Sabtu, 13 April 2013

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Bukan helikopter biasa

Posted: 12 Apr 2013 01:25 PM PDT

Sekali pandang, ia kelihatan tidak ubah seperti sebuah helikopter biasa, tetapi pesawat baru Northrop Grumman itu kekurangan sesuatu yang penting - juruterbang.

Pesawat MQ-8C Fire Scout itu dipamerkan kepada umum kali pertama beberapa hari lalu.


Ia dilengkapi peralatan elektronik tercanggih sehingga membolehkan ia dikendalikan tanpa juruterbang.

Pada masa sama, ia tetap mempunyai kemampuan sama seperti helikopter normal. Kenyataan firma Northrop Grumman menyebut, pesawat canggih itu dilengkapi pengesan untuk bertugas sebagai peninjau, pemantau dan pencari sasaran.


"Ia memberi sokongan kepada tuntutan perang bagi meningkatkan kesedaran terhadap situasi semasa," katanya.


MQ-8C Fire Scout itu menggabungkan dua sistem udara terbaik dalam pakej kos rendah serta pantas.

Awal tahun ini, Tentera Laut Amerika Syarikat menganugerahkan kontrak bernilai AS$71 juta (RM215.6 juta) kepada Northrop Grumman untuk menghasilkan enam pesawat tambahan MQ-8C bagi menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 30 unit.


Naib Presiden Northrop Grumman, George Vardoulakis berkata, kontrak itu memberikan momentum penting kepada syarikat berkenaan bagi memenuhi keperluan Tentera Laut AS. Helikopter tanpa juruterbang itu dibina berdasarkan helikopter Bell 407 yang sering digunakan hospital, agensi berita, pengeluar filem dan penguat kuasa di seluruh dunia. Lebih 1,000 unit telah dijual dengan mencatatkan jumlah penerbangan terkumpul selama lebih tiga juta jam.

Namun, kini model itu mengalami pengubahsuaian radikal. Kata Northrop Grumman, pesawat MQ-8C itu boleh melaksanakan misi di darat atau laut, selain mampu berlepas atau mendarat di atas kapal perang.


"Ia juga boleh menjayakan pendaratan berjadual atau tidak bagi menurunkan tentera," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/13

Gadai maruah bayar along

Posted: 12 Apr 2013 10:55 AM PDT

Seorang wanita berusia 23 tahun terpaksa menyerahkan maruah diri bagi menggantikan bunga pinjaman wang yang gagal dibayar kepada along dalam satu kejadian kira-kira jam 2.30 petang, Jumaat lalu.

Semuanya berlaku selepas bekas majikannya yang menjadi perantara dengan along berkenaan sanggup mengarahkan dua lelaki iaitu konco along berkenaan merogol bekas pekerjanya itu disebabkan gadis terbabit gagal berbuat demikian.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah mengesahkan kejadian itu dan memberitahu siasatan mengenainya kini sedang dijalankan.

Harian metro difahamkan, detik hitam dalam hidup wanita itu berlaku di sebuah hotel di Jalan Persiaran Raja Muda Musa, di sini, kira-kira jam 2.30 petang.


Menceritakan semula kejadian, sumber berkata, mangsa yang berusia 23 tahun menerima panggilan daripada bekas majikannya memberitahu terdapat kerja kosong di premisnya di Pekan Klang di mana tempat dia bekerja sebelum ini.


Bagaimanapun, niatnya untuk mencari pekerjaan bertukar tragedi apabila dia dibawa ke sebuah hotel sebelum dirogol dua lelaki dipercayai pemungut bayaran bunga duit along terbabit.

Difahamkan, mangsa hanya membuat pinjaman sebanyak RM2,000 daripada along terbabit, tetapi tidak mampu untuk membayar bunga hutang berkenaan selepas dibuang kerja hanya kerana mengambil cuti selama sehari.


"Selepas dihubungi dan dipanggil ke premis itu, mangsa dipertemukan dengan dua lelaki terbabit sebelum dimarah dan dimaki hamun dengan perkataan kasar kerana dia tidak membayar duit bunga pinjaman.

"Suspek juga mengugut akan menjual mangsa kepada individu lain sekiranya gagal membuat bayaran berkenaan sebelum membawa mangsa menaiki kereta Proton Satria berwarna kelabu untuk berjumpa dengan majikan mereka," katanya.


Bagaimanapun, mangsa sekali lagi ditipu suspek terbabit apabila dia dibawa ke sebuah restoran di Bukit Tinggi, di sini sebelum diugut buat kali kedua oleh salah seorang daripada mereka.


"Suspek mengarahkan mangsa membayar semua wang yang dipinjam. Sekiranya gagal, dia akan dipaksa bekerja di tempat yang diarahkan suspek sebagai cagaran kepada hutang berkenaan atau diarahkan mengadakan hubungan seks dengan mereka.


"Mangsa yang ketakutan terus merayu kepada agar diberikan masa untuk melunaskan hutang berkenaan, namun rayuan itu tidak diendahkan sebelum membawanya ke hotel," katanya.


Bimbang dirinya diperlakukan lebih buruk, katanya, mangsa hanya menurut perintah untuk mengikuti mereka pergi ke hotel berkenaan dan di sana dia dirogol sebelum suspek menghantarnya pulang ke rumah.


Mangsa yang trauma kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Klang.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusof berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/13

Tiada ulasan:

Catat Ulasan