Jumaat, 1 Februari 2013

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Sembilan maut trak bunga api meletup

Posted: 01 Feb 2013 02:19 PM PST

Beijing: Sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh dan 11 lagi cedera apabila sebuah trak sarat dengan bunga api untuk sambutan Tahun Baru meletup di sebatang lebuh raya bertingkat di tengah China semalam.

Kejadian menyebabkan sebahagian lebuh raya di Mianchi, wilayah Henan musnah manakala 25 kenderaan terhumban kira-kira 30 meter ke bawah.

Agensi berita Xinhua, yang memetik kenyataan pihak bomba melaporkan sembilan orang disahkan terbunuh namun hanya enam daripada 25 kenderaan yang terhumban ditemui.

Seorang jurucakap Parti Komunis dari bandar berhampiran Sanmenxia, Nie Jianying yang memetik pegawai wilayah berkata sembilan orang disahkan terbunuh sementara 11 yang lain dimasukkan ke hospital.

Laporan awal Radio Kebangsaan China dan beberapa agensi lain menyatakan lebih 26 terbunuh tetapi ia kemudian dipadamkan dari laman web.

Gambar yang disiarkan agensi berita dan laman web menunjukkan sebahagian lebih raya itu runtuh. Gambar lain menunjukkan bomba menyembur air di kawasan konkrit, trak dan kontena penghantaran yang musnah.

Tiada laporan punca letupan
Tiada laporan mengenai punca letupan. Ia berlaku 90 kilometer ke barat Luoyang, ibu kota purba China yang dikenali dengan patung Buddha yang terukir daripada batu kapur.

Bunga api amat popular sempena sambutan Tahun Baru Cina. Bagi memenuhi permintaan, bunga api dibuat, dihantar dan disimpan dengan kuantiti banyak, dalam keadaan tidak selamat.

Beberapa kejadian kemalangan berlaku pada 2006 dan hari pertama Tahun Baru, sebuah gudang bunga api meletup di sebuah kuil di Henan membunuh 36 orang dan mencederakan berpuluh yang lain. - AP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan