Selasa, 5 Februari 2013

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Isu gay buat parti Konservatif goyah

Posted: 05 Feb 2013 06:57 AM PST

LONDON: Parti Konservatif pimpinan Perdana Menteri Britain, David Cameron, dilihat akan berpecah dua, berhubung rancangan kerajaan pimpinannya untuk membenarkan perkahwinan sejenis.

Meskipun Parlimen dijangka memberi kelulusan awal ke atas draf undang-undang dalam isu itu, hampir separuh daripada 303 ahli perundangan Konservatif termasuk beberapa menteri Kabinet akan mengundi menentangnya atas sebab moral dan agama.

Pengkritik draf undang-undang membenarkan perkahwinan sejenis berkata, isu itu tidak penting bagi orang ramai dan hanya membawa kepada pertelingkahan.

Menunjukkan isu itu hanya memberi masalah kepada Cameron, Menteri Kewangan, Setiausaha Luar dan Menteri Dalam Negeri menulis surat bersama untuk disiarkan akhbar bagi menggesa ahli perundangan parti menyokong.

Beberapa tinjauan pendapat menunjukkan pandangan umum menyokong Cameron.

Tinjauan YouGov bagi akhbar Sunday Times menunjukkan 55 peratus menyokong supaya undang-undang mengesahkan perkahwinan sejenis manakala 36 peratus menentang.

Bagaimanapun, tinjauan yang sama menunjukkan perkara berkenaan bukan keutamaan bagi pengundi kerana berada di kedudukan ke-12 daripada 15 isu utama bagi pilihan raya akan datang.
Undang-undang baru mencadangkan perkahwinan sejenis di England dan Wales dibenarkan mulai 2014.

Undian mengenainya diadakan semalam dan ahli perundangan bebas membuat pilihan kerana pemimpin parti tidak menetapkan sebarang pendirian.

Bagaimanapun, pekerja parti Konservatif menggesa Cameron menangguhkan pengundian kerana percaya ia melemahkan parti dan menjejaskan peluangnya menang pilihan raya seterusnya.

Isu ini membawa masalah kerana kami tidak berkempen atas perkara ini pada 2010, kata seorang ahli perundangan Konservatif, David Burrowes.

REUTERS

Menonton tv jejas sperma

Posted: 05 Feb 2013 06:56 AM PST

London: Pemuda yang menonton televisyen cuma tiga jam sehari berisiko kehilangan kualiti sperma sehingga separuh.

Kajian menunjukkan kualiti sperma terjejas kerana kurangnya seseorang itu melakukan aktiviti fizikal.

Lelaki yang suka lepak pasti kalah kepada orang sederhana aktif, menurut kajian Universiti Harvard yang diterbitkan dalam Journal of Sports Medicine di sini.

Pakar berkata, kesannya boleh disebabkan kurang bersenam atau kepanasan melampau buah zakar disebabkan duduk lama.

Lelaki yang mahu memiliki anak kini digalakkan tidak memakai seluar ketat untuk menjaga kualiti sperma. Pemandu dan penunggang basikal juga berisiko berdepan masalah kesuburan.

Dalam kajian terbaru Sekolah Kesihatan Umum Harvard (HSPH), lelaki yang menonton televisyen lebih 20 jam setiap minggu memiliki kadar sperma 44 peratus lebih rendah berbanding mereka yang hampir tidak menonton televisyen langsung.

Lelaki yang bersenam 15 jam atau lebih seminggu pada kadar sederhana dan kuat memiliki bilangan sperma 73 peratus lebih tinggi berbanding mereka yang bersenam tidak sampai lima jam seminggu. Senaman ringan tidak menjejaskan kualiti sperma.
AGENSI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan