Khamis, 21 Jun 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Hosni Mubarak nazak

Posted:

Hosni Mubarak nazak

BEKAS Presiden Mesir Honi Mubarak ditolak di atas pengusung beroda semasa tiba di sebuah mahkamah di Kaherah pada 28 Januari lalu.


KAHERAH - Bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak (gambar kecil) berada dalam keadaan koma dan terpaksa bergantung kepada mesin sokongan hayat di sebuah hospital di sini selepas diserang strok di penjara, kata sumber perubatan dan ketenteraan yang menafikan beliau sudah meninggal dunia.

Keadaan kesihatan bekas pemimpin tersebut menjadi tidak menentu selepas situasi di Mesir semakin tegang apabila kedua-dua calon pilihan raya Presiden, Mohammed Mursi dan Ahmed Shafiq mendakwa memperoleh kemenangan manakala pemerintah tentera masih belum melepaskan kuasa mereka.

"Mubarak belum mati. Dia dalam keadaan koma dan doktor masih cuba untuk menyelamatkannya," menurut sumber berkenaan.

Sebelum ini, agensi berita tempatan, MENA melaporkan bekas pemimpin berusia 84 tahun itu disahkan mati selepas mengalami strok di penjara.

"Hosni Mubarak sudah meninggal dunia," kata agensi berita rasmi itu,

"Laporan perubatan memberitahu MENA bahawa jantungnya telah berhenti berdenyut dan tidak memberi tindak balas apabila alat sokongan hayat digunakan," tambah agensi berkenaan.

Menurut sumber pengawal keselamatan, isteri Mubarak, Suzanne dilaporkan melawat suaminya di hospital dan laporan televisyen berkata, kenyataan rasmi mengenai tahap kesihatan bekas Presiden itu akan dimaklumkan kelak tanpa menyatakan maklumat lanjut.

Mubarak sebelum ini dibawa ke sebuah penjara di sini selepas mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kerana gagal menghentikan pembunuhan sejumlah penunjuk perasaan semasa rakyat Mesir bangkit menentang pemerintahannya pada tahun lalu.

Keadaan kesihatan Mubarak dilaporkan semakin teruk apabila doktor terpaksa menggunakan mesin defibrilator sebanyak dua kali pada awal bulan lalu. Dia juga dilaporkan mengalami kemurungan dan tekanan darah tinggi sehingga memerlukan bantuan pernafasan.

Ahli keluarga Mubarak termasuk dua anak lelakinya, Gamal dan Alaa yang turut dijatuhi hukuman penjara atas kesalahan rasuah memohon supaya Mubarak dipindahkan ke hospital.

Selain laporan tahap kesihatan Mubarak yang semakin merosot, timbul pula ketegangan antara Mursi dan Shafiq yang masing-masing mengakui telah memenangi pilihan raya berkenaan.

Pergerakan Ikhwanul Muslimin yang merupakan kumpulan Islam terbesar dan paling berpengaruh di Mesir tetap bertegas bahawa Mursi adalah pemenang pilihan raya Presiden itu.

Pesaing Mursi, bekas Perdana Menteri terakhir Mesir di bawah pemerintahan Mubarak, Ahmed Shafiq juga mengisytiharkan kemenangannya.

Pengisytiharkan kemenangan oleh kedua-dua calon itu telah melanggar peraturan majlis pemerintah ketenteraan yang bertanggungjawab mengisytiharkan keputusan rasmi pilihan raya tersebut.

Kelmarin, Ikwanul Muslimin mengadakan demontrasi di Dataran Tahrir yang telah disertai lebih 15,000 penunjuk perasaan. - AFP

Assange mohon suaka politik di Equador

Posted:

Assange mohon suaka politik di Equador

DUA anggota polis berkawal di luar Kedutaan Ecuador di London semalam.


SYDNEY, Australia - Usaha pengasas bersama laman web WikiLeaks, Julian Assange (gambar kecil) untuk mendapatkan suaka politik di Ecuador dilihat oleh ibunya sebagai usaha terdesaknya yang terakhir.

Tindakan itu dibuat berikutan Assange telah hilang keyakinan bahawa Australia akan melindunginya. Assange muncul di kedutaan Ecuador di London kelmarin bagi mengelak daripada diekstradisi ke Sweden berhubung dakwaan jenayah seksual.

Assange yang berasal dari Australia khuatir akan diserahkan kepada pentadbiran Amerika Syarikat (AS) jika dia diekstradisi ke Sweden untuk berdepan tuduhan mengintip.

Ibunya, Christine memuji tindakan Assange dan berharap pemerintah Ecuador atau negara dunia ketiga lain akan memberi perlindungan kepada anaknya.

"Ini adalah usaha terdesak terakhir kerana dia (Assange) ialah seorang tahanan politik.

"Dia masih tidak didakwa dan disoal siasat terhadap satu jenayah yang benar-benar tidak mempunyai asas. Sudah tentu dia perlu memohon suaka politik," kata Christine, kepada pemberita. - AFP

Depp, Paradis berpisah secara baik

Posted:

Depp, Paradis berpisah secara baik

JOHNNY DEPP dan pasangannya, Vanessa Paradis tiba di majlis Anugerah Academy di Teater Kodak, Hollywood pada 24 Februari 2008.


LOS ANGELES - Pasangan selebriti Hollywood, Johnny Depp dan penyanyi serta aktres Perancis, Vanessa Paradis bersetuju untuk berpisah secara baik, kata jurucakap aktor berkenaan semalam.

"Johnny Depp dan Vanessa Paradis telah membuat keputusan bersama untuk berpisah secara baik. Sila hormati hak peribadi terutamanya privasi anak-anak mereka," kata jurucakap Depp dalam rancangan Entertainment Tonight dan disahkan kepada agensi berita AFP.

Bintang filem Pirates of the Caribbean dan pasangannya itu hidup bersama selama 14 tahun.

Desas-desus tentang keretakan hubungan mereka mula tersebar lebih setahun lalu.

Namun, pada Januari lalu, Paradis menafikan bahawa mereka telah berpisah.

Pasangan berkenaan yang kerap berulang alik di antara Perancis dan Amerika Syarikat, memiliki dua orang anak Lily-Rose dan Jack yang masing-masing berusia 13 dan 10 tahun. Bagaimanapun mereka tidak pernah berkahwin.

Depp sebelum ini pernah dikaitkan dengan beberapa selebriti termasuk Sherilyn Fenn, Jennifer Grey, Winona Ryder and Kate Moss.

Aktor berusia 49 tahun itu berkenalan dengan Paradis yang popular dengan lagu Joe Le Taxi, di Paris dan mula intim pada 1998.

Tiada maklumat mengenai hak penjagaan anak mereka setakat ini. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan