Isnin, 25 Jun 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Gara-gara mahu mencuri

Posted: 24 Jun 2012 10:29 AM PDT

CALIFORNIA: Seorang remaja berusia 17 tahun tersepit tangannya di mesin layan diri ketika cuba mencuri air botol.

Pelajar Sekolah Tinggi Sweetwater dari National City, California terpaksa menunggu kira-kira sejam dengan tangannya di dalam mesin layan diri Coca Cola kerana dia cuba mencuri air botol melalui lubang penerima tanpa membayar.

Anggota bomba menggunakan kapak, tuil besi, gergaji dan pelbagai alat hidraulik untuk membebaskan tangan remaja itu.

Pihak berkuasa tidak mendedahkan identiti pelajar sekolah tinggi itu.


Remaja itu yang membawa bersamanya papan luncur, membuat keputusan untuk menyeluk tangannya ke dalam lubang penerima, tempat di mana botol akan jatuh untuk diambil oleh pembeli selepas membayar harganya.


Namun begitu, tangannya tersepit di dalam.

Dia cuba beberapa kali untuk menarik tangannya keluar dari situ.

Seorang penduduk terlihat remaja itu dan terus menelefon polis.

Anggota bomba, polis, paramedik dan keselamatan segera ke tempat kejadian.

Apabila kru kecemasan tidak menemui kunci yang dapat membuka pintu mesin itu, mereka membuat keputusan untuk menggunakan peralatan berasingan untuk melepaskan remaja itu.

Anggota bomba pada mulanya menggunakan kapak untuk memotong bahagian tepi mesin itu.

Mereka kemudian menggunakan tuil besi dengan harapan dapat membantu melepaskan remaja itu.

Tetapi, kedua-dua cara yang digunakan tidak berhasil dan anggota bomba menyelimuti remaja itu dengan selimut dan mula menggunakan alat hidraulik.

Anggota bomba juga menggunakan gergaji elektrik dan akhirnya berjaya membebaskan remaja itu.

Pelajar sekolah tinggi itu dirawat kerana cedera ringan dan rasa kebas. - Daily Mail


Jari budak putus dibaham pirana dibela keluarga

Posted: 24 Jun 2012 10:17 AM PDT

ILLINOIS: Apabila anak perempuan mereka yang berusia 18 bulan menangis kerana hujung jarinya putus, kelihatan seperti digigit, kedua-dua ibu bapanya mengesyaki ia angkara anjing peliharaan mereka.

Tetapi, selepas dilihat dengan teliti, polis mendedahkan ia mungkin disebabkan haiwan peliharaan yang lebih kecil dan lebih senyap, ikan pirana yang dibela oleh mereka.

Polis di Maine Township, Illinois hanya memerhatikan ikan bergigi tajam yang berenang di akuarium berdekatan dengan tempat kanak-kanak itu bermain, ketika doktor mengesahkan gigitan itu bukan disebabkan oleh anjing.

Jurucakap Pejabat Syerif Cook County, Frank Bilecki berkata, "Kami bercakap dengan ibu kanak-kanak itu dan bertanya apa lagi yang menggigit?"


"Dengan cepat, ibunya berkata, dua ekor ikan itu memang terletak dekat dengan tempat kanak-kanak itu bermain.... Kami tahu pirana boleh menggigit," katanya.


Selepas memberitahu bapa kanak-kanak itu, yang turut berada di rumah pada waktu itu, lelaki itu terus ke akuarium dan memasukkan tangannya ke dalam air lalu mengambil seekor ikan itu dari akuarium itu.

"Dia langsung tidak takut. Itu memang naluri seorang bapa," katanya.

"Selepas mengambil ikan itu, bapa yang panik itu terus memotong ikan itu dan hujung jari itu masih berada di dalam perutnya. Dia segera meletakkannya ke dalam ais dan membawanya ke hospital dengan segera," katanya.

Jurucakap hospital itdak dapat mengesahkan sama ada hujung jari itu boleh disambung.

"Ibu bapa kanak-kanak itu benar-benar sedih dengan kejadian itu," katanya dengan menambah, kanak-kanak itu adalah satu-satunya anak pasangan itu.

Jabatan Perkhidmatan Kanak-kanak dan Keluarga menyiasat rumah kanak-kanak itu dan tidak menemui bukti ibu bapanya cuba mencederakan anak mereka.

Tiada tuduhan difailkan ke atas mereka.

Pengarah Jabatan Perikanan Akuarium Shedd, George Parsons berkata, ikan pirana boleh dibeli secara sah di Illinois.

Katanya, walaupun mereka pernah mendapat satu atau dua panggilan setahun bertanyakan bagaimana merawat gigitan pirana, tetapi berita mengenai seseorang kehilangan jari kerana digigit ikan itu, amat jarang didengar. - Daily Mail


Tiada ulasan:

Catat Ulasan