Selasa, 12 Februari 2013

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Ujian nuklear paling kuat

Posted: 12 Feb 2013 08:52 AM PST

Seoul: Korea Utara semalam mendakwa berjaya melancarkan ujian nuklear paling kuat dengan 'peralatan kecil' mengingkari resolusi Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan bantahan kuasa besar dunia termasuk sekutu rapatnya, China.

Negara itu berkata, ujian bawah tanah ketiga itu, yang dilakukan walaupun berdepan amaran tegas Majlis Keselamatan PBB, adalah tindak balas kepada apa yang disifatkannya permusuhan Amerika Syarikat.

Sambil menyifatkan ia hanya 'langkah pertama' Korea Utara memberi amaran akan melaksanakan tindakan lebih drastik jika dunia terus mengenakan sekatan ke atasnya.

Dakwaan itu mencetuskan kebimbangan bahawa Pyongyang bakal memasang peledak nuklear kepada peluru berpandu balistik miliknya.

Pengesahan daripada agensi berita KCNA dibuat hampir tiga jam selepas layar gempa bumi mengesan gegaran luar biasa di kawasan ujian nuklear Punggye-ri, berhampiran sempadan China.

"Letupan semalam menghasilkan kekuatan antara enam hingga tujuh kilotan," kata jurucakap Kementerian Pertahanan Korea Selatan, Kim Min-Seok, kepada wartawan.
Ia adalah jauh lebih kuat berbanding ujian pada 2006 dan 2009, kedua-duanya menggunakan plutonium.
Bom atom yang digugurkan Amerika Syarikat di Hiroshima pada 1945, menghasilkan kekuatan letupan 15 kilotan.

Presiden Barack Obama mengutuk ujian terbabit dan menggesa tindak balas pantas dan berwibawa, ketika Majlis Keselamatan bersedia mengadakan mesyuarat.

Kecaman turut diterima dari negara lain termasuk Russia manakala Jepun melihat ujian itu sebagai ancaman besar kepada keselamatannya.

Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon mengecam ujian itu hari ini, manakala diplomat berkata Majlis Keselamatan akan mengadakan mesyuarat tergempar hari ini bagi membincangkan kemungkinan menguatkuasakan sekatan baru ke atas Pyongyang.

AFP

Tunjuk perasaan di Kaherah

Posted: 12 Feb 2013 08:51 AM PST

Kaherah: Pasukan keselamatan menyembur air dan melepaskan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan di luar istana Presiden ketika meraikan ulang tahun kedua kejatuhan Hosni Mubarak dengan menentang penggantinya.

Mereka berusaha menyuraikan sekumpulan penunjuk perasaan petang kelmarin, selepas sebila-ngannya cuba merempuh kawat duri yang menghalang mereka daripada mendekati pintu pagar istana. Sebahagian penunjuk perasaan menjerit: "Rakyat mahu menumbangkan rejim ini."

Terdahulu, sekumpulan lelaki bertopeng menghalang kereta api di stesen bawah tanah Kaherah dan 12 penunjuk perasaan menyekat lalu lintas dengan membakar tayar di laluan utama bandar raya itu. Beratus-ratus lagi berhimpun di luar pejabat ketua pendakwa negara, menuntut keadilan bagi penunjuk perasaan yang terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan selepas Presiden Mohammed Morsi mengambil alih jawatan musim panas lalu.

Penunjuk perasaan membaling beg plastik berisi cecair merah ke arah pejabat pendakwa bagi mengingatkan darah orang awam yang tumpah dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan.

Sekumpulan penunjuk perasaan menutup pintu bangunan pentadbiran utama di luar stesen bawah tanah di Dataran Tahrir.
AP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan