Selasa, 22 Mac 2011

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Kubu Gaddafi musnah dibedil

Posted: 21 Mar 2011 11:14 AM PDT

TRIPOLI: Dalam tindakan yang sangat jarang diambil, pegawai Libya membawa wartawan asing melawat kubu Muammar Gaddafi semalam untuk menunjukkan bangunan yang musnah diserang tentera Bersekutu.

Tidak jauh dari khemah suram tempat Gaddafi menerima tetamunya, sebuah bangunan tiga tingkat musnah, selain sebuah lubang jelas kelihatan.


Wartawan di Tripoli mendengar satu letupan awal pagi semalam dan melihat asap berkepul dari kubu berkenaan.

Kawasan itu turut menempatkan kediaman peribadi, berek tentera dan kemudahan lain.


Bagaimanapun, tiada asap kelihatan apabila lawatan berkenaan diadakan.


Pegawai Gaddafi berkata, bangunan itu terkena peluru berpandu dan mendakwa Barat cuba membunuh pemimpin Libya itu.

Jurucakap kerajaan, Mussa Ibrahim, berkata serangan itu tidak bertamadun.


"Ia bercanggah dengan kenyataan AS dan Barat yang menafikan mereka mensasarkan kawasan ini," katanya.

Mengesahkan tiada kecederaan berlaku dalam serangan itu, Mussa enggan menyatakan sama ada Gaddafi berada di situ ketika kejadian.


Sebelum ini, AS berkata, mereka tidak berniat mensasarkan Gaddafi ketika tentera negara itu dan sekutunya meningkatkan serangan ke atas Libya.


Tidak jauh dari situ, penyokong Gaddafi dibenarkan masuk ke kompleks berkenaan untuk menjadi benteng manusia jika serangan udara berlaku lagi.


Mereka melaungkan slogan anti-Barat, termasuk menggesa Presiden Barack Obama dibunuh.


Di belakang kawasan itu, seorang tentera mengawasi ruang udara bersama kelengkapan senjata antikapal terbang yang diletakkan di atas sebuah lori pikap.


Lewat malam kelmarin, penyokong Gaddafi melepaskan tembakan ke udara ketika sebahagian yang lain menari sambil mengibarkan bendera Libya.


Penyokong Gaddafi itu berkata, mereka rela mati untuk pemimpin terbabit.


Seorang jurutera, Muatas, 45, berkata dia sangat sayangkan Gaddafi. "Dia adalah bapa kami dan kami rela mati kerananya," katanya. - Reuters

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Cubaan bunuh pemimpin Libya bukan idea bijak: Gates

Posted: 21 Mar 2011 11:09 AM PDT

DALAM PESAWAT TENTERA AS: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Robert Gates, berkata tidak bijak bagi tentera Bersekutu cuba membunuh Muammar Gaddafi dalam serangan ke atas Libya.

Ketika ditanya mengenai gesaan rakan sejawatannya dari Britain, Liam Fox, yang mencadangkan agar serangan itu mensasarkan Gaddafi, Gates berkata, operasi itu sepatutnya kekal dalam lingkungan resolusi diluluskan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).


"Saya berpendapat adalah penting bagi kita menjalankan operasi berdasarkan mandat PBB," katanya.

Gates yang bercakap dalam pesawat tentera Amerika yang dalam penerbangan ke Russia berkata, campur tangan di Libya itu disokong oleh "pakatan yang amat berbeza-beza" dan memberi amaran, sebarang tindakan meluaskan matlamatnya akan merumitkan keadaan. "Saya juga berpendapat, adalah tidak bijak untuk menetapkan perkara yang anda boleh atau tidak boleh mencapainya sebagai matlamat khusus," katanya.


Dia turut memberi amaran mengenai rancangan memberi sokongan secara langsung kepada pemberontak bagi menggulingkan Gaddafi.


Katanya, isu itu perlu diselesaikan rakyat Libya sendiri. "Ada atau tidak bantuan dari luar untuk pemberontak, kita perlu tunggu dan lihat. Matlamat asalnya ialah untuk melumpuhkan pasukan tentera udara Gaddafi bagi melindungi orang awam," katanya. - AFP

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Komen