Khamis, 4 Julai 2013

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Mangsa gempa terima bantuan

Posted: 04 Jul 2013 01:58 PM PDT

Angka korban meningkat, lebih 4,300 bangunan musnah

Blang Mancung: Penduduk di beberapa perkampungan Aceh yang terjejas teruk kerana gempa bumi 6.1 magnitud mula menerima bantuan keperluan semalam.

Banyak jalan raya sudah dibersihkan untuk menghantar bekalan ke perkampungan yang tidak dapat dilalui sebelum ini kerana tanah runtuh, kata agensi bantuan bencana kebangsaan.
Tugas utama kami ialah memasang khemah untuk mangsa gempa. Mereka juga amat memerlukan selimut" Sutopo Purwo Nugroho, Jurucakap agensi bantuan bencana kebangsaan

"Tugas utama kami ialah memasang khemah untuk mangsa gempa. Mereka juga amat memerlukan selimut," kata jurucakapnya, Sutopo Purwo Nugroho.
Katanya, 30 orang disahkan terbunuh, 12 lagi masih hilang manakala 275 lagi cedera.

Lebih 4,300 kediaman dan bangunan juga rosak.

Empat trak Palang Merah membawa bekalan keperluan ke kawasan yang paling teruk selepas dilanda gempa itu, kata pegawai sebuah pertubuhan bantuan di Aceh, Fauzi Husaini.
Mereka menghantar beratus-ratus tikar, kain tarpal, kelambu dan selimut selain alat memasak, pakaian dan peralatan mandi, katanya.

Gempa yang berlaku mengingatkan semula ingatan kepada bencana tsunami berpunca daripada gegaran hingga mengorbankan 170,000 nyawa di 14 negara pada 2004.

Masjid turut runtuh

Gempa terbaru turut meruntuhkan sebuah masjid di satu kampung menyebabkan enam kanak-kanak sedang mengaji maut.

Palang Merah melaporkan, 5,000 penduduk keluar dari rumah dan ramai yang memerlukan makanan, selimut dan tempat berlindung.

Banyak perkampungan yang terputus hubungan khususnya di Aceh Pusat dan Bener Meriah.

Di kampung Bah, bekalan belum dapat dihantar kerana menunggu pasukan penyelamat membersihkan jalan raya yang ditimbus pasir selepas tanah runtuh berlaku.
"Semuanya kini bergantung kepada takdir," kata Maliki, bapa seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang dipercayai turut tertimbus.

"Saya mahu melihat anak saya tidak kira dia hidup atau mati," katanya lagi.
Indonesia terletak di kawasan Lingkaran Api Pasifik yang juga lokasi pelanggaran plat tektonik yang menjadi punca kejadian letupan gunung berapi. - AFP

4 budak maut bom meletup

Posted: 04 Jul 2013 01:55 PM PDT

Kandahar: Serangan bom mengorbankan empat budak perempuan yang menghadiri majlis perkahwinan di Afghanistan, kata pegawai semalam, menyalahkan Taliban yang menyasarkan kakitangan kerajaan pada upacara itu.

Mangsa berusia antara tujuh dan 12 tahun meninggal dunia apabila peranti letupan diperbaiki (IED) dihidupkan ketika mengambil air daripada sungai pada majlis berkenaan di Helmand.

"Mereka berada pada majlis perkahwinan dan pagi ini mereka mahu mengambil air apabila peranti peledak diletupkan di kaki lima.

"Taliban mungkin menanam bom itu untuk menyasarkan kakitangan kerajaan yang hadir pada majlis berkenaan tetapi ia membunuh kanak-kanak yang tidak bersalah," kata jurucakap pentadbiran tempatan, Omar Zwak.

Pegawai kanan polis, Mohammad Ismail Hotak, mengesahkan kejadian yang berlaku di luar ibu negeri wilayah itu, Laskhar Gah dan memberikan angka kematian sama.
"Empat budak perempuan terbunuh. Mayat seorang daripada mereka hancur," katanya.

Taliban kerap menggunakan IED untuk menyasarkan pegawai kerajaan dan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) serta tentera Afghanistan tetapi penduduk awam dan kanak-kanak kerap terbunuh dan cedera disebabkan serangan itu. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan