Hospital Universiti Umea tempat mangsa dirawat selepas dia ditemui berkata dalam satu kenyataan, mangsa semakin pulih.


Doktor di hospital itu berkata, manusia biasanya boleh hidup tanpa makanan selama empat minggu. Selain memakan salji, mangsa mungkin dapat hidup dengan mengamalkan hibernasi, kata pakar perubatan, Stefan Branth. - Reuters



Tiada ulasan:

Catat Komen