Isnin, 15 Julai 2013

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Polis contoh didakwa bunuh

Posted: 15 Jul 2013 01:38 PM PDT

Mangsa diseret satu kilometer dengan kereta

Singapura: Seorang anggota polis Singapura yang pernah dinobatkan sebagai pegawai contoh semalam didakwa atas kesalahan membunuh seorang ahli perniagaan bersama anak lelakinya dalam satu kes yang menggemparkan di bandar raya itu.

Staff Sarjan Kanan Iskandar Rahmat, 34 didakwa membunuh pemilik bengkel kereta, Tan Boon Sing, 67 dan anak lelakinya, Tan Chee Heong, 42, Rabu lalu.
Pasukan polis dan setiap anggota tercemar dengan tindakan anggota ini" Ng Joo He, Pesuruhjaya Polis

Lelaki berkenaan dibunuh di kediamannya manakala mayat anak lelakinya ditemui kira-kira satu kilometer selepas diseret di bawah sebuah daripada kereta milik keluarga berkenaan, sehingga meninggalkan jejak berdarah di sebuah jalan yang sibuk.

Segera ditahan

Iskandar, yang pernah dinobatkan sebagai pegawai polis contoh melalui laman web Polis Singapura, dikatakan meninggalkan kereta terbabit dan melarikan diri ke Malaysia menaiki sebuah skuter tetapi segera ditahan dan dibawa ke Singapura.

Media Singapura berkata suspek, yang sudah berkahwin dan berkhidmat dalam pasukan selama 14 tahun diisytiharkan muflis dan sedang disiasat kerana gagal melaporkan masalah kewangannya kepada pegawai atas beliau.
Dia dilarang membawa senjata api ketika siasatan dijalankan.

Aduan kecurian

Tiada sebarang motif yang diketahui membabitkan pembunuhan itu tetapi seorang jurucakap polis mengesahkan laporan bahawa Iskandar pernah menerima satu aduan kecurian oleh pemilik bengkel itu November tahun lalu, dan selepas itu dia ditukarkan ke tempat lain.

Kes berkenaan mengejutkan Singapura yang mempunyai kadar jenayah rendah.
Berdasarkan statistik rasmi, bilangan pembunuhan di Singapura mencecah rekod serendah 11 dalam tempoh 20 tahun pada 2012, menurun daripada 16 yang dilaporkan pada 2011.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hujung minggu lalu, Pesuruhjaya Polis, Ng Joo He berkata: "Pasukan polis dan setiap anggotanya tercemar dengan tindakan seorang anggota ini," katanya. - AFP

Snowden miliki dokumen sensitif

Posted: 15 Jul 2013 01:33 PM PDT

RIO DE JANEIRO: Edward Snowden mendakwa memiliki dokumen paling sensitif mengenai bagaimana Agensi Keselamatan Kebangsaan disusun dan beroperasi yang boleh menjejaskan kerajaan Amerika Syarikat, tetapi beliau menegaskan tidak akan mendedahkannya kepada umum, kata seorang wartawan yang rapat dengannya.

Glenn Greenwald, seorang penulis kolum akhbar The Guardian yang pertama kali melaporkan kebocoran risikan Amerika Syarikat itu memberitahu bahawa pendedahan maklumat dalam dokumen terbabit akan membolehkan seseorang yang membacanya mengetahui bagaimana NSA sebenar.

Katanya, dokumen yang dimiliki Snowden pada asasnya adalah arahan manual mengenai bagaimana NSA dibina.

"Dalam usaha untuk mendapatkan dokumen terbabit yang mengesahkan bahawa beliau bercakap benar, beliau membawanya satu yang amat sensitif, maklumat terperinci mengenai bagaimana NSA lakukan," kata wartawan berkenaan kelmarin di sebuah bilik hotel di Rio de Janeiro.

Sedia bertemu Putin

Beliau berkata temubual tberlangsung selama empat jam selepas kali terakhir beliau bersama Snowden.
Greenwald berkata, beliau percaya pendedahan maklumat dalam dokumen itu tidak terbukti akan menjejaskan rakyat Amerika Syarikat dan keselamatan mereka tetapi Snowden mendedahkan bahawa beliau tidak akan mendedahkannya kepada umum.

"Saya rasa ia akan menjejaskan kerajaan Amerika Syarikat kerana ia adalah membabitkan kepentingan mereka, jika perincian program terbabit didedahkan," katanya.

Beliau sebelum ini berkata, dokumen terbabit diklasifikasikan sebagai sulit untuk memastikan keselamatannya.

Snowden muncul daripada persembunyiannya di sebuah lapangan terbang Moscow Jumaat lalu dan berkata beliau bersedia bertemu Presiden Vladimir Putin dengan syarat akan menghentikan kebocoran rahsia Amerika Syarikat untuk membolehkan Russia memberi perlindungan kepadanya sehingga berjaya berpindah ke Amerika Latin.

Greenwald memberitahu AP bahawa beliau mengelak bercakap dengan Snowden mengenai isu berkaitan dalam usaha untuk mengelak sebarang masalah perundangan terhadap dirinya sendiri. - AP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan