Isnin, 8 Oktober 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Filipina berdamai dengan barisan Moro

Posted:

Filipina berdamai dengan barisan Moro

GAMBAR fail menunjukkan anggota-anggota Barisan Pembebasan Islam Moro berkawal di dalam sebuah pangkalan mereka di Kem Darapan, wilayah Sultan Kudarat, selatan Filipina pada 5 September 2011.


MANILA - Presiden Filipina, Benigno Aquino III mengumumkan semalam bahawa pentadbirannya mencapai persetujuan awal perjanjian damai dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang merupakan kumpulan pemberontak Islam terbesar di negara itu.

Beliau berkata, persetujuan itu merupakan satu kejayaan besar ke arah menamatkan pemberontakan yang berlanjutan selama sedekad di selatan negara itu.

Menurut Aquino, rangka kerja persetujuan tersebut merupakan jaminan pemberontak MILF menamatkan perjuangan mereka untuk berpisah dari Filipina.

Persetujuan damai tersebut memberi laluan kepada penubuhan sebuah wilayah autonomi untuk penduduk minoriti Islam di selatan Filipina.

Perjanjian damai tersebut yang akan dimeterai pada 15 Oktober ini di Manila menggariskan prinsip asas berhubung beberapa isu utama termasuk pembahagian kuasa, hasil dan wilayah di rantau berpenduduk Islam tersebut.

Jika segalanya berjalan lancar, satu perjanjian damai yang muktamad akan ditandatangani menjelang tahun 2016 apabila penggal pemerintahan Aquino berakhir.

"Persetujuan asas memberi laluan kepada keamanan muktamad dan berpanjangan di selatan Filipina," kata Aquino.

"Ia bermakna tangan yang pernah mengangkat senjata (para pemberontak MILF) akan digunakan untuk berbudi kepada tanah, menjual produk dan membuka laluan untuk pelbagai peluang lain," tambahnya.

Persetujuan tersebut merupakan kejayaan terbesar proses rundingan dengan MILF yang memiliki 11,000 anggota sejak 15 tahun lalu.

Pemberontakan MILF telah menyebabkan lebih 120,000 orang terbunuh dengan sekitar dua juta orang lagi menjadi pelarian selain membantutkan pembangunan di selatan Filipina. - Agensi

Turki serang balas bedilan meriam Syria

Posted:

Turki serang balas bedilan meriam Syria

ASKAR-ASKAR Turki mengawal pintu sempadan di bandar Akcakale semalam.


WASHINGTON - Tentera Turki di bandar Akcakale melepaskan bedilan meriam ke Syria semalam, lapor agensi berita Dogan.

Tindakan itu dilakukan selepas satu bedilan meriam tentera Syria mengenai sebuah kawasan di bandar tersebut yang merupakan insiden kedua dalam tempoh lima hari.

Bedilan itu mengenai pekarangan sebuah bangunan awam yang terletak tidak jauh dari bandar Akcakale.

Bagaimanapun, tiada kematian dilaporkan dalam kejadian tersebut.

Pada Rabu lalu, lima penduduk awam Turki mati di bandar tersebut ekoran serangan mortar tentera Syria dari bandar Tal al-Abad.

Sementara itu, Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Leon Panetta kelmarin berkata, insiden berbalas bedilan meriam antara Syria dan Turki akan merebak ke negara-negara jiran.

Menurutnya, AS sedang menggunakan saluran diplomatiknya untuk melegakan kebimbangan berhubung pertempuran tersebut dengan harapan ia tidak akan merebak.

Komen Panetta dibuat semasa beliau melawat Peru selepas Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan mengeluarkan amaran bahawa negaranya kini di ambang peperangan dengan Syria.

Turki dan Syria berbalas bedilan meriam ketika kumpulan pemberontak bertempur dengan tentera Presiden Bashar Al-Assad dekat kawasan sempadan pada Sabtu lalu.

Pertempuran itu meningkatkan kebimbangan krisis di Syria akan mencetuskan konflik di rantau tersebut.

Sebelum ini, Erdogan memberi amaran bahawa negaranya tidak akan bersabar dengan tindakan Syria yang membedil wilayahnya.

Sementara itu, Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu berkata, Naib Presiden Syria, Faruq Al-Shara dianggap sebagai pengganti Presiden Bashar Al-Assad untuk menjadi ketua pentadbiran buat sementara waktu bagi menamatkan perang saudara di negara berkenaan.

"Faruq merupakan seorang lelaki yang munasabah dan memiliki perasaan belas kasihan. Beliau juga tidak terlibat dengan pembunuhan beramai-ramai di Syria. Tiada siapa yang lebih arif daripada beliau tentang sistem pentadbiran negara itu," kata Davutoglu ketika diwawancara wartawan saluran televisyen TRT kelmarin.

Menteri berkenaan menegaskan bahawa pihak penentang di Syria cenderung untuk menerima Faruq sebagai pemimpin masa hadapan Syria. - Agensi

Filem E.T masih diminati ramai

Posted:

Filem E.T masih diminati ramai

SALAH satu adegan yang terdapat dalam filem E.T.: The Extra-Terrestrial.


LOS ANGELES - Seorang pengkritik filem Amerika Syarikat (AS), Christy Lemire masih terharu seperti tiga dekad lalu apabila dia menonton filem sains fiksyen popular, E.T.: The Extra-Terrestrial di sebuah pawagam pada Rabu lalu.

Filem yang diarahkan oleh Steven Spielberg pada tahun 1980-an yang mencipta fenomena di seluruh dunia itu bakal menemui peminat dalam bentuk cakera video digital sinar biru bermula esok.

Filem E.T memenangi empat Anugerah Akademi dan menjana hasil kutipan tiket hampir AS$800 juta (RM2.44 bilion) selepas tayangannya di seluruh dunia.

Ia menceritakan tentang persahabatan antara makhluk asing dengan sekumpulan kanak-kanak lakonan Henry Thomas, Robert MacNaughton dan Drew Barrymore.

Bagi meraikan pencapaian gemilang tersebut, pawagam-pawagam di seluruh AS menayangkan semula filem E.T dalam bentuk digital di seluruh AS pada hari tersebut.

Pengkritik filem berkenaan berkata, filem tersebut masih menyentuh emosinya seperti 30 tahun dahulu terutamanya apabila dia menonton adegan perpisahan makhluk asing tersebut dengan watak utama, seorang budak lelaki berusia 10 tahun yang bernama Elliott.

Menurutnya, perasaan terharu turut dikongsi ramai penonton lain yang turut membanjiri panggung wayang untuk menyaksikan filem yang penuh nostalgia itu. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan