Jumaat, 7 Oktober 2011

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Baghdad tawar bantuan kepada Libya

Posted: 07 Oct 2011 02:33 PM PDT

Dunia

BAGHDAD: Perdana Menteri Iraq, Nouri al-Maliki, menawarkan bantuan kepada Libya, negara yang berkongsi sejarah pemerintahan kuku besi, membina kedaulatannya dalam pertemuan dengan Perdana Menteri negara bergolak itu yang mengadakan lawatan kelmarin, kata jurucakap kerajaan Iraq, al-Moussawi.

Beliau berkata, Al-Maliki memberitahu Mahmoud Jibril, yang sedang dalam lawatan sehari ke Iraq bahawa Baghdad sedia memberikan sokongan untuk menulis Perlembagaan dan mengadakan pilihan raya.

"Al-Maliki menyatakan kesediaan Iraq menyokong Libya terutama kerana pengalaman kedua-dua negara ketika menyingkirkan pemerintahan kuku besi," katanya. Iraq mengadakan beberapa pilihan raya demokratik dengan pembabitan meluas parti politik, agama dan mazhab sejak penyingkiran bekas presiden Saddam Hussein dalam pencerobohan yang diketuai Amerika Syarikat pada 2003. Bagaimanapun, wujud perbezaan ketara antara kedua-dua negara itu.

Penduduk Libya, walaupun dibantu oleh kempen udara NATO, menjadi punca kejatuhan pemimpin mereka, Muammar Gaddafi sedangkan di Iraq, tentera Amerika menyingkirkan Saddam.

Libya juga tidak berdepan perbalahan mazhab antara Sunnah dan Syiah yang mencetuskan banyak keganasan dan melumpuhkan negara itu hingga membawa ke ambang perang saudara.

Lawatan Jibril itu yang pertama oleh mana-mana kepemimpinan kanan Libya ke Iraq sejak kejatuhan Gaddafi dan menunjukkan perubahan penting dalam perhubungan ketika era Gaddafi.

Bekas pemimpin Libya itu memutuskan hubungan dengan Iraq pada tahun 2003.
Jibril berkata, Libya mahu menghantar duta secepat mungkin ke Iraq dan al-Maliki turut mengemukakan pandangan sama, kata al-Moussawi.

Sementara itu di SIRTE, pemimpin disingkir Gaddafi, menggesa rakyat Libya mengadakan bantahan ke atas pemerintah baru negara itu, ketika tentera beliau melancarkan serangan balas di tempat lahirnya yang dikepung, di sini.

Rayuan Gaddafi dalam mesej audio yang kurang jelas, disiarkan lewat kelmarin melalui stesen televisyen Arrai berpusat di Syria, dibuat ketika Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Leon Panetta mengadakan rundingan di Naples dengan pegawai NATO berhubung masa depan perang udara di Libya.

"Saya menggesa rakyat Libya, lelaki dan wanita, untuk keluar ke dataran, jalan dan semua bandar sehingga mencapai jutaan orang, untuk menolak Majlis Peralihan Nasional (NTC). Jangan takutkan sesiapa. Anda adalah rakyat, anda milik tanah air ini. Jadikan suara anda didengari untuk menentang sekutu NATO," kata Gaddafi yang tidak diketahui lokasi persembunyiannya tetapi masih dipercayai masih berada di Libya.

Mesej bekas pemimpin itu disiarkan ketika pertempuran semakin hebat di bandar kelahiran beliau berhampiran pantai Mediterranean, di mana pengikut setianya cuba memecahkan kepungan tiga hari di bandar itu oleh pejuang NTC.

Pejuang berkata, pertempuran di barisan hadapan timur laut bandar ini meletus pagi kelmarin selepas pengikut setia Gaddafi mara pada waktu malam, kata pejuang kepada AFP.

"Ada banyak pergerakan ketika malam, penembak hendap mereka mara ke sana ke mari," kata seorang daripada mereka. – AP/AFP


Kisah Jobs dalam buku

Posted: 07 Oct 2011 02:27 PM PDT

Dunia

SAN FRANCISCO: Steve Jobs, terlalu lemah dan kesakitan untuk memanjat tangga beberapa minggu sebelum kematiannya Rabu lalu akibat kanser pankreas, mahu anaknya memahami mengapa beliau sentiasa tiada bersama mereka, menurut penulis buku biografi tokoh telekomunikasi itu.

Saya mahu anak saya mengenali saya, kata Jobs yang dipetik calon Hadiah Pulitzer Walter Isaacson, apabila ditanya mengapa pengasas bersama Apple Inc mahu mendedahkan kehidupannya selepas sekian lama menyembunyikan kehidupan peribadinya.

Saya tidak sentiasa berada bersama mereka dan saya mahu mereka tahu mengapa dan memahami apa yang saya lakukan, Jobs memberitahu Isaacson dalam temu ramah terakhir mereka di kediaman Jobs di Palo Alto, California. Sepanjang usianya memimpin Apple, Jobs yang sering memakai baju panas lengan panjang berleher bulat berwarna gelap kekal sebagai tokoh yang berjaya menyembunyikan kehidupan peribadi, keluarga dan penyakitnya serta kematiannya pada usia 56, daripada tumpuan dunia.

Beliau sangat menyembunyikan kehidupan peribadi tetapi beliau berada di
mana-mana, produknya dicipta, kata bekas pekerja Apple, Glenn Harada, 22.

Menurut wartawan kanan akhbar Gulfnews di Dubai, Bassma Al Jandaly yang juga sepupu rapat tokoh telekomunikasi itu, Jobs adalah anak lelaki bapa saudaranya, Abdul Fattah Jandali yang meninggalkan Homs, Syria untuk meneruskan pengajian di Amerika pada awal 1950 an.
Walaupun kami tidak pernah bertemu, tetapi bulan lalu bapa saudara, Abdul Fattah menghubungi saya. Kami berbual mengenai asal usul keluarga. Kami juga berbual mengenai kesihatan Steve dan masa depan Apple. Ketika itu, barulah saya sedar yang beliau tidak akan hidup lebih lama, katanya.

Beliau berkata, Abdul Fattah terus tinggal di Amerika selepas menamatkan pengajian dalam bidang sains politik kerana mempunyai anak hasil hubungan sulit dengan wanita Amerika, Joanne Simpson. Beliau kemudian mengahwini wanita itu dan mendapat anak perempuan Mona Jandali Simpson, yang kini penulis terkenal Amerika. - Reuters


Tiada ulasan:

Catat Ulasan