Sabtu, 30 Jun 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Pameran JYJ diserbu peminat

Posted:

Pameran JYJ diserbu peminat

JAE-JOONG (kanan) dan Jun-su menghadiri majlis perasmian pameran JYJ.


SEOUL - Beribu-ribu peminat dari Jepun berada di Korea Selatan untuk mengunjungi pameran dan menemui kumpulan K-Pop dari Korea Selatan, JYJ di sini.

Kumpulan itu mengundang seramai 7,000 peminat dari Jepun dan 15,000 peminat tempatan ke pameran tersebut yang bermula kelmarin.

Para peminat itu menunjungi sebuah pusat pameran di selatan Seoul yang mempamerkan kostum persembahan, trofi, gambar dan barang kesukaan setiap ahli kumpulan tersebut.

Hologram yang merupakan bayang tubuh tiga anggota kumpulan itu disediakan di pusat tersebut bagi menerangkan kepada para pengunjung tentang pameran berkenaan.

Seorang peminat, Saori Oka dari Fukouka, Jepun berhasrat akan datang semula ke sini pada tahun depan selepas menyaksikan pameran itu.

"JYJ tidak kerap datang ke Jepun. Justeru, saya datang ke sini untuk melihat mereka," katanya.

Kumpulan itu dianggotai Hero Jae-joong, 26, Micky Yoo- chun, 26 dan Xiah Jun-su, 26.

Album pertama kumpulan itu The Beginning dilancarkan pada Oktober 2010.

Sebelum JYJ ditubuhkan, tiga anggota kumpulan tersebut menyertai kumpulan TVXQ pada tahun 2003.

Lebih lapan juta album TVXQ dijual di Korea Selatan dan di luar negara.

Album konsert kumpulan tersebut habis dijual di China, Thailand dan Malaysia.

Namun, kumpulan itu berpecah pada tahun 2009.

Tiga anggota kumpulan tersebut, Jae-jong, Yoo-chun dan Jun-su kemudian menubuhkan JYJ.

Menurut jurucakap kumpulan itu, para peminat Jepun itu membayar secara puratanya AS$630 (RM1,998) untuk berada selama tiga hari di Korea Selatan.

Beliau berkata, 7,000 peminat itu dipilih menerusi cabutan bertuah daripada kalangan 15,000 peminat JYJ di negara tersebut.

Seorang peminat, Naoko Kikuchi membawa seorang anak perempuannya berkunjung ke pameran tersebut.

"Jika saya dipilih untuk tahun depan, saya pasti akan datang semula untuk melihat mereka," katanya yang berusia 40 tahun. - AFP

Kapal layar dikendalikan menerusi iPad

Posted:

Kapal layar dikendalikan menerusi iPad

KAPAL layar Adastra berlabuh di Pelabuhan Manila di Manila, Filipina semalam.


MANILA, Filipina - Sebuah kapal layar futuristik berharga AS$15 juta (RM47.7 juta) milik seorang ahli perniagaan perkapalan Hong Kong telah berlabuh di Pelabuhan Manila di sini semalam.

Berbentuk seperti sebuah kapal angkasa, kapal persiaran mewah sepanjang 42.5 meter yang diberi nama Adastra itu memiliki dua lunjuran besar.

Adastra diperbuat daripada gentian karbon dan Kevlar bagi menjadikan kapal berkenaan ringan.

Syarikat reka bentuk kapal layar, John Shuttleworth Yacht Designs Ltd menyatakan kapal tersebut amat canggih dan ia boleh dikendalikan dengan menggunakan sebuah komputer tablet iPad.

Akhbar South China Morning Post melaporkan pada awal bulan ini bahawa Adastra dibina di Zhuhai, China oleh firma Australia, McConaghy untuk usahawan, Anthony Marder.

Marder memberitahu akhbar berkenaan bahawa kapal tersebut berlabuh di sini untuk kerja-kerja pelarasan sebelum ia melakukan pelayaran ke seluruh dunia. - Agensi

Perniagaan sewa kereta kebal

Posted:

Perniagaan sewa kereta kebal

SEORANG pengunjung mengendalikan sebuah kereta kebal di Kasota pada 9 Jun lalu.


KASOTA, Minnesota - Sebuah syarikat, Drive-a-Tank menawarkan kepada para pengunjung peluang mengendalikan kereta kebal tentera dan kenderaan perisai lain di sebuah kuari batu kapur di sini.

Para pengunjung itu turut dibenarkan untuk merempuh kereta lama seperti dalam filem Hollywood dengan menggunakan kereta kebal.

"Pengalaman memandu kereta kebal sungguh hebat," kata seorang pemuda berusia 19 tahun dari Connecticut selepas dia menggelek sebuah kereta dengan kereta kebal yang dipandunya pada minggu lalu.

Pemilik syarikat tersebut, Tony Borglum yang merupakan seorang kontraktor peralatan berat membuka perniagaan itu tiga tahun lalu selepas melihat perniagaan yang sama ketika melawat England.

Dia membeli sebanyak 11 kereta kebal era Perang Dingin untuk disewa oleh orang ramai di kawasan seluas 8 hektar di sini, 80 kilometer ke barat daya Minneapolis, Amerika Syarikat.

Pakej asas Drive-a-Tank berharga AS$399 (RM1,270) termasuk memandu sebuah kereta kebal dan menembak mesingan.

Para pengunjung yang mahu meremukkan sebuah kereta perlu membayar caj tambahan sebanyak AS$549 (RM1,748).

Bayaran sekitar AS$3,500 (RM11,145) dikenakan jika mereka memandu kereta kebal untuk merempuh sebuah rumah treler. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan