Jumaat, 13 Mei 2011

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


80 maut serangan di Pakistan

Posted: 13 May 2011 01:18 PM PDT

Dunia

Taliban mengaku balas dendam pembunuhan Osama bin Laden

SHABQADAR: Kumpulan Taliban Pakistan semalam mengaku melakukan serangan menyebabkan kematian besar sebagai membalas dendam kematian pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden, apabila 80 orang terkorban dalam dua pengeboman di sebuah akademi polis separa tentera.

"Ini adalah tindakan balas dendam pertama untuk Osama yang mati syahid. Tunggu serangan lebih besar di Pakistan dan Afghanistan," kata jurucakap Taliban Pakistan, Ehsanullah Ehsan menerusi telefon dari lokasi rahsia. Di bawah pimpinan Hakimullah Mehsud yang menggantikan Baitullah Mehsud yang maut dalam serangan peluru berpandu Amerika pada 2009, semakin ramai beranggapan Taliban Pakistan melancarkan serangan selepas mendapat inspirasi daripada pemimpin al-Qaeda itu.

Seramai 140 orang lagi cedera, 40 daripadanya parah dalam serangan terburuk tahun ini di negara bersenjata nuklear di mana kerajaan berdepan krisis mendalam berhubung pembunuhan Osama oleh komando Amerika Syarikat, 2 Mei lalu.

Serangan berlaku di barat laut Pakistan ketika kadet separa tentera baru dilatih itu, berpakaian preman sedang menunggu bas untuk bercuti 10 hari.

Penyerang meletupkan bom di luar pusat latihan terbesar Pengawal Sempadan di barat laut, tempat Taliban dan al-Qaeda menyerang pasukan keselamatan.
Bandar itu berhampiran Mohmand, yang berada dalam lingkaran puak tanpa undang-undang digelar Washington sebagai ibu pejabat al-Qaeda selain lokasi serangan mengejut peluru berpandu CIA ke atas Taliban dan komander militan Islam lain.

Ahmad Ali, anggota polis separa tentera yang cedera, mengingati saat ngeri apabila letupan menukar suasana keraian pagi semalam kepada pertumpahan darah.

"Saya sedang duduk dalam sebuah van menunggu rakan. Kami berpakaian preman dan gembira kerana bakal pulang berjumpa keluarga," katanya menerusi telefon dari hospital di sini.

"Saya dengar seseorang menjerit 'Allah Akbar' dan kemudian mendengar letupan kuat. Saya kena sesuatu di belakang bahu. Pada masa sama, saya mendengar satu lagi letupan dan melompat keluar dari van. Saya cedera dan luka."

Menteri Kanan Wilayah Khyber Paktunkhwa, Bashir Ahmed Bilour, berkata daripada yang maut, 69 adalah anggota kadet dan 11 orang awam, serangan terburuk di Pakistan sejak 9 Julai 2010 apabila pengebom membunuh 105 orang di Mohmand.

Doktor di hospital utama Peshawar, Lady Reading berkata mereka bertungkus-lumus menyelamatkan nyawa lebih 40 yang cedera parah dan mengisytiharkan perintah kecemasan bagi menguruskan angka kematian besar.

"Dua kejadian adalah serangan bunuh diri. Pengebom pertama menaiki motosikal sebelum meletupkan bom," kata Ketua Polis daerah Charsadda, Nisar Khan Marwat. – AFP


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Jerebu berterusan tiga bulan lagi

Posted: 13 May 2011 01:17 PM PDT

Dunia

SINGAPURA: Jerebu akan terus dihadapi penduduk beberapa tempat di Malaysia dan Indonesia; manakala di Singapura keadaan mungkin akan lebih teruk tidak lama lagi. Jerebu dijangka berterusan selama tiga bulan akan datang.

Sejumlah besar kebakaran memusnahkan tanaman dan cuaca panas membahang, yang mencetuskan kebakaran semak, menyaksikan jumlah tompokan panas di Sumatera meningkat sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Daripada 60 tompokan panas dikesan Ahad lalu, jumlah itu meningkat kepada 136 Isnin dan 156 Selasa lalu sebelum menurun kepada 119 Rabu dan 45 kelmarin kerana hujan sekali sekala. Situasi itu pada tempoh sama tahun lalu lebih baik kerana cuaca lembap. Kesan bahang dan jerebu dirasa dengan teruk di Lembah Klang termasuk Kuala Lumpur, menyebabkan ramai rakyat Malaysia serta pelancong tidak keluar bangunan.

Emma George Francis, 22, seorang warga Sweden yang menghabiskan lima hari di Kuala Lumpur, berkata udara agak berhabuk kelmarin berbanding awal minggu ini.

"Saya banyak minum air dan membeli-belah dalam pusat beli- belah." kata Franch.

Pelabuhan Klang, kira-kira 40 kilometer barat daya Kuala Lumpur, dikesan mencatat bacaan paras 'tidak sihat' 104 dalam indeks pencemaran pagi kelmarin sebelum menurun kepada kadar 'sederhana' 99 jam 5 petang selepas hujan lebat tengah hari. Bacaan lima kawasan sekitar jam 5 petang melebihi 80, paras sederhana tinggi.
Keadaan diramal makin baik kerana hujan dijangka turun minggu depan, menurut seorang pegawai Jabatan Perkhidmatan Meteorologi.

Jerebu tebal menyelubungi sebahagian Sumatera lewat bulan lalu, menyebabkan kesukaran bernafas dan memaksa penduduk mengurangkan aktiviti luar.

Seorang pakar kaji cuaca di wilayah Riau, Sumatera, Ardi Tama kelmarin berkata jerebu itu mungkin berterusan sehingga Ogos. – Agensi


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Komen