Jumaat, 5 Oktober 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Syria minta maaf selepas bedil bandar Turki

Posted:

Syria minta maaf selepas bedil bandar Turki

GAMBAR yang dirakamkan semalam menunjukkan beberapa orang berdiri di depan sebuah rumah yang musnah dalam serangan mortar tentera Syria di bandar Akcakale, Turki.- AFP


ANKARA – Pemerintah Syria mengaku membunuh lima penduduk di bandar Akcakale, Turki dalam satu serangan mortar, kata Timbalan Perdana Menteri Turki, Besir Atalay semalam.

"Pihak Syria mengaku melancarkan serangan itu dan meminta maaf," katanya selepas Parlimen Turki bersidang bagi membincangkan isu tersebut.

Parlimen Turki turut membenarkan tentera negara ini melancarkan operasi di dalam negara Syria jika dianggap perlu ekoran serangan mortar tersebut.

Kebenaran itu diberikan selepas 320 daripada 550 anggota parlimen meluluskan usul untuk melancarkan operasi tersebut.

Seramai 129 anggota parlimen menentang usul berkenaan termasuk daripada Parti Penduduk Republik yang menjadi pembangkang utama.

Atalay berkata, Syria berjanji tidak akan mengulangi serangan itu selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menjadi pengantara dalam isu berkenaan.

Pihak berkuasa Turki menyatakan antara yang terbunuh itu ialah seorang ibu dan tiga orang anaknya.

Serangan mortar itu tersasar selepas ia dilancarkan pihak tentera Syria dari bandar Tall al-Abyad kelmarin.

Tentera Turki kemudian bertindak balas dengan melancarkan bedilan meriam yang menyebabkan beberapa askar Syria dilaporkan terbunuh.

Sementara itu, kumpulan pemberontak Syria membunuh 21 anggota pasukan elit tentera negara itu di bandar Qudsaya, barat Damsyik dalam satu pertempuran semalam.

Para pemberontak itu yang menuntut Presiden Bashar Al-Assad meletakkan jawatan menggunakan bahan letupan yang diletakkan dekat kuarters pasukan Pengawal Republikan di bandar tersebut.

Tentera Syria turut membedil Aleppo selepas 48 orang maut dalam tiga serangan bom kereta di bandar tersebut kelmarin.

Kumpulan militan Islam, Al-Nusra mengaku melakukan serangan bom kereta itu.

Pergolakan di Syria bermula sejak Mac tahun lalu ekoran kebangkitan penduduk di Asia Barat yang menuntut perubahan kepimpinan.

Pertempuran antara tentera Syria dengan kumpulan pemberontak dilaporkan telah menyebabkan lebih 30,000 orang terbunuh. – Agensi

Romney menang debat dengan Obama

Posted:

Romney menang debat dengan Obama

ROMNEY (kiri) berdebat dengan Obama di Universiti Denver, Colorado kelmarin. -AFP


DENVER, Colorado (AS) - Calon Presiden Amerika Syarikat (AS) daripada parti Republikan, Mitt Romney tampil dengan gaya yang meyakinkan semasa berdebat dengan Barack Obama di Universiti Denver di sini kelmarin.

Menurut laporan agensi berita AFP, Obama yang juga Presiden AS kadangkala kelihatan gementar dan tidak bersedia untuk berdebat dengan Romney.

Debat pusingan pertama itu diadakan selama 90 minit menjelang pilihan raya presiden AS yang dijadualkan berlangsung pada 6 November depan.

"Romney menang. Kejutan terbesar ialah kemenangannya amat jelas," kata seorang profesor sains politik di Universiti Negeri Youngstown, Paul Scracic.

Menurut agensi berita Reuters, tinjauan pendapat saluran televisyen CNN mendapati kira-kira 67 peratus orang memilih Romney sebagai pemenang.

Pengarah Pusat Politik dan Hal Ehwal Awam di Kolej Franklin dan Marshall, G. Terry Madonna turut menyatakan Romney menjadi pemenang.

"Saya tidak berpendapat terdapat sebarang keraguan bahawa Romney menang," katanya yang memantau pilihan raya presiden AS sejak 1960.

Obama, 51, bertanding buat kali kedua bagi mempertahankan jawatannya.

Romney, 65, yang merupakan bekas gabenor Massachusetts dan seorang jutawan menyelar Obama berhubung isu defisit AS, kadar pengangguran, pengurangan beberapa cukai, dasar ekonomi dan kesihatan.

"Jika presiden dipilih semula (Obama), anda akan menyaksikan golongan pertengahan tertekan," kata Romney.

Obama menyerang balas dengan mendakwa Romney tidak mempunyai sebarang rancangan terperinci untuk mewujudkan peluang pekerjaan.

"Anda tahu, empat tahun lalu, saya menyatakan bahawa saya bukannya seorang lelaki yang sempurna dan saya tidak akan menjadi presiden yang sempurna. Ia mungkin janji yang difikirkan Romney akan saya teruskan," kata Obama daripada parti Demokrat.

Pusingan kedua dan ketiga debat calon presiden itu akan diadakan pada 16 dan 22 Oktober depan. - Agensi

Ahli arkeologi jumpa makam permaisuri Maya

Posted:

Ahli arkeologi jumpa makam permaisuri Maya

GAMBAR tidak bertarikh menunjukkan satu rangka manusia ditemui di dalam makam Permaisuri Kalomt'e K'abel di hutan Peten, Guatemala. - AFP


BANDAR RAYA GUATEMALA - Sekumpulan ahli arkeologi Amerika Syarikat (AS) dan Guatemala menemui sebuah makam permaisuri Maya yang mengandungi harta karun.

Menurut seorang ahli arkeologi AS, David Freidel, makam itu ditemui di hutan Peten yang merupakan salah satu penemuan terpenting berkaitan dengan tamadun Maya.

Hutan itu terletak 600 kilometer ke utara bandar raya ini.

Hadiah-hadiah seperti pasu seramik abad ke-7 dan ke-8 termasuk batu jed, kulit kerang dan pisau yang diperbuat daripada batu turut ditemui di dalam makam tersebut.

Makam tersebut ditemui pada Jun lalu tetapi pendedahan tentang penemuan itu dibuat kelmarin.

Sebuah pasu yang terdapat dalam makam itu tertera nama Permaisuri Kalomt'e K'abel yang merupakan isteri Raja Wak K'inich Bahlam II.

Ujian asid deoksiribonukleik akan dilakukan ke atas satu rangka manusia yang ditemui di dalam makam itu.- Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan