Isnin, 4 Julai 2011

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Yingluck tubuh kerajaan gabungan

Posted: 04 Jul 2011 12:51 PM PDT

Dunia

pix_gal0
Lima parti bekerjasama tadbir negara, Abhisit lepas jawatan ketua Demokrat

BANGKOK: Parti Puea Thai yang memenangi majoriti kerusi di Parlimen pada pilihan raya umum Ahad lalu, mengumumkan akan menubuhkan kerajaan gabungan dengan empat parti kecil yang lain.

Keseluruhannya lima parti itu akan menguasai 299 daripada 500 kerusi di Parlimen, kata pemimpin Puea Thai, Yingluck Shinawatra yang akan muncul sebagai Perdana Menteri wanita pertama Thailand. "Semua lima parti sudah bersetuju untuk bekerjasama mentadbir negara dan menyelesaikan masalah rakyat," kata ahli perniagaan berusia 44 tahun itu yang dilihat sebagai proksi kepada abangnya, Thaksin yang digulingkan sebagai Perdana Menteri pada 2006 oleh tentera.

"Isu paling utama ialah bagaimana untuk menyatukan negara," kata Yingluck pada sidang akhbar semalam.

Parti Puea Thai – yang digerakkan oleh Thaksin dari Dubai di mana beliau hidup dalam buangan untuk mengelak hukuman penjara di Thailand – memenangi 265 kerusi selepas semua undi dikira.

Jumlah itu melebihi 159 kerusi yang dimenangi parti Demokrat dipimpin Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva yang mengaku kalah selepas dua setengah tahun berkuasa.
Walaupun menguasai majoriti kerusi di parlimen, Puea Thai bertindak pantas menubuhkan kerajaan gabungan untuk melindungi majoritinya jika berlaku ahli Parlimen yang keluar parti atau dibatalkan kemenangannya.

Empat parti lain dalam gabungan itu ialah Chart Thai Pattana, Chart Pattana Pheupandin, Palangchon dan Mahachon.

Sementara itu, Abhisit meletak jawatan sebagai Ketua Parti Demokrat berkuat kuasa serta-merta.

"Sebagai pemimpin parti Demokrat semasa pilihan raya lalu, saya harus bertanggung jawab terhadap kekalahan ini dan sebagai pemimpin yang baik saya harus meletak jawatan," kata Abhisit memberitahu sidang akhbar.

"Parti Demokrat akan mengadakan perhimpunan agung dalam 90 hari untuk memilih ketua baru," katanya. – AFP/Agensi


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tentera akur wakil rakyat mampu selesai isu negara

Posted: 04 Jul 2011 12:50 PM PDT

Dunia

POSTER Abhisit diturunkan selepas beliau tewas kepada  Yingluck pada pilihan raya umum Thailand, Ahad lalu.

POSTER Abhisit diturunkan selepas beliau tewas kepada Yingluck pada pilihan raya umum Thailand, Ahad lalu.

BANGKOK: Tentera Thailand menerima kemenangan besar Parti Puea Thai pimpinan Yingluck Shinawatra, adik kepada bekas Perdana Menteri yang kini tinggal dalam buangan Thaksin Shinawatra dan memberi isyarat bahawa keadaan akan semakin stabil di negara itu sejak rampasan kuasa lima tahun lalu.

Menteri Pertahanan yang juga bekas Panglima Angkatan Tentera Thailand, Jeneral Prawit Wongsuwon, berkata beliau sudah berbincang dengan pemimpin tentera dan mereka bersetuju membenarkan ahli politik menyelesaikan isu kepemimpinan negara itu.

"Saya ingin menegaskan di sini bahawa tentera tidak akan melanggar undang-undang. Saya mengadakan perbincangan dengan pemimpin tentera dan kami bersetuju untuk tidak terbabit. "Kita wajar membiarkan ahli politik yang terpilih melaksanakan tugas. Mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan. Rakyat sudah menyatakan pilihan mereka, jadi tentera tidak boleh berbuat apa-apa dan kami perlu menerimanya," katanya.

Penganalisis politik berkata kemenangan dengan majoriti kecil boleh mencetuskan satu lagi bantahan jalanan atau campur tangan tentera, tetapi kemenangan besar akan menyukarkan pemimpin tentera untuk bertindak merampas kuasa.

Parti Puea Thai berjaya memperoleh majoriti mutlak apabila menang 264 daripada 500 kerusi parlimen yang dipertandingkan, satu pencapaian yang menyukarkan lawan Thaksin untuk menghalang Yingluck daripada menjadi Perdana Menteri wanita pertama Thailand.

"Peluang untuk menyekat Parti Puea Thai amat terhad. Ramalan keadaan tidak stabil yang digembar-gemburkan sebelum ini nampaknya tidak akan menjadi kenyataan. Tentera akan lebih pragmatik sekarang," kata penganalisis dari agensi penyelidikan risiko politik Asia Tenggara Eurasia Group, Roberto Harrera-Lim.
Keputusan pilihan raya kali ini dilihat sebagai satu 'tamparan' kepada pendukung institusi diraja di Bangkok yang disokong Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva selain sokongan besar kepada dasar diperkenalkan Thaksin yang dianggap wira penduduk miskin ketika menjadi Perdana Menteri pada 2001 dan 2005. – AFP/Reuters


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan